Dalam Parlimen gubal dasar, bukan berpolitik - Utusan Malaysia

Dalam Parlimen gubal dasar, bukan berpolitik

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SEJAK memegang jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, perjalanan hidup TAN SRI AZHAR AZIZAN HARUN atau mesra dipanggil Art Harun penuh warna-warni kerana sentiasa menjadi perhatian rakyat dan negara.

Selepas mengosongkan kerusi berkenaan dua tahun lalu, kini gaya hidupnya lebih tertutup tanpa kecaman atau kritikan awam. Sekarang kembali kepada akarnya, beramal sebagai peguam di firma guaman Azhar & Goh dan mengendali kes-kes berprofil tinggi.

Mingguan Malaysia mendapatkan beliau kembali berbincang banyak hal, antaranya pengisytiharan darurat yang mengundang kepada penggantungan mesyuarat Parlimen dan pilihan raya. Ikuti wawancaranya bersama wartawan MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI dan jurugambar, M. FIRDAUS M. JOHARI, baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Lama ‘ senyap’ selepas mengosongkan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini?
AZHAR: Memang dari awal lagi saya berhasrat mengamalkan undang-undang semula sebab ini sahaja pun kerjaya saya tahu lakukan. Saya mahu menjadi diri saya yang lama (Peguam) dan menjalani kehidupan privasi. Lagipun, saya bukan mana-mana ahli parti politik, tiada keperluan aktif di pentas awam. Sudah tentu saya masih ikuti perkembangan negara dan memang berhasrat mengosongkan jawatan ini serta enggan lagi terlibat aktif membuat keterampilan di khalayak ramai.

Hidup lebih tenang?
Hidup saya tidak pernah tidak tenang, dari dahulu lagi begini walaupun kadang-kadang banyak kontroversi (tertawa). Iyalah, apabila anda ambil sesuatu tindakan ada yang suka dan tidak suka. Saya selalu tenang asalkan menjalankan tugas mengikut undang-undang dan menggunakan budi bicara tanpa salah guna kuasa, walaupun semasa mempengerusi mesyuarat Dewan Rakyat ada kekecohan. Sebagai manusia biasa, kita ada emosi, marah dan ketawa tetapi saya menangani masalah ini dan habis cerita. Tidak simpan secara peribadi.

‘Pergaduhan’ Tan Sri dengan ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat itu sandiwarakah?
(Tertawa lagi). Bukanlah mahu kata sandiwara, sebenarnya, dalam Dewan Rakyat memang akan bangkitkan perkara tertentu sebab mahu tunjuk kepada rakyat yang perkara ini dibangkitkan. Saya tidak pernah ambil secara peribadi (tentang kekecohan mesyuarat dan penggunaan perkataan kesat). Tidak pernah pun minta mereka mohon maaf. Apabila ‘persembahan’ habis’, saya okay lah, panggil mereka minum kopi bersama.

Tan Sri nampak reformasi Parlimen di bawah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul?
Banyak usaha dan tindakan beliau untuk merakyatkan Parlimen, rakyat senang masuk dengan membenarkan rombongan dan program lain di Parlimen. Beliau juga sambung usaha Speaker sebelum ini mewujudkan jawatankuasa pilihan khas yang amat penting dan berkuasa memanggil kementerian untuk bertanya soalan.

Parlimen Malaysia dikatakan tidak bebas, dikawal Eksekutif. Benarkah?
Rakyat harus faham konsep pemisahan kuasa (Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman) iaitu falsafah pentadbiran dan secara idealnya, tiga cabang ini dipisahkan dan tidak patut ada campur tangan antara satu sama lain. Saya selalu berdebat akan polemik ini. Hakikatnya, bolehkah ada pemisahan kuasa secara mutlak? Tidak boleh kerana Eksekutif daripada ahli Parlimen majoriti di Dewan Rakyat yang merupakan kerajaan. Bagaimana mahu ada pemisahan kuasa mutlak? Kita semua manusia biasa.

Okay lah, kita tukar topi ahli Dewan Rakyat dan apabila keluar pakai topi menteri. Tetapi, masih juga orang yang sama. Jadi, susah untuk ada pemisahan kuasa mutlak. Kehakiman? Memang institusi ini bebas tetapi perdana menteri yang lantik hakim dan menasihat Yang di-Pertuan Agong. Ahli Parlimen majoriti yang mengawal Dewan Rakyat, bentang usul dan lulus tetapi apakah ini campur tangan dalam Parlimen? Bukan. Parlimen mesti bertindak ikut kepentingan majoriti.

TEKANAN KERAJAAN
Tan Sri pernah berdepan tekanan di bawah Perikatan Nasional (PN)?

Tidak pernah. Kerajaan ketika itu ada kuasa, saya juga ada kuasa berdasarkan kod arahan sesuatu tindakan boleh dan tidak boleh dilakukan. Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah kacau. Jika saya mahu tetapkan tarikh pilihan raya, saya buatlah.

LARANG TUN MAHATHIR GUNA ASET KERAJAAN
Tun Mahathir mahu guna helikopter turun berkempen di Felda Sungai Koyan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland pun saya tidak benarkan. Beliau hubungi saya mahu ke sana tetapi pakai kereta rasmi kerajaan. Saya tidak izinkan sebab enggan kerajaan berkempen guna aset kerajaan.

Beliau mengadu kepada wartawan yang Pengerusi SPR (saya) larang naik helikopter kerajaan. Kena naik helikopter sendiri. Saya waktu itu ke Australia memerhati pilihan raya di sana dan mendarat sahaja pemberita hubungi saya melalui telefon tentang aduan beliau.

Saya cakap “tidak” dan tidak mahu beri komen melalui media massa. Tunggu saya pulang ke Malaysia dan tulis surat empat halaman kepada beliau. Inilah cara saya, malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah kacau. Saya cuma ikuti undang-undang dan jika saya ada budi bicara, akan gunakannya setakat yang saya fikir benar.

Bagaimana cara memperkasa institusi Parlimen?
Semua ahli Parlimen mesti pisahkan politik dengan polisi (dasar) kerana dalam Parlimen kita mahu gubal dasar dan berpolitiklah di luar. Fikirkan tentang kepentingan rakyat dan negara. Selain itu, kena patuhi Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, peraturan mesyuarat Dewan dan amalan demokrasi negara. Jika tidak ikuti, bermasalah.

REFORMASI
Sejauh mana negara mencapai reformasi?

Dari hari pertama mereka ditubuhkan, mereka laung reformasi tetapi apabila menjadi kerajaan sudah dua tahun, banyak tidak ditunaikan dan tempoh ini tidak lama. Saya faham Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan gabungan pelbagai parti politik, tetapi mesti ada iltizam politik dalam melaksana reformasi. Perlu ada perbincangan mencari jalan tengah dan ini saya belum nampak.

Jika tidak, timbullah persepsi kerajaan tidak serius atau tiada niat untuk lakukannya.
Masa saya dahulu dalam SPR, banyak reformasi mahu dilaksana antara undang-undang berkaitan pendanaan politik. Namun, bukan mudah untuk libat urus dengan pemegang taruh seperti parti politik dan lain-lain. Ia mengambil masa lama. Katakanlah kerajaan mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan ini salah satu reformasi. Bunyinya kedengaran mudah, tetapi tidak semudah itu.

Nampaknya perkara ini tetap menjadi bahan kempen ahli politik walau hakikatnya tetap tidak dilaksanakan?
Iyalah, sebab itu saya cakap proses panjang, tetapi, sementara menunggu prosesnya tamat tindakan kerajaan mesti menjurus ke arah itu.

DARURAT

Masih ingat lagi pengisytiharan darurat dan penutupan Parlimen? Adakah benar disebabkan pandemik Covid-19? Ada juga dakwa Tan Sri ‘diikat’ kerajaan. Sila jujur.
Diikat bagaimana? PN yang istihar darurat, maka saya terikatlah. Orang fikir saya ini ketua Parlimen dan berkuasa memanggil ahli Parlimen bersidang. Yang berkuasa ialah Yang di-Pertuan Agong, tetapi Seri Paduka tidak boleh bertindak sendiri kerana mengikuti nasihat perdana menteri. Jadi, ketua majlis (perdana menteri) sahaja boleh tetapkan takwim mesyuarat dan diwartakan.

UNDANG-UNDANG ANTI LOMPATPARTI
Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti politik – apakah menjadi satu muslihat?
Saya tidak tahu jika menjadi muslihat, tetapi, sejak dahulu saya tidak puas hati dengan pindaan ini. Namun, disebabkan saya pengerusi ketika itu, maka saya tiada kuasa menentukan bagaimana undang-undang ini digubal. Klausanya mengenai ‘terhenti menjadi ahli’ ini yang menjadi persoalan mengenai enam wakil rakyat sebelum ini yang dikatakan terhenti keahliannya. Saya tidak setuju cara undang-undang ini diluluskan kerana negara tidak menggubal undang-undang baharu sebaliknya pindaan Perlembagaan sahaja.

Barangkali waktu itu semua orang mahu undang-undang ini segera sebelum perdana menteri membubarkan Parlimen. Barangkali juga undang-undang ini sudah cukup tetapi bagi saya tidak sebab akan membawa masalah kerana kabur, jadi, cukup adillah memang berlaku masalah dan ia mesti diperbaiki.

PILIHAN RAYA
DATA TIDAK DIKEMAS KINI, ADA PENGUNDI UMUR LEBIH 100 TAHUN
Apa yang kurang dalam sistem pilihan raya negara?

Negara berdepan isu data tidak tepat dan alamat tempat tinggal tidak dikemas kini. Sewaktu menjadi pengerusi SPR dahulu, masih ada yang tinggal di Sulaiman Court (tidak wujud lagi) iaitu flat murah berdekatan Sogo. Namun, dalam data pengundi ada yang masih ‘tinggal’ di sana malah umur mereka juga lebih 100 tahun kerana tidak kemas kini rekod kematian. Maka, pihak polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR perlu ada usaha kemas kini data pendaftaran pengundi.

KAD PENGENALAN DIGITAL
Saya dengar kerajaan mahu laksana sistem kad pengenalan digital. Dahulu, Tun Mahathir sudah keluarkan idea ini kerana di China ada pengecaman wajah malah cara seseorang berjalan. Jadi, saya sarankan kerajaan buat kad pengenalan digital ini bersekali dengan identiti pengundi.

SISTEM DUA PARTI
BERTANDING PILIHAN RAYA
Tun Mahathir cadang negara laksana sistem dua bertanding dalam pilihan raya. Komen?
Bagaimana mahu buat? Sekarang sudah terlalu banyak parti politik. Jadi, mustahil berlaku. Sejak 2018 saya selalu era parti politik memperoleh undi majoriti mutlak sudah tiada dan tidak akan ada satu pun parti politik memperolehnya. PH, PN dan Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat 112 kerusi Parlimen lagi dan kita semua mesti membiasakan diri dengan kehidupan baharu.

Apa pandangan Tan Sri mengenai gerrymandering? Kerajaan Perpaduan dijangka menggunakan persempadanan semula sebagai ‘kad terakhir’ untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang. Siapa untung dan siapa rugi?Realitinya, di mana-mana tempat pun dan jika kerajaan melaksana persempadanan semula, kerajaan yang ada cuba mempengaruhi SPR untuk berbuat sesuatu yang memberi kelebihan kepada kerajaan. Persepsinya begitu, tetapi saya tidak bolehlah cakap jika persempadanan semula sebelum ini dibuat sedemikian rupa kerana saya tidak sempat membuat persempadanan semula.

Gerrymandering pula boleh ditangani jika protokol undang-undang mengenai bagaimana persempadanan semula dibuat atau garis panduan dinyatakan secara jelas seperti saiz populasi dan sebagainya. Apabila rangka kerjanya jelas, tidak bolehlah kata ini gerrymandering kerana kerajaan mengikut rangka kerja.

Masalahnya, rangka kerja persempadanan semula diberi kepada SPR amat luas yang memberi budi bicara kepada SPR. Garis panduan tentang budi bicara ini mesti jelas kerana jika tidak, apabila SPR membuat persempadanan semula menggunakan budi bicara, maka timbul dakwaan ini gerrymandering. SPR pula nanti nafi kerana kononnya bidang kuasa mereka. Oleh itu, kerajaan mesti keluarkan garis panduan persempadanan semula yang jelas.

Kumpulan pendesak reformasi institusi, Projek SAMA mencadang kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan menambah 15 kerusi tambahan di Dewan Negara untuk Sabah dan Sarawak bagi menyekat pindaan Perlembagaan secara sepihak dari Semenanjung. Komen?
Inilah masalah para cendekiawan dan aktivis. Mereka idealistik, tetapi, tidak melihat kepada realiti. Hak Persekutuan harus dipelihara dan tindakan yang boleh memberi impak negatif kepada Persekutuan tidak wajar dilakukan. Tiada mana-mana negeri di dalam Persekutuan patut diberikan status keistimewaan.

Kualiti perbahasan ahli Parlimen pula?
Bukan mereka tiada kualiti, tetapi, mereka lebih cenderung berpolitik, perdebatan dasar ‘diambil alih’ oleh politik. Apabila berlaku begini, nampak mereka seperti tiada kualiti. Akan ada bangkangan, usik-mengusik, cuit-mencuit, pergaduhan dan kacau bilau. Jika kita benar-benar bercakap dasar, hal ini tidak akan berlaku.

Tan Sri nampak muda dan sentiasa kemas. Apa tipsnya? Buat rawatan mukakah?
(Tertawa lagi). Tiada apa pun sebenarnya, saya buat senaman sedikit, berjoging dan latihan di gim gaya ‘orang tua-tua’. Paling penting masa tidur mesti cukup antara enam hingga tujuh jam. Oh iya, saya dan anak saya juga aktif dalam sukan permotoran.  – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×