MINGGU ini menandakan titik pertengahan bagi semester keempat saya dalam pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebagai pelajar, lama-kelamaan kami menjadi begitu sibuk dengan pelajaran sehinggakan ada yang tidak terkejar dengan kehidupan peribadi.
Oleh itu, kami diberi cuti pertengahan semester selama seminggu sebelum kembali mengikuti kuliah bermula Isnin nanti.
Seperti biasa sebaik cuti bermula, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman. Ada juga yang pergi melancong dan ada juga yang mengikuti kegiatan kelab. Namun disebabkan waktu cuti hanyalah seminggu sahaja, terdapat sebahagian pelajar menghabiskan waktu cuti di kampus dengan berehat sahaja.
Namun begitu, jadual saya tetap padat sepanjang cuti ini. Oleh kerana tiada kuliah, saya mempunyai masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti luar dewan kuliah yang tidak dapat dilakukan sepanjang semester. Asalnya sedikit sahaja, namun lama-kelamaan jadualnya menjadi semakin padat, seolah-olah tiada masa untuk berehat.
Kebetulan pula saya menerima jemputan daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura untuk menghadiri Majlis Penghargaan Bulan Bahasa 2024 yang berlangsung pada Jumaat lalu. Majlis tersebut diadakan bagi meraikan sambutan bulan bahasa yang diadakan sepanjang Ogos hingga Oktober yang lalu.
Sebagai sebahagian daripada kegiatan Bulan Bahasa di sana, saya dijemput ke Singapura bagi mengajar tulisan Jawi dalam satu majlis bertempat di Perpustakaan Negara Singapura pada Oktober lalu. Atas usaha tersebut maka saya berserta seorang rakan daripada Wikimedia Malaysia dijemput ke majlis penghargaan itu.
Sambil menikmati jamuan, saya disapa Ahli Parlimen Choa Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa. Beliau turut bertanya tentang bagaimana timbulnya minat saya untuk mendalami tulisan Jawi.
Kami terpaksa pulang ke Kuala Lumpur pada malam tersebut kerana perlu menyertai delegasi UIAM ke Lumut keesokan harinya bagi menghadiri sebuah majlis bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Maka, selesai sahaja majlis tersebut, kami bergegas ke lapangan terbang.
Namun, oleh kerana penerbangan pulang ke Kuala Lumpur tertunda selama lebih dua jam akibat cuaca buruk, kami mendarat di tanah air kira-kira pada pukul 2 pagi. Tiba di rumah lewat pukul 3 pagi, saya cuma mempunyai beberapa jam sahaja untuk berehat kerana perlu bersiap awal ke universiti, memandangkan rombongan akan bertolak ke Lumut dari UIAM seawal 10 pagi.
Oleh kerana keadaan lebuh raya biasanya sesak pada hujung minggu, kami perlu bertolak tepat pada masanya supaya dapat tiba di sana sebelum program bermula. Benar sangkaan kami, walaupun menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di jalan utama, perjalanan ke sana mengambil masa selama empat jam.
Program In Person with Doc Zam memberi peluang kepada para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bertemu dan bertanya apa sahaja soalan serta melontarkan pendapat dan cadangan secara personal kepada Menteri Pengajian Tinggi, termasuk tentang dasar kerajaan khasnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Program seperti ini amat penting kerana selain dapat menyuarakan masalah yang dihadapi, kami boleh mendapatkan maklum balas tepat daripada menteri sendiri tentang isu-isu yang dimainkan di media sosial oleh kumpulan-kumpulan yang berkepentingan bagi mempengaruhi pemikiran pelajar.
Menjawab soalan saya berkenaan kepentingan menerapkan konsep kesukarelawanan di IPT seperti yang dilakukan dalam program Usrah in Action di UIAM, Zambry menekankan tentang betapa pentingnya penerapan konsep ini dalam kalangan pelajar, bukan sahaja untuk diterapkan, malah patut dijiwai bagi melahirkan pemimpin yang baik.
Menteri Pendidikan Tinggi itu turut bercerita tentang pengalaman beliau melakukan kerja-kerja kesukarelawanan ketika menuntut di UIAM dahulu. Beliau menegaskan para pemimpin pelajar harus berkhidmat kepada masyarakat dan bukannya mementingkan diri sendiri. Kita perlu sentiasa sedia mengorbankan kepentingan sendiri untuk kepentingan awam, terutamanya dalam melakar perubahan.
Saya betul-betul tercabar dengan kata-kata ini.
Kebetulan saya dijemput bagi mengurus satu sesi latihan kepada kakitangan sebuah syarikat Jepun yang baru tiba di Malaysia. Sejurus selepas itu, saya kembali ke universiti bagi menyambut sebuah lagi delegasi pelajar dari Indonesia pula.
Ketika memberi taklimat kepada mereka tentang pemerkasaan mahasiswa dalam membentuk perubahan, saya turut menyelitkan jawapan Zambry apabila beliau disoal tentang kebebasan berpolitik dalam kalangan mahasiswa. Beliau menegaskan bahawa mahasiswa bebas berpolitik, namun, harus bersifat matang memandangkan sifat mahasiswa itu sendiri perlu bijak.
Pada hari Khamis pula, saya dijemput menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Universiti-Universiti Islam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kedua yang berlangsung di UIAM, dihadiri oleh tokoh pendidikan seluruh dunia. Alhamdulillah, saya turut diberi peluang untuk menyuarakan pendapat. Kami berbincang tentang masa depan pendidikan dalam dunia Islam. Perwakilan menegaskan antara elemen utama yang perlu diketengahkan termasuklah keterlibatan masyarakat serta pemerkasaan mahasiswa.

MATANG & PERCAYA
Di antara kesimpulan yang dibuat ialah, pemerkasaan pelajar harus dimulakan dengan kepercayaan kepada para pelajar dan pada masa yang sama mereka mesti memberi rasa yakin kepada pihak pengurusan universiti. Saling mempercayai ialah langkah paling penting dalam membentuk sesebuah hubungan.
Perkara ini mengingatkan saya kepada kata-kata Zambry tentang pentingnya pemikiran matang apabila ingin berpolitik. Kita sendiri selalu mengecam pemimpin politik yang tidak matang berpolitik, namun pemimpin pelajar sering membuat kesilapan sama.
Akhir kalam, walaupun saya tidak dapat mempunyai waktu yang panjang untuk merehatkan diri secara fizikal, cuti semester ini tiada kurangnya, malah lebih bernilai disebabkan kesibukan ini.
Benar apa Zambry kata, kita mesti buang sikap pentingkan diri sebaliknya mengutamakan masyarakat. Hanya dengan itu dapat kita capai kejayaan, bukan sahaja untuk kita, tetapi untuk semua.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










