Bersatu bincang minggu depan notis kekosongan kerusi 7 wakil rakyat

Bersatu bincang minggu depan notis kekosongan kerusi 7 wakil rakyatnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membicangkan isu tujuh wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat tertinggi parti, minggu depan.

Selepas mesyuarat tersebut baharulah Bersatu menghantar notis kekosongan tujuh kerusi wakil rakyatnya yang terhenti keahlian parti dengan serta-merta. 

Difahamkan kepimpinan tertinggi Bersatu sedang memperhalusi beberapa langkah sebelum meneruskan usaha menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan di bawah undang-undang antilompat parti.

Setakat ini, Bersatu masih belum menghantar notis kekosongan itu ekoran keahlian tujuh wakil rakyat terlibat terhenti serta-merta daripada keanggotaan parti.

Parti itu dikatakan mengambil kira Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 10.4 Perlembagaan parti bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat terhenti apabila terhenti menjadi anggota parti

Hal ini kerana keahlian tujuh wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sudah terhenti kerana ketidakpatuhan terhadap arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Sementara itu, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjelaskan  Perkara 49 (A) memaklumkan seseorang ahli Parlimen terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan kerusinya hendaklah menjadi kosong jika setelah dipilih sebagai anggota suatu parti politik, melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti.

“Terhenti dan diberhenti atau dibuang ahli parti merupakan dua definisi berbeza. Dibuang atau dipecat tidak dianggap melompat parti yang menyaksikan kekosongan kerusi dan perlu diadakan pilihan raya.

“Dalam soal ini, tujuh wakil rakyat termasuk enam ahli Parlimen terlibat ‘terhenti’ keahlian sekali gus ia terpakai dalam menaksirkan berlaku kekosongan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.

Antaranya enam Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selain itu seorang ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Azhar Azizan yang juga pakar undang-undang berkata, mana-mana ahli Dewan Rakyat, malah blok kerajaan boleh menghantar notis bahawa berlakunya kekosongan luar jangka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, sudah tentu dalam situasi itu dalam kalangan 25 ahli Parlimen Bersatu akan berbuat demikian untuk menyerahkan notis berkenaan.

Azhar kemudian menambah, mana-mana ahli Dewan Rakyat Bersatu perlu menjelaskan bahawa enam ahli Parlimen terlibat telah terhenti keahlian seperti mana ditetapkan Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh menerima notis bertulis itu,” katanya.

Justeru itu untuk memastikan kekosongan kerusi berlaku, beliau menjelaskan, terserah kepada perspektif Speaker bagi berbuat demikian sama ada ingin memanggil keenam-enam Ahli Dewan Rakyat terlibat.

“Beliau boleh memanggil wakil rakyat yang mengemukakan notis kekosongan bagi menerima penjelasan sebenar mengapa kerusi itu perlu dikosongkan,” katanya.

Azhar Azizan berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu membuat keputusan dalam masa 21 hari sama ada kekosongan berlaku atau sebaliknya.

Sementara itu, tujuh wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri akan mengadakan sidang akhbar khas, minggu depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, ketujuh-tujuh mereka akan memberi penjelasan mengenai tindakan seterusnya yang bakal diambil dalam sidang akhbar berkenaan.

“Belum tiba masanya untuk kita ulas apa-apa. Segala kenyataan akan terjawab dalam sidang akhbar sebelum Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×