Jangan tinggal solat waima banjir

Jangan tinggal solat waima banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAKAT pukul 2 petang semalam, seramai 44,077 mangsa ditempatkan di kira-kira 173 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh negeri seluruh negara.

Tahun ini secara keseluruhannya, jumlah mangsa banjir yang direkodkan sejak awal banjir bermula sehingga Rabu adalah 235,706 orang, sekali gus angka tertinggi pernah direkodkan dalam catatan sejarah.

Alhamdulillah, cuaca sudah bertambah baik, Ramai sudah boleh pulang ke rumah masing-masing selepas beberapa hari tinggal di PPS. Yang pasti, memang banyak kerja menunggu. Kena bersihkan rumah, perabot, peralatan elektrik dan juga pakaian yang terendam.

Sebagai Muslim, kita menerima hakikat bahawa segala yang berlaku itu datangnya daripada Allah. Banjir yang menimpa adalah dugaan dan juga sebagai ujian sejauh mana kita bersabar.

Paling penting, walau di mana kita berada, jangan tinggal solat. Malah di PPS pun, ada ruang untuk kita tunaikan solat kerana tempatnya tidaklah terendam dalam banjir. Waima takdirnya PPS itu pun digenangi air, kewajipan solat itu tidak terangkat.

Yang terbaik, usahakan untuk solat berjemaah terutama bagi yang lelaki. Paling tidak berdua, suami dengan isteri atau isteri dan anak. Ada segelintir manusia yang sibuk berikhtiar ke sana ke mari untuk mencari penyelesaian masalah yang dihadapi tetapi lupa bermunajat kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pemberi.

Ingatlah perintah Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar. (al-Baqarah: 153)

Dua kunci utama dalam ayat ini adalah sabar dan menunaikan solat. Jangan kita jadi insan yang tidak bersyukur dan mudah lupa sehinggakan dalam kita diuji dengan musibah pun kita tidak mahu merendah diri memohon pertolongan Allah SWT.

Mereka yang dibenarkan tidak solat hanyalah orang gila dan yang tidur sehingga dia terjaga daripada lenanya. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi dan orang yang gila sehingga dia berakal. (Riwayat Abu Daud) 

Jika pakaian basah dan kotor terkena lumpur menjadi alasan tidak solat, ia tidak dikategori sebagai boleh melepaskan daripada taklif solat. Kita perlu membezakan antara kotor dan najis. 

Pakaian yang terkena lumpur itu memang kotor terkena air banjir tetapi ia tidak mengandungi najis. Kecuali ada tanda yang jelas bahawa pakaian itu terkena air lumpur yang bernajis, barulah ia tidak boleh digunakan untuk solat.

Apabila banjir, agak sukar untuk kita mengelak pakaian dari terkena lumpur atau air banjir. Bahkan ada kalanya, mangsa atau sukarelawan yang terlibat tidak sempat untuk menukar pakaian dan solat dengan pakaian yang sama.

Tentang air banjir pula, tiada halangan untuk menggunakannya untuk berwuduk kerana selalunya ia datang daripada sungai dan hujan lebat. Kedua-dua itu adalah air mutlak. Selain itu, jika sudah keputusan air yang bersih, bolehlah bertayamum.

Kesukaran mendapatkan air paip mungkin berlaku apabila banjir besar yang mengakibatkan saluran paip utama air pecah. Seterusnya bekalan air bersih terputus. Namun dalam keadaan banjir biasa, kita masih boleh mendapatkan air bersih atau air mutlak untuk berwuduk.

Ketika banjir dan rumah kita ditenggelami air misalnya sekira-kira 15 sentimeter atau sejengkal, Islam memberikan rukhsah (keringanan) untuk solat. Solat ketika itu boleh dilaksanakan tanpa perlu sujud ke tanah sebagaimana dalam keadaan normal atau tidak banjir.

Solat di dalam air adalah sah dan wajib rukuk serta sujud seperti biasa sekiranya  mampu kerana paras air tidak terlalu tinggi. Malah kita juga diharuskan solat fardu dalam keadaan duduk jika terpaksa solat dalam bot atau perahu yang kuat dibadai ombak atau arus. 

Namun, terdapat sebahagian pendapat mengharuskan untuk solat dengan isyarat sahaja seperti menundukkan sedikit kepala lebih daripada rukuk, tetapi tidak sampai ke dalam air sebagai isyarat bagi sujud.

Seperkara yang perlu menjadi keutamaan masyarakat adalah membantu mangsa banjir. Ini amat ditekankan dalam Islam iaitu konsep taawun bantu membantu dalam membuat kebaikan. 

Banyak pihak yang menganjurkan kutipan dana untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir terutamanya di pantai timur yang terjejas teruk. Sementelah kita memang tidak mampu turut sama dalam misi bantuan banjir, marilah menyumbangkan sedikit wang mengikut kemampuan membantu mereka.

Malah, wang zakat juga harus diberikan kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana yang menyebabkan rumah mereka musnah dan tidak ada lagi apa-apa yang dimiliki. Mereka dikategorikan sebagai golongan al-Gharimin.

Mengenai persoalan bolehkah untuk menjamak solat kerana banjir, dikongsikan kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: (AL-KAFI LI AL-FATAWI #181: Jamak Solat Ketika Banjir 10 Feb 2016)

“Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan tidak boleh untuk mereka melakukan solat jamak semasa banjir. Ini kerana, mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah dan sebagainya. 

Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjemaah pada setiap solat fardu. Adapun solat jamak ketika hujan, ia memang benar warid dari Nabi SAW dan dibolehkan di sisi mazhab Syafie (Al-Umm, 1/95 ; Al-Majmu’, 4/378). Akan tetapi ia hendaklah menepati syarat-syarat yang ditetapkan para fuqaha iaitu:

  • Jamak yang dilakukan mestilah jamak takdim. Ia mesti dilakukan mengikut syarat  dimulakan dengan solat yang awal (Zohor atau Maghrib) dan mesti berniat  jamak di dalam solat yang pertama, selewat-lewatnya sebelum memberi salam bagi solat pertama. (Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/484 – 485).
  • Solat yang kedua (Asar atau Isyak) mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid. Tidak disyaratkan untuk solat berjemaah pada solat yang pertama dan dibolehkan untuk solat bersendirian pada solat pertama. 

Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid kerana dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan pada zaman Nabi SAW, baginda sendiri mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid. (Mughni al-Muhtaj, 1/274; Al-Hawi, 4/494; Al-Majmu’ 4/258).

Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak. (Al-Umm, 1/95).

Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan”. (Al-Majmu’, 4/378).-

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN