BAGAN DATUK: Seorang bapa tidak menyangka anak lelakinya yang kurang upaya (OKU) pendengaran dan autisme mampu berjalan sejauh lebih 300 meter sebelum ditemukan lemas dalam parit di kebun kelapa sawit di sini semalam.
Muhammad Firdaus Ibrahim, 31, berkata, keadaan fizikal anaknya, Muhammad Faith Fatih, 6, yang tempang menyukarkan pergerakan, sekali gus membuatkan dia terkejut apabila kanak-kanak itu ditemukan dalam parit yang terletak agak jauh dari rumah.
“Saya tidak sangka dia boleh sampai ke parit tempat dia ditemukan lemas kerana jaraknya jauh dari rumah. Malah sejak tinggal di kampung ini, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan kebun sawit itu. Saya hairan bagaimana dia boleh berjalan sejauh itu, namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia hanya menyedari kehilangan anaknya kira-kira pukul 3.30 petang.
“Saya hanya menemui bekas plastik keropok yang dimakan anak saya di luar rumah sebelum membuat laporan polis mengenai kehilangannya,” katanya.
Mayat mangsa ditemui orang awam pada pukul 10.08 malam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bagi mengesan kanak-kanak berkenaan di kawasan parit dalam kebun kelapa sawit di Sungai Sumun, Hutan Melintang.
Difahamkan, mangsa ditemui pada jarak kira-kira 330 meter dari rumahnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 6.24 petang berhubung kehilangan kanak-kanak lelaki itu sebelum operasi SAR dijalankan di kawasan berkenaan. – UTUSAN










