PADA 7 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood, Sungai Siput, Perak yang merupakan sekolah Tamil ke-530 masih wujud di Malaysia.
Sebuah portal berbahasa Hindi pada 12 Januari 2023 melaporkan, lebih kurang 135 buah SJKT mempunyai kurang daripada 30 orang murid dan berdepan kemungkinan digabungkan atau ditutup terus.
Pelbagai ulasan, komen dan gambaran sebenar berkaitan SJKT boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024) selain turut dibaca di ruangan ini dari semasa ke semasa.
Sebuah portal berita berbahasa Inggeris pula baru-baru ini melaporkan jumlah kemasukan murid ke SJKT di kawasan bandar, khususnya di Lembah Klang meningkat secara mendadak.
Guru besar SJKT Puchong, G. Sivagami dan guru besar SJKT Taman Sentosa, S. Thamilarasu sependapat sekolah Tamil menjadi pilihan ibu bapa yang mahu anak-anak terdedah kepada budaya, warisan dan tradisi komuniti Tamil sejak kecil.
Selain pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, satu lagi daya penarik kepada ibu bapa kaum India adalah peluang anak-anak menyertai acara keagamaan dan kebudayaan seperti Ponggal, Navaratri dan Deepavali di sekolah.
Dalam pada itu, guru besar SJKT Bestari Jaya, S. Pandian yang juga pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah Tamil Negeri Selangor mengingatkan, banyak SJKT di luar bandar masih menghadapi pelbagai masalah.
Katanya, secara purata, sebuah sekolah Tamil ditutup setiap tahun kerana kekurangan atau ketiadaan murid. SJKT di kawasan ladang berdepan risiko paling tinggi kerana majoriti kaum India sudah berhijrah ke kawasan bandar.
Situasi SJKT terpaksa digabungkan atau ditutup bukan perkara baharu. Bekas penyelia sekolah-sekolah Tamil negeri Selangor, K. Murugan ‘menyelenggara’ sebuah buku bahasa Tamil pada 2015. Buku itu mendokumentasi maklumat tentang 99 buah SJKT di Selangor.
Sekolah ke-100 ialah SJKT PJS1 yang beroperasi mulai Mac 2023. Turut disenaraikan lebih 20 buah SJKT yang tidak lagi wujud di Selangor.
Majoriti sekolah itu ditutup kerana kekurangan murid. Maka, tidak wajar dan tidak adil menuding jari kepada pihak luar kononnya mengancam kewujudan sekolah Tamil.
Ada juga sekolah yang hilang selepas diarah berpindah. Contoh terbaik apabila penduduk Ladang Prang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley diarah berpindah pada 1999 untuk memberi laluan kepada projek pembinaan Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sekitar 400 penduduk itu ditempatkan di lima blok pangsapuri di Taman Permata, Dengkil.
Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) terlibat mengendalikan program bahasa, sastera dan budaya bagi kanak-kanak dan remaja terbabit sejak 2007.
SJKT Galloway yang ditubuhkan pada 1940 diarah berpindah. Akhirnya, sekolah itu dan SJKT Ladang Prang Besar digabungkan dengan SJKT Dengkil yang ditubuhkan pada 1980.
Nasib hampir sama dialami SJKT Ladang Lothian, Sepang. Penduduk terpaksa berpindah akibat tanah dibangunkan. Akhirnya, sekolah itu yang dibuka pada 1940 terpaksa ditutup pada 2000.
Seorang mandur menjadi tenaga pengajar apabila SJKT Ladang Abacca dibuka di Semenyih. Menurut K. Murugan dalam bukunya, sekolah itu kemudian digabungkan dengan SJKT Ladang Rinching.
Namun begitu, maklumat diberi penulis tentang SJKT Ladang Bangi menimbulkan tanda tanya. Katanya, sekolah itu yang dimulakan pada 1952 sudah tiada. Setahu saya, SJKT Bangi masih beroperasi di Ladang Broome, Bangi.
Sebenarnya, SJKT Ladang Broome dibina pada 1953, dirasmikan pada 1968 dan kemudian dinamakan SJKT Bangi.
Maklumat tentang SJKT Bukit Jelutong, Klang agak menarik. Dinyatakan dua sekolah digabung menjadi satu pada 1952. Murid datang dari Ladang Midlands East, Ladang Sungai Renggam, Oil Palm Estate dan Ladang Batu Tiga.
Pada 1961, sekolah itu digabungkan dengan beberapa sekolah kecil berdekatan. Kesemua sekolah terbabit sudah tiada dan mungkin langsung tidak dikenali generasi muda sekarang.
Penyelenggara buku menyebut tentang SJKT Ladang Sabak Bernam yang masih beroperasi dan SJKT Ladang Torkington yang sudah tiada. Sebenarnya, SJKT Ladang Torkington ditubuhkan pada 1920 dengan seorang guru dan enam murid.
Sekolah itu kemudian mula turut menggunakan bahasa Telugu sebagai bahasa pengantar kerana ramai murid keturunan Telugu.
Bagaimanapun, penggunaan bahasa Telugu ditamatkan pada 1985 di bawah Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Apabila nama Ladang Torkington berubah kepada Ladang Sabak Bernam pada 1987, nama sekolah juga ditukar kepada SJKT Ladang Sabak Bernam.
Maknanya, sekolah itu tidak pupus atau ditutup. Sebaliknya, hanya mengalami perubahan nama.
Dinyatakan juga tentang SJKT Bukit Kemuning, Batu Tiga (1945), SJKT Haron, Klang (1938) dan SJKT Ladang Athlone, Kapar (1946) yang pasti menyimpan seribu satu kisah, pengalaman serta sejarah yang kini sudah lupus bersama hilangnya sekolah-sekolah berkenaan.
Nama-nama seperti SJKT Ladang Sungai Platha, Hulu Selangor (1946), SJKT Bukit Cheeding, Kuala Langat (1953), SJKT Ganesa Vidyasalai, Banting (1930) dan SJKT Sungai Linau, Sepang (1938) terlalu asing bagi saya.
Sesungguhnya, SJKT di negara kita bukan hanya tempat mempertahankan hak menggunakan bahasa ibunda. Lebih dari itu, sekolah Tamil (serta sekolah Telugu, Malayalam dan Punjabi yang banyak dibuka semasa pemerintahan British) menjadi tempat memupuk rasa bangga terhadap budaya, identiti dan jati diri.
Murid, guru dan sekolah itu menjadi ‘sejarah hidup’ yang merakam segala pengalaman sezaman. Apabila sekolah terbabit ditutup dan guru-guru pula sudah meninggal dunia, hilanglah sumber sejarah yang amat berharga.
Maka, tinggal bekas murid yang sepatutnya memikul tanggungjawab memastikan kisah-kisah lama disampaikan sama ada secara lisan, bertulis atau audio visual kepada generasi muda.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










