MENERUSI ikthiar kelapan Belanjawan 2025, kerajaan menzahirkan komitmen dalam memerangi rasuah. Komitmen ini dapat dilihat dengan peningkatan peruntukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bernilai RM360 juta bagi tahun hadapan.
Selain daripada peruntukan perbelanjaan yang besar, di bawah ikhtiar ini juga kerajaan menyatakan keinginan untuk memperkenalkan undang-undang baharu.
Antara perundangan yang ingin diperkenalkan adalah Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat.
Idea berkenaan sebenarnya dizahirkan hasil dapatan Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 September 2023.
Menerusi mesyuarat ini secara prinsipnya, kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan RUU Kebebasan Maklumat.
Namun memandangkan RUU ini belum dibentangkan, tidak banyak maklumat berkenaannya yang diketahui ketika penulisan ini digarap.
Kerajaan menerusi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran memaklumkan RUU ini akan dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini selepas cadangan ketetapan bagi penggubalan perundangan ini dibentangkan ke Kabinet.
Kulasegaran juga memaklumkan kepada Parlimen pada 16 Julai lalu bahawa sesi libat urus telah diadakan di beberapa zon di seluruh negara melibatkan 1,100 orang peserta yang terdiri daripada wakil agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), peguam dan ahli akademik.
Dimaklumkan juga ketika itu pada Ogos, sesi libat urus di zon tengah yang akan melibatkan 500 orang peserta akan diadakan.
RUU Kebebasan Maklumat ini bertujuan untuk meningkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan dan memberikan akses kepada orang awam untuk mendapatkan informasi daripada badan awam dan badan-badan kerajaan.
Melalui pengenalan RUU ini juga, satu badan yang boleh dirujuk akan diwujudkan sekiranya mana-mana kementerian atau badan kerajaan yang tidak membenarkan akses kepada dokumen tertentu.
Seiring dengan pengenalan RUU Kebebasan Maklumat ini, perundangan yang sedia ada seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) berkemungkinan akan menyaksikan beberapa pindaan kelak.
Akta 88 mendefinisikan rahsia rasmi sebagai apa-apa suratan yang dinyatakan dalam Jadual Akta 88, maklumat, bahan yang berhubungan dengannya yang merangkumi suratan rasmi, maklumat dan bahan lain yang dikelaskan sebagai ‘rahsia besar’, ‘rahsia’, ‘sulit’, ‘terhad’ oleh menteri, menteri besar atau ketua menteri bagi negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah Seksyen 2B akta ini.
Di bawah Akta 88 ini mana-mana orang yang didapati bersalah untuk mengintip rahsia rasmi boleh dihukum pemenjaraan seumur hidup selaras Seksyen 3 Akta 88.
Perundangan berkenaan dengan kebebasan maklumat ini bukanlah perkara baharu.
United Kingdom (UK) mempunyai Akta Kebebasan Maklumat 2000, bertujuan memberikan hak mendapatkan maklumat dalam milikan badan awam, selain menetapkan pengecualian terhadap tanggungjawab mendedahkan maklumat serta mewujudkan pengaturan berkenaan pelaksanaan dan rayuan terhadap permintaan mendapatkan maklumat.
Menerusi Seksyen 1, akta ini memperuntukkan mana-mana orang berhak untuk membuat permintaan untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam. Badan awam tersebut hendaklah kemudiannya memaklumkan kepada pemohon sama ada mempunyai maklumat yang diminta dan sekiranya ada, maka maklumat tersebut perlu disampaikan kepada pemohon.
Walau bagaimanapun, Seksyen 17 akta ini memperuntukkan hak badan awam untuk menolak permintaan tersebut dengan memberikan alasan-alasan keengganan bagi penolakan tersebut.
Akta ini sebenarnya mengimbangkan antara kepentingan awam dalam mendapatkan sesuatu maklumat rahsia dan kepentingan awam untuk mengekalkan maklumat tersebut daripada didedahkan.
SEIMBANG
Selain UK, Amerika Syarikat (AS) juga mempunyai perundangan yang hampir serupa iaitu Akta Kebebasan Maklumat (FOIA).
Tujuan akta ini mempunyai semangat yang hampir sama iaitu kebebasan untuk mendapatkan akses kepada maklumat yang disimpan oleh agensi persekutuan di negara itu.
Akta ini juga mempunyai peruntukan yang serupa berkenaan dengan pengecualian maklumat yang tidak boleh didedahkan kepada umum, antaranya berkenaan kepentingan keselamatan nasional.
Persamaan di antara akta UK dan AS adalah mekanisme rayuan yang wujud sekiranya badan awam atau agensi kerajaan enggan mengemukakan maklumat yang diminta.
Mekanisme ini adalah suatu yang berkesan untuk badan awam menjadi lebih bertanggungjawab dalam memberikan justifikasi keengganan penzahiran maklumat tersebut.
Justeru, RUU Kebebasan Maklumat yang akan dimuktamadkan kelak berkemungkinan besar mempunyai elemen keseimbangan dalam penzahiran serta kepentingan awam untuk tidak menzahirkannya.
Tuntasnya, RUU Kebebasan Maklumat kelak diharapkan dapat mencapai objektifnya ke arah tatakelola pentadbiran kerajaan yang telus. Juga menjadi harapan rakyat supaya setiap kebebasan yang diberikan tidak boleh memprejudiskan keselamatan dan kepentingan negara.
Neraca keadilan ini perlu diseimbangkan supaya keselamatan dan kepentingan umum rakyat terus terpelihara pada setiap masa.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










