BULAN Oktober kita rayakan semangatnya sama seperti meraikan Bulan Kebangsaan yang signifikannya citra kebangsaan berstruktur dari rasa megah dan unggul terhadap bahasa kebangsaan bak laungan organisasi keramat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu ‘Bahasa Melayu Bahasa Negara’.
Namun, sejauh manakah rukun damai masyarakat pelbagai kaum dan keturunan menghormati serta menghargai Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan? Adakah cuma berbahang kobarnya semasa di aras dasar pendidikan namun apabila beranjak ke usia remaja dan seterusnya terbina sebagai warganegara berkaliber, kita mula meminggirkan bahasa kebangsaan yang diwarisi bersama ini? Bukan tepuk dada tanya selera, bahasa ada di dalam semangat kita, bahasa duduknya dalam kutub pemikiran.
Adakah kutub ini berupaya memberikan kesan kepada iklim bahasa keseluruhannya, sudah tentu memiliki jawapan yang tersendiri berdasarkan sejauh mana kita menggunakan bahasa ini sama ada dalam sektor ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan sebagainya.
Perjuangan meninggikan taraf bahasa bukanlah perjuangan olok-olok atau hanya sebuah angan-angan kosong. Ironinya mereka yang terlibat hanya dianggap sebagai pengganggu pelaksanaan memajukan pendidikan negara. Bahasa dan pendidikan ibarat isi dengan kuku, aur dengan tebing serta bagai dakwat dengan kertas. Bahasa kebangsaan yang kita miliki bersama ini memiliki keistimewaan yang luas.
Menurut Prof. Emeritus Dr. Asmah Omar menerusi Ensiklopedia Bahasa Melayu (2008), perkembangan sejarah dan genealogi bahasa Melayu sebagai bahasa tua malah kemungkinan besar merupakan satu daripada kelompok bahasa tertua di dunia.
Pada 18 Oktober lalu, kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk beradaptasi dan memastikan pemerkasaan Bahasa Melayu dalam era digital. Kami berbangga dengan Ikhtiar 57: Bahasa dan Karya Kreatif dalam Belanjawan 2025. Gelombang Kebangkitan Asia menekankan pembangunan ekonomi harus selari dengan perkembangan budaya dan nilai.
Khazanah bahasa dan sastera perlu dipelihara agar tidak lapuk dek hujan atau lekang dek panas. Untuk mengangkat martabat bahasa dan kesusasteraan, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk DBP dalam menjalinkan kerjasama dengan penggiat bahasa, khususnya mempergiatkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan dalam kalangan generasi muda. Ini termasuk pengalihan bahasa karya agung, penganjuran teater serta pemeliharaan bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.
DBP adalah platform utama kerajaan dalam membina dan memperkaya bahasa Melayu dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. DBP juga berperanan besar dalam mengembangkan bakat sastera, khususnya di sekitar Pantai Timur. Institusi ini bertanggungjawab membakukan ejaan dan sebutan, serta membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu, sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan, adalah lambang jati diri warganegara dan representasi Malaysia di persada dunia.
Mengalih bahasa karya sastera dan kesusasteraan asing adalah langkah penting untuk memperkaya variasi khazanah sastera kita. Ia membolehkan masyarakat menghayati idea, gaya dan tema penulisan dari pelbagai sudut pandang serta pemikiran yang berbeza. Dengan cara ini, pembaca dapat memahami kehidupan dan nilai-nilai budaya lain, sekali gus memupuk sikap toleransi serta keterbukaan.
Dalam konteks Belanjawan 2025, yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar dan memberi makna kepada ekonomi Madani, usaha meningkatkan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tetap diutamakan.
Malaysia tidak pernah menghalang rakyatnya untuk mempelajari bahasa lain. Di banyak sekolah dan universiti, pelbagai bahasa asing diajar dan boleh dipelajari. Sebagai contoh, sebuah akhbar tempatan pada 23 November 2023 melaporkan Mahkamah Rayuan memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil adalah berperlembagaan.

ATASI MIKSIN BAHASA
Ini menunjukkan betapa Malaysia menghargai semua bangsa dan bahasa. Namun, kita tidak boleh meminggirkan bahasa rasmi negara. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, namun yang mendukacitakan masih terdapat rakyat di negara ini yang masih lemah penguasaan terhadap bahasa ini.
Strategi yang cukup berkesan perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu miskin bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat yang merdeka di negara ini.
Isu miskin bahasa kebangsaan adalah situasi yang sepatutnya tidak berlaku dalam negara yang melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan pendidikan bahasa Melayu dilaksanakan secara terancang dalam sistem pendidikan negara. Mungkin sesetengah pendapat menyatakan rebung telah pun menjadi buluh, apa lagi yang boleh kita lakukan untuk memastikan rakyat Malaysia menguasai bahasa rasmi negara dan terus menjunjung darjat sastera?
Bahasa dan sastera dianggap nadi citra budaya bangsa Malaysia kerana bersandarkan teori teksdealisme yang digagaskan oleh Mana Sikana (1996), bahasa dan sastera berusaha menginterpertasikan secara analitis mahupun kritis sesebuah karya yang kemudiannya mengangkat karya tersebut ke puncak idealismenya.
Pengarang mempunyai hasrat bersungguh-sungguh untuk mencipta kelainan atau perkara-perkara baharu yang berbeza dengan pengarang lain mahupun dengan karya-karyanya terdahulu agar dapat mengangkat darjat diri dan karyanya ke tahap yang unggul.
Untuk mencapai tahap keunggulan ini, disiplin sastera, teksdealisme menuntut seseorang pengarang berani mengemukakan sesuatu yang baharu dan bijaksana dalam mengolah karya berlandaskan bidang keilmuan yang tinggi. Tanpa sifat keberanian serta kebijaksanaan, teks-teks yang dihasilkan hanya akan bergerak dalam lingkungan tradisinya dan tidak memecah kepada teks-teks yang unggul.
Sejauh manakah kehebatan karya-karya yang dihasilkan ini diraih kebijaksanaannya oleh kita semua? Adakah kita membacanya dan berupayakah menghasilkan karya-karya bertaraf sastera? -UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).










