Mengapa penerbangan dibatalkan apabila gunung berapi meletus?

Mengapa penerbangan dibatalkan apabila gunung berapi meletus?

PERTUBUHAN Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sudah mengeluarkan garis panduan mengenai bahaya abu gunung berapi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKURANG-kurangnya tiga syarikat penerbangan membatalkan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bali minggu ini selepas letusan gunung berapi di timur Indonesia yang memuntahkan kepulan abu gunung berapi ke udara.

Walaupun tindakan ini bakal menimbulkan kekecewaan para penumpang kerana perancangan percutian mereka terganggu, perlu diingat bahawa tidak selamat untuk menerbangkan pesawat melalui abu gunung berapi.
Jadi, bagaimana syarikat penerbangan memutuskan bahawa ia tidak selamat untuk terbang apabila gunung berapi meletus? Dan mengapa abu gunung berapi begitu berbahaya untuk pesawat?

APAKAH KESAN ABU GUNUNG BERAPI KEPADA KAPAL TERBANG?
Zarah abu gunung berapi adalah sangat melelas. Ia boleh menyebabkan kerosakan kekal pada cermin bahagian hadapan dan sisi pesawat dan juga boleh membuat cermin hadapan kelihatan legap, seperti seseorang telah melepasinya dengan kertas pasir. Bayangkan seseorang memakai cermin mata dan mengikisnya berulang kali dengan kertas pasir, itulah yang anda akan lihat jika anda duduk di dalam kokpit.

Abu vulkanik juga boleh menyumbat atau merosakkan penderia luaran, membawa kepada bacaan yang salah, dan boleh menyusup ke sistem pengudaraan pesawat. Ini boleh menjejaskan kualiti udara kabin dan membawa kepada potensi masalah pernafasan kepada penumpang.

Tetapi isu utama, sebenarnya, adalah kesan abu gunung berapi pada enjin. Enjin jet berfungsi dengan menarik udara, memampatkannya, mencampurkannya dengan bahan api dan menyalakannya. Ini menghasilkan gas ekzos tekanan tinggi yang dikeluarkan ke belakang, yang mendorong enjin (dan pesawat) ke hadapan.

Keseimbangan bahan api dan aliran udara yang betul adalah penting. Apabila bendasing mengganggu aliran udara, ia boleh menyebabkan enjin terhenti. Zarah abu yang masuk ke dalam enjin akan cair dan terkumpul, menyebabkan gangguan aliran udara. Ini boleh menyebabkan kegagalan fungsi enjin.

Abu vulkanik mempunyai banyak silika di dalamnya, jadi apabila ia cair, ia bertukar menjadi sesuatu yang serupa dengan kaca. Ia tidak akan cair melainkan terdedah kepada suhu yang sangat tinggi, tetapi di dalam enjin jet, suhunya sangat tinggi dan boleh mencecah sehingga 1,600 darjah celcius.

Terdapat insiden terkenal iaitu pada tahun 1982 di mana sebuah pesawat Boeing 747 British Airways sedang terbang di sekitar Indonesia dan kehilangan keempat-empat enjin selepas ia melalui ruang udara yang mempunyai zarah abu vulkanik yang terhasil dari letusan Gunung Galunggung di Jawa. Namun, juruterbang bernasib baik kerana dapat menghidupkan semula enjin dan mendarat dengan selamat, walaupun juruterbang tidak dapat melihat melalui cermin depan akibat kerosakan.

Bagaimana syarikat penerbangan memutuskan bahawa tidak selamat untuk terbang apabila gunung berapi meletus?

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan saranan oleh kakitangan operasi syarikat penerbangan. Setiap pasukan operasi syarikat penerbangan akan sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa dan membuat keputusan berdasarkan penilaian risiko mereka.

Setiap syarikat penerbangan harus mempunyai proses pengurusan risiko, yang perlu dipatuhi berdasarkan peraturan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Syarikat penerbangan yang berbeza mungkin menangani pengurusan risiko dengan cara yang sedikit berbeza; anda mungkin dapat melihat beberapa penerbangan yang membatalkan penerbangan lebih awal daripada yang lain. Tetapi, secara umum, syarikat penerbangan akan membuat kesimpulan yang sama dan mereka mungkin berkomunikasi atau berlaku perkongsian maklumat antara satu sama lain.

Penilaian risiko penerbangan bagi senario letusan gunung berapi adalah berdasarkan keluasan kawasan udara kepulan dan saiz awan abu serta faktor arah angin, dengan mengambil kira bahawa kelajuan angin berbeza mengikut aras altitud (ketinggian). Apabila didapati angin yang lebih kuat berbanding aras ketinggian, pergerakan abu vulkanik boleh mencecah jarak radius yang agak jauh dari sumbernya.

Terdapat juga agensi khas yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang mengeluarkan garis panduan mengenai bahaya abu gunung berapi. Pelbagai agensi meteorologi di seluruh dunia bekerjasama dan akan berhubung dengan pihak berkuasa penerbangan tempatan untuk menyebarkan maklumat dengan segera jika berlaku letusan.

Keselamatan penumpang adalah keutamaan
Namun, faktor asas di sebalik sebarang keputusan pembatalan penerbangan ini ialah keutamaan keselamatan penumpang. Jika kehilangan fungsi enjin berlaku dan juruterbang tidak dapat melihat ke luar tingkap, risiko kepada keselamatan penumpang adalah jelas. Pelancong pasti akan kecewa kerana rancangan percutian mereka ditunda. Tetapi ia sebenarnya demi kepentingan terbaik penumpang untuk tidak terbang melalui kawasan abu gunung berapi. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengurus Operasi Penerbangan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merupakan alumni Fakulti Sains Pentadbiran Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sepang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN