DALAM era teknologi yang serba canggih ini, penggunaan teknologi digital menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Banyak aktiviti harian dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, pantas dan efisien, termasuklah pembelian barangan, penyimpanan wang dan pengurusan kewangan. Semua ini boleh dicapai hanya dengan beberapa sentuhan pada skrin peranti mudah alih.
Namun begitu, di sebalik segala kemudahan ini, wujud satu ancaman yang kian membimbangkan, iaitu jenayah kewangan siber. Ancaman ini bukan sahaja meragut wang mangsa, malah mampu merosakkan keseluruhan kehidupan mereka, meninggalkan trauma psikologi dan tekanan ekonomi yang berpanjangan.
Laporan Cybersecurity Ventures menyatakan jenayah kewangan siber di peringkat global diramalkan akan mengakibatkan kerugian sehingga AS$ 10.5 trilion setahun menjelang 2025.
Di Malaysia, statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) merekodkan sebanyak 34,497 kes penipuan (scam) membabitkan kerugian berjumlah RM1.218 bilion dan pertuduhan sebanyak 12,851 kes dilaporkan di seluruh negara pada 2023. Angka-angka ini memberikan gambaran yang jelas bahawa ancaman jenayah kewangan siber bukan lagi isu terpencil, tetapi cabaran besar yang mengancam kestabilan kewangan individu dan ekonomi negara.
Jenayah kewangan siber boleh didefinisikan sebagai sebarang aktiviti jenayah yang dilakukan melalui penggunaan teknologi digital bagi mencuri wang, data atau aset kewangan lain.
Kebanyakan jenayah ini berlaku secara licik dan tidak disedari sehingga mangsa mengalami kerugian yang besar. Penipuan kewangan dalam talian, pencurian identiti, penipuan e-dagang dan serangan ransomware merupakan antara modus operandi jenayah yang sering dilaporkan.
Di Malaysia, kes seperti Macau Scam dan phishing menjadi fenomena yang biasa sehingga sering dijadikan berita utama. Namun, di sebalik angka dan statistik yang dilaporkan, terdapat kisah-kisah pilu tentang kehidupan mangsa yang musnah. Ada yang kehilangan simpanan bertahun-tahun yang diperuntukkan untuk pendidikan anak-anak, malah ada yang kehilangan wang persaraan sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Penjenayah kewangan siber sering menggunakan pelbagai taktik licik untuk menipu mangsa. Salah satu kaedah yang sering digunakan ialah phishing, dengan penjenayah menghantar mesej atau e-mel palsu yang kelihatan seperti dihantar daripada institusi kewangan yang sah.
Melalui helah ini, mereka memanipulasi mangsa untuk memberikan maklumat sensitif seperti kata laluan atau nombor akaun bank. Selain itu, serangan ransomware turut menjadi taktik popular dengan sistem komputer mangsa dikunci dan hanya akan dibuka semula setelah bayaran dibuat.
Penipuan e-dagang pula semakin membimbangkan dengan kewujudan laman web palsu yang menawarkan barangan atau perkhidmatan tidak wujud. Lebih memburukkan keadaan, penjenayah sering menyasarkan kelemahan manusia seperti kurangnya pengetahuan tentang keselamatan digital atau keinginan untuk mendapatkan kekayaan secara mudah.
Pada masa kini, data peribadi merupakan aset yang sangat berharga. Malangnya, ramai yang masih mengambil ringan kepentingan melindungi data peribadi mereka. Nombor kad pengenalan, nombor telefon dan maklumat akaun bank sering kali dikongsi secara terbuka tanpa memikirkan risiko yang mungkin dihadapi.
Maklumat ini membuka peluang kepada penjenayah untuk menyalahgunakannya, seperti memohon pinjaman atas nama mangsa atau mengakses akaun bank mereka. Akibatnya, mangsa bukan sahaja terpaksa menanggung hutang yang tidak pernah mereka buat, malah boleh berdepan tindakan undang-undang.
Di samping itu, mangsa turut mengalami kesan emosi seperti kehilangan keyakinan diri dan ketakutan untuk menggunakan teknologi digital.
Oleh itu, pengurusan data peribadi yang baik amat penting. Langkah-langkah seperti menggunakan kata laluan yang kuat, mengelakkan perkongsian maklumat peribadi di media sosial serta berhati-hati terhadap e-mel atau mesej mencurigakan perlu diberi perhatian secara konsisten.
Kesan jenayah kewangan siber bukan sahaja dirasai secara individu, tetapi juga melibatkan masyarakat secara keseluruhan. Salah satu kesan terbesar jenayah ini ialah insiden kemiskinan mendadak yang tidak dijangka.
Mangsa sering kehilangan semua wang simpanan, aset dan kestabilan kewangan yang dibina bertahun-tahun lamanya dalam sekelip mata. Keadaan ini bukan sahaja menghancurkan kehidupan individu yang terkesan, malah turut memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Kesan ini juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah kecil dalam masyarakat kerana mangsa yang terdesak mungkin mencari jalan untuk memenuhi keperluan.
KERJASAMA SEMUA PIHAK
Akhirnya, daya tahan ekonomi negara turut terjejas. Memandangkan keseriusan ancaman ini, adalah penting untuk semua pihak memainkan peranan masing-masing. Sebagai masyarakat, kita perlu meningkatkan kesedaran tentang jenayah kewangan siber melalui pendidikan dan kempen maklumat yang meluas.
Media sosial, sekolah dan institusi latihan profesional boleh menjadi saluran utama untuk menyampaikan mesej ini. Pihak berkuasa pula perlu melaksanakan undang-undang yang lebih ketat bagi membanteras jenayah siber.
Pada masa yang sama, institusi kewangan dan kerajaan mesti memastikan sistem keselamatan digital mereka sentiasa berada pada tahap optimum untuk menangkis ancaman ini.
Langkah-langkah seperti mengemas kini perisian keselamatan secara berkala, menggunakan teknologi enkripsi yang canggih dan menyediakan latihan kepada pekerja tentang keselamatan siber adalah amat penting untuk melindungi pelanggan.
Kerjasama kolektif antara individu, masyarakat, institusi kewangan dan pihak berkuasa adalah amat diperlukan. Walaupun usaha pencegahan memerlukan kos yang tinggi, manfaat jangka panjangnya jauh lebih besar.
Dengan langkah-langkah yang tepat, masyarakat dapat mengurangkan risiko jenayah kewangan siber, seterusnya melindungi kestabilan ekonomi negara.
Jenayah kewangan siber adalah ancaman serius yang memerlukan perhatian segera. Ia merupakan ‘barah’ yang merebak secara senyap, memusnahkan kehidupan individu dan mengganggu kestabilan kewangan negara.
Namun, dengan kesedaran, pendidikan serta usaha bersama, kita mampu melindungi diri dan komuniti daripada menjadi mangsa jenayah ini. Langkah kecil yang diambil hari ini mungkin menjadi penyelamat kepada ekosistem kewangan masa hadapan yang lebih stabil, kondusif dan kalis daripada kejutan ekonomi.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
MUHAMMAD Zariq Naqiuddin Zaid ialah Pegawai Penyelidik, InsPeK, Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










