DONALD Trump mencatat sejarah tersendiri dalam institusi presiden Amerika Syarikat (AS) apabila kembali ke Rumah Putih selepas disingkirkan oleh Joe Biden pada pilihan raya 2020.
Beliau juga menjadi orang kedua dalam sejarah negara itu yang menjadi presiden sebanyak dua kali atau dua penggal tetapi secara tidak berturut-turut. Selain itu dia juga menjadi calon presiden pertama dari Republikan yang memenangi undi popular dalam tempoh 20 tahun.
Pada masa sama, dia juga berhadapan dengan beberapa perbicaraan kes jenayah dan menerima sabitan jenayah. Tetapi kini, semua itu tidak penting lagi kerana rakyat AS sudah memilihnya sebagai Presiden, menyingkirkan pencabar dari Demokrat, Kamala Harris.
Cuma yang menjadi persoalan di seluruh dunia adakah pentadbiran Trump 2.0 akan mengulangi apa yang telah dilakukannya sebelum ini? Atau mungkin lebih teruk lagi.
Adakah beliau akan membina pentadbiran yang jauh lebih menindas dan perkauman seperti mana di era 2017-2021.
Trump akan masuk Oval Office secara rasminya pada 20 Januari ini. Ramai yakin dia akan melaksanakan rejim pentadbiran separa autokratik yang meletakkan warna kulit sebagai asas pertimbangan dan kaum pendatang dilihat akan menjadi golongan yang paling tertekan.
Ini berdasarkan kepada pendirian Trump ketika berkempen sepanjang proses pilihan raya baru-baru ini. Beberapa minggu sebelum pilihan raya, Trump membangkitkan fakta tentang masa lalu AS sebagai visinya untuk masa depan untuk negara itu.
Profesor Donald Earl Collin dari Universiti Amerika, Washington DC berkata, rancangan Trump untuk AS tertumpu pada ekonomi laissez-faire gaya lama. Pengasingan dan ketuanan lelaki kulit putih – yang dilihat sebagai percubaan sebenar untuk membawa AS kembali ke tahun 1890-an.
Ini berdasarkan kepada kekaguman Trump terhadap William McKinley yang menjadi Presiden AS pada 1897 sebelum dibunuh pada 1901. Ketika kempennya, Trump menganggap McKinley individu terhebat yang AS pernah ada.
Tetapi realitinya, McKinley menjadi punca AS berada dalam keadaan panik ekonomi pada 1893. Meletakkan negara itu dalam krisis kewangan yang teruk kerana sistem tarif yang diperkenalkannya.
Menurut Prof. Collin, Trump melihat zaman McKinley sebagai tempoh yang hebat dalam sejarah lampau. Sedangkan ketika itu AS berhadapan dengan kemiskinan melampau, keganasan perkauman yang tidak terkawal dan penderitaan dalam dan luar negara.
Dari segi dasar luar, Trump 2.0 akan menyambung dasar yang pernah dilaksanakannya sebelum ini yang telah terbukti merosakkan.
Penggal Trump sebagai Presiden sebelum ini diingat dengan keengganan Washington terlibat dalam sebarang usaha menegakkan undang-undang antarabangsa dan mempertahankan perintah berasaskan peraturan yang dibantu oleh AS selepas Perang Dunia II.
Di bawah Trump 2.0, jika polisi ini terus menjadi pegangan ia bakal memberi kesan negatif di seluruh dunia. Ia sekali lagi akan dilihat sebagai era pengasingan AS yang dibimbangi akan membiakkan konflik dan perebutan kuasa.
Dan Trump telah menbayangkan bahawa AS di bawah pentadbirannya tidak akan menyokong Ukraine yang kini berhadapan dengan serangan oleh Russia.
Para pemerhati melihat pendirian Trump terhadap perang Russia-Ukraine ini sebagai ancaman kepada Eropah. Mereka berpendapat, keengganan AS untuk membantu akan membuka ruang kepada Russia bertindak lebih jauh yang bukan sahaja akan membawa kemusnahan kepada Ukraine tetapi juga Eropah.
Dalam isu Palestin, Trump kelihatan akan memberi lebih banyak kebebasan kepada Israel untuk meneruskan aktiviti pembunuhan beramai-ramai mereka berbanding Biden.
“Saya gembira Bibi (Benjamin Netanyahu) memutuskan untuk melakukan apa yang dia perlu lakukan walaupun Biden cuba menghalangnya,” kata Trump merujuk kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyembelih puluhan ribu orang awam Palestin, kononnya untuk mengalahkan Hamas di Gaza.
Pendekatan tidak campur tangan AS di bawah Trump berkemungkinan akan mendorong rejim penyangak itu untuk terus melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak memperdulikan hak asasi manusia.
Sebab itu, ramai pemerhati melihat Trump 2.0 sebagai era baharu kemusnahan yang diperbaharui yang akan membawa kepada konflik dan ketidakstabilan geopolitik secara keseluruhan.
Dari segi ekonomi, Trump berkata, beliau akan memperkenalkan tarif yang lebih tinggi ke atas barangan dari China dan negara lain, semuanya dalam usaha, kononnya, untuk membantu ekonomi AS.
Pakar ekonomi berpendapat, dalam era globalisasi ini, tarif sebegitu akan memberi kesan ke atas kewangan AS. Satu kajian mengenai rancangan tarif Trump mencadangkan, jika dasar itu dilaksanakan, pendapatan median rakyat Amerika akan turun antara dua dan empat peratus di samping pengangguran akan meningkat, terutamanya dalam sektor pembuatan.
Untuk domestik pula, Trump akan melaksanakan Projek 2025 yang amat digeruni untuk memastikan AS kekal sebagai tempat perlindungan selamat kepada golongan kapitalisme yang korup dan orang kulit putih yang kaya serta syarikat mega yang mendapat manfaat daripada rasuah dan salah guna kuasa.
Kumpulan terpinggir yang dikenal pasti Trump semasa kempennya sebagai musuh AS, iaitu pendatang tanpa izin, Arab dan Muslim Amerika, golongan transgender, antara lain – akan menghadapi peningkatan dalam penindasan dan diskriminasi.
Sekali lagi, ketuanan lelaki kulit putih secara terbuka akan menjadi undang-undang negara itu.
“Kita akan bawa mereka keluar dari negara kita. Saya akan mengharamkan penempatan semula pelarian dari kawasan yang dilanda keganasan seperti Gaza, dan kami akan menutup sempadan kami dan mengembalikan larangan perjalanan,” kata Trump pada majlis ulang tahun pertama serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, merujuk kepada orang Islam tidak dibenarkan melawat AS.
Sepanjang kempen, dia juga menyatakan dengan jelas dan berulang-ulang kali untuk mengusir dan mengharamkan semua pendatang tanpa izin, dan mana-mana pendatang dan pelarian coklat dan kulit hitam, sama ada mereka dari Amerika Tengah dan Selatan, Caribbean, Afrika atau Asia Barat.
Ini adalah pernyataan yang jelas bahawa Trump 2.0 mengutamakan ketuanan kulit putih tanpa menghiraukan sumbangan mereka yang kulit berwarna sama ada di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.
Kita hanya boleh tunggu dan lihat kesannya sambil berharap ia tidak akan menjadi realiti kerana tempiasnya akan turut terkena kepada Malaysia.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










