RUU antilompat parti lulus, sejarah baharu politik negara - Utusan Malaysia

RUU antilompat parti lulus, sejarah baharu politik negara

Ismail Sabri menunjukkan tanda bagus kepada blok pembangkang selepas RUU larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan Parlimen semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti diluluskan dengan undi lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat semalam.

Kelulusan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara luar yang telah menguatkuasakan undang-undang itu lebih awal bagi menghalang wakil rakyat melompat parti kerana menjejaskan imbangan kuasa kerajaan dan parti-parti politik.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, sekurang-kurangnya 39 ahli Parlimen di negara ini melompat parti, malah membawa kepada ketidakstabilan politik yang turut menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian yang dijalankan.

“Lebih suara bersetuju, maka dengan ini, usul disetujukan,” katanya ringkas semasa mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam penggulungannya berkata, sebarang tindakan suatu parti politik termasuk keluar daripada suatu gabungan dan menyertai gabungan lain tidak dianggap sebagai bertukar parti.

Katanya, ahli Dewan Rakyat yang kekal dalam parti gabungan sedia ada juga tidak akan dianggap bertukar parti.

“Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongannya kepada parti politik selain diwakilinya tidak dianggap bertukar parti kerana ahli Dewan Rakyat tersebut masih kekal sebagai ahli parti politik diwakilinya,” katanya.

Katanya, ahli Dewan Rakyat dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya jika ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keahlian beliau digugur berdasarkan Perlembagaan parti.

“Ini sekiranya perlembagaan parti politiknya memperuntukkan perbuatan ahli Dewan Rakyat itu yang tidak mengikut prinsip parti atau melanggar arahan Whip akan terjumlah kepada beliau tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut dengan sendirinya,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan simbol parti politik atau parti gabungan ketika pilihan raya tidak dikira dalam rang undang-undang itu dan tidak dianggap sebagai bertukar parti jika ke parti mereka atau kekal bebas.

Katanya, ahli Dewan Rakyat yang bukan ahli mana-mana parti politik (Bebas) boleh menyokong mana-mana parti politik atau parti gabungan, namun, mesti kekal sebagai ahli Dewan Rakyat Bebas dan tidak boleh menyertai mana-mana parti politik.

“Sekiranya beliau bertindak menyertai sesuatu parti politik, maka beliau dianggap bertukar parti kerana mandat diberikan rakyat atas tiket Bebas dan jika mandat ini tidak dipenuhi, maka kedudukan ahli Dewan Rakyat harus dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya,” katanya.

Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terlalu luas.

Rang undang-undang itu akan dibentang dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 dan 10 Ogos ini (bacaan pertama dan kedua) seterusnya dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenan dan diwartakan sebagai satu akta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN