ALOR SETAR: Seorang wanita mengakui tidak pernah menyesal berkahwin dengan lelaki etnik Rohingya walaupun sering menerima kecaman masyarakat, sebaliknya gembira dan bersyukur dikurniakan enam cahaya mata hasil perkahwinan itu.
Intan, 36, berkata, dia berkahwin pada usia 19 tahun selepas mengenali suaminya ketika mereka sama-sama bekerja di Alor Setar, apabila lelaki itu bekerja di kedai makan manakala dia menghantar kuih ke premis berkenaan.
“Kami berkahwin pada 2008 dan kini dikurniakan enam anak berusia antara empat hingga 16 tahun. Semua anak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa di rumahnya di sini semalam.
Menurut Intan, perkahwinan mereka mendapat restu keluarga kerana ahli keluarganya mengenali suami yang disifatkan sebagai seorang yang baik dan bertanggungjawab.
Katanya, suaminya masuk ke Malaysia bersama ibu bapanya ketika masih bayi dan lama menetap di negara ini sehingga fasih bertutur loghat Kedah selain menyara hidup dengan bekerja mengambil upah di kedai makan dan memotong rumput.
Kehidupan mereka berubah apabila suaminya ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik sejak Oktober tahun lalu.
“Suami ada kad UNHCR dan dimaklumkan hanya dapat dibebaskan selepas urusan melibatkan UNHCR selesai,” katanya.
Intan kini menyara hidup dengan menjual kuih selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,000.
“Anak sulung membantu mencari rezeki dengan bekerja di kedai makan selepas habis sekolah.
“Sedih melihat dia kerja setiap hujung minggu sehingga lewat malam dan akan bekerja pada hari biasa jika dipanggil majikan,” katanya.
Intan hanya mengabaikan pandangan serong terhadap etnik Rohingya kerana baginya suaminya bertanggungjawab, malah tidak pernah menyesal berkahwin kerana jodoh. – UTUSAN










