DATA yang disediakan Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan dari Januari sehingga September tahun ini, terdapat seramai 169,691 orang penyalahguna penagih dadah serta bahan.
Daripada jumlah ini 51,888 orang menerima perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti, 5,764 orang menerima rawatan dalam institusi di 30 buah Pusat Penagihan Narkotik (PUSPEN) manakala 2,786 orang menerima rawatan di 52 buah Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) di seluruh negara.
Cabaran menangani penyalahgunaan dan penagihan dadah serta bahan lebih sukar kini kerana penggunaan jenis dadah sintetik kategori AmphetamineType Stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ecstasy menyumbang angka paling banyak iaitu 119,410 atau 70.4 peratus.
Mengikut negeri, empat negeri paling ramai penagih adalah empat negeri majoriti Melayu, di mana bagi 100,000 penduduk, 980 di Kelantan, Terengganu (925), Perlis (884) dan Kedah (790) adalah penyalahguna dan penagih dadah serta bahan. Serentak itu, mengikut bangsa, Melayu paling ramai menjadi penyalahguna dan penagih dadah serta bahan dengan 130,277 orang, diikuti India (12,553) dan Cina (12,442).
Mengikut julat umur, pula 13 penyalahguna dan penagih dadah serta bahan berumur 10 hingga 14 tahun, 15 hingga 19 tahun (1,626), 20 hingga 24 tahun (13,778), 25 hingga 29 tahun (25,425) dan 30 hingga 34 tahun (29,164).
Seterusnya, mengikut tahap pendidikan, 44,491 penyalahguna dan penagih dadah serta bahan tidak pernah bersekolah, pernah bersekolah rendah (13,566), mempunyai Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau yang setaraf (40,316) serta mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ Sijil Vokasional Malaysia (SVM) atau yang setaraf (64,646).
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah AADK Negeri Kelantan, saya terkesan bila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini menyebut data-data ini, khususnya bila Kelantan muncul negeri dengan kadar penyalahguna dan penagih dadah serta bahan teramai.
Begitu juga dengan bilangan penyalahguna dan penagih dadah serta bahan yang majoritinya dari kaum Melayu beragama Islam, malah bilangan mereka termasuk dalam kategori ini dari kalangan berumur 10 hingga 14 serta 15 hingga 19 tahun.
Sebab itu semua pihak perlu menghargai dan memberi dukungan kepada usaha Kementerian Dalam Negeri melalui AADK yang mendapat Ketua Pengarah Baharu, Datuk Ruslin Jusoh, bersama-sama Kementerian Pendidikan yang sentiasa berusaha memastikan setiap murid diberi pendedahan dengan ilmu pendidikan pencegahan dadah serta kempen kesedaran berterusan terhadap bahayanya.
Sebanyak 1,665 program saringan ujian urin murid sekolah dijalankan oleh AADK dan Kementerian Pendidikan di seluruh negara bermula Januari hingga Oktober 2024 melibatkan 42,423 orang murid. Hasilnya seramai 112 orang murid sekolah didapati positif membolehkan mereka diambil tindakan intervensi awal seperti kaunseling dan juga menjalani program yang ditetapkan.
Antara program khusus yang dijalankan oleh AADK dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk sekolah rendah ialah Kem PINTAR (Program Intelek Asuhan Rohani), melibatkan murid tahap dua (tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah bertujuan membina kemahiran hidup selain resilien agar tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta bahan.
Manakala untuk sekolah menengah, Kem SHIELDS (Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya) diadakan melibatkan semua murid tahap satu dan dua dengan tumpuan kepada murid berisiko bagi memupuk amalan sikap baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta melaksanakan intervensi awal kepada mereka yang mula terjebak.
Guru-guru turut dibekalkan dengan maklumat serta pengetahuan mengenai penyalahgunaan dadah dan bahan di samping dibekalkan dengan kemahiran mengenalpasti selain menguruskan insiden berkaitan penyalahgunaan dadah mahupun bahan di sekolah melalui Program Organisasi Guru yang Hebat (GTO).
Paling mutakhir ialah Majlis Pelancaran Kempen Antidadah Ahad lalu telah dirasmikan secara bersama oleh Saifuddin dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menandakan kerjasama erat kedua-dua kementerian berkenaan dalam menangani isu serius yang merupakan satu ancaman besar kepada keselamatan negara malah boleh merosakkan kehidupan individu, keluarga, sekolah, tempat kerja mahupun masyarakat.
Kempen Antidadah ini merupakan usaha memperkasakan pendidikan pencegahan dadah di sekolah dengan mewujudkan Kelab Antidadah yang mana ahli kelab ini akan dikenali sebagai SKUAD Junior. Mereka berperanan membentuk satu pasukan sukarelawan dalam kalangan murid dalam komuniti sekolah yang menyebarkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan.
PROJEK RINTIS
Pada peringkat awal disasarkan sebanyak 26 buah sekolah melibatkan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara untuk dijadikan sebagai projek rintis kepada pelaksanaan SKUAD Junior ini bagi sesi persekolahan tahun 2025.
Objektifnya adalah untuk menyemarak selain memobilisasi semua warga sekolah sama ada pendidik, pekerja serta murid agar lebih cakna terhadap masalah penyalahgunaan dadah dan bahan serta menyegarkan kembali program mahupun aktiviti antidadah yang sedia ada di peringkat sekolah.
Semoga dengan penglibatan aktif murid dalam SKUAD Junior mampu menjadi pencetus kepada semangat kesukarelawan dalam kalangan murid bukan sahaja komuniti sekolah malah akan meneruskan kesinambungan usaha murni kesukarelawan ini ke dalam institusi keluarga, tempat kerja dan juga komuniti.
Semoga komitmen Kementerian Dalam Negeri melalui AADK serta Kementerian Pendidikan juga akan membolehkan kita mencapai matlamat sifar dadah dan bahan di sekolah.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan merangkap Guru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan.










