BRICS perkukuh ekonomi negara

BRICS perkukuh ekonomi negara

BRICS kini mewakili hampir 40 peratus populasi dunia dan menyumbang lebih daripada 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, hampir menyamai kekuatan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRICS pada asalnya merupakan BRIC iaitu gabungan kerjasama ekonomi empat negara iaitu Brazil, Russia, India dan China, ditubuhkan pada tahun 2006. Pada tahun 2010, Afrika Selatan menyertai pakatan tersebut dan nama BRICS digunakan dengan meluas sebagai satu platform kerjasama ekonomi bagi negara-negara yang sedang membangun. Sejak dari itu, BRICS berkembang untuk ‘menarik’ lebih banyak negara, termasuk Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menjadikannya salah satu blok ekonomi yang semakin berpengaruh di arena antarabangsa.

Blok ekonomi ini telah menjadi alternatif penting kepada institusi ekonomi yang didominasi oleh Barat seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (WB), dengan tumpuan terhadap peningkatan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara-negara Selatan dan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dalam perdagangan, pelaburan, dan pembangunan. BRICS kini mewakili hampir 40 peratus populasi dunia dan menyumbang lebih daripada 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, hampir menyamai kekuatan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).

Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan yang bijak untuk menyertai BRICS. Pada 18 Jun, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan hasrat Malaysia untuk menjadi anggota BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva. Susulan itu, pada 18 Julai, selepas menerima kunjungan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, Anwar mengumumkan Malaysia sudah menghantar surat permohonan rasmi untuk menjadi rakan kongsi BRICS.

Hasrat ini diteruskan oleh Anwar pada 3 hingga 6 September, ketika menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) di Vladivostok, Russia, dengan menyatakan semula niat Malaysia kepada Presiden Vladimir Putin. Putin kemudiannya menjemput Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia, pada 22 hingga 24 Oktober.

Pada detik bersejarah 24 Oktober, Malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara rakan baharu dalam BRICS, bersama negara-negara seperti Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkiye, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Kejayaan ini adalah bukti kebijaksanaan Anwar dalam memperkukuh hubungan antarabangsa, yang beliau capai melalui lawatan ke negara-negara anggota BRICS, termasuk China, Russia, India, UAE dan Mesir.

Komitmen kerajaan Malaysia demi peningkatan ekonomi negara terbukti melalui beberapa siri lawatan yang diketua oleh Anwar, antaranya adalah tiga siri lawatan ke China (pada 29 Mac hingga 1 April 2023, 17 September 2023 dan 4 hingga 7 November 2024), satu lawatan ke Russia (pada 3 hingga 6 September 2024), satu lawatan ke India (19 hingga 21 Ogos 2024) serta satu lawatan ke UAE (5 hingga 6 Oktober 2024).

Anwar juga sekarang dalam rangka lawatan ke Mesir pada 9 hingga 12 November selain akan turut melawat sebuah lagi negara BRICS, Brazil, pada 18 hingga 19 November ini.

Tidak hairanlah maka, seperti didedahkan oleh Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali, Malaysia menjadi salah satu negara yang paling mudah diterima dalam kalangan 13 negara baharu, diberi keutamaan tertinggi oleh Putin serta disokong sebulat suara oleh anggota BRICS lain.

Anwar melihat penyertaan Malaysia dalam BRICS sebagai alat penting dalam mengurangkan kebergantungan negara kepada dolar Amerika Syarikat (AS) selain memperkukuhkan kerjasama antara negara-negara Selatan bagi mengekang penguasaan ekonomi negara industri kaya. Inisiatif ini mencerminkan keterbukaan Anwar terhadap kerjasama ekonomi global yang lebih pelbagai dan kepimpinan beliau yang berpandangan jauh untuk memastikan Malaysia tidak hanya bergantung kepada negara ekonomi tradisional tetapi juga berani meneroka peluang baharu.

Pada September yang lalu, Anwar berkata penyertaan BRICS akan menawarkan “peluang ekonomi yang bebas daripada tekanan luaran” kerana beliau berkata pakatan itu bertujuan untuk mengukuhkan negara Global Selatan (Global South) iaitu istilah yang merujuk kepada negara membangun dan kurang membangun yang terletak terutamanya di Hemisfera Selatan.

Dalam konteks ekonomi global yang semakin kompleks, penyertaan Malaysia sebagai rakan kongsi BRICS memberi peluang untuk memperluaskan jaringan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara berpotensi tinggi. Anwar menyedari kepentingan keseimbangan antara komitmen serantau, khususnya melalui ASEAN, dan kerjasama antarabangsa yang lebih luas. Langkah ini bertujuan untuk memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai negara membangun yang progresif, yang mengukuhkan hubungan dengan blok global tanpa mengabaikan kepentingan serantau.

Penyertaan dan keterbukaan Malaysia terhadap BRICS mencerminkan komitmen untuk memperkukuhkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa. Gabungan ini bukan sahaja membuka peluang baharu tetapi juga memberi ruang kepada Malaysia untuk memanfaatkan potensi ekonomi yang besar dalam kalangan negara-negara anggota. Langkah ini menghantar isyarat yang kuat kepada dunia bahawa Malaysia bersedia meneroka pendekatan baharu dalam memastikan kestabilan ekonomi dan memperkasakan kedudukannya di pentas global.

Kerjasama dengan BRICS juga membantu Malaysia menangani ketegangan ekonomi antara kuasa besar seperti AS dan China. Dalam era persaingan yang semakin sengit ini, BRICS memberikan alternatif dan mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada kuasa besar tertentu. Ini penting bagi negara yang ingin mencapai diversifikasi ekonomi untuk kekal kompetitif di peringkat global.

Tinggal lagi adalah penting bagi kerajaan untuk melibatkan rakyat dalam perbincangan mengenai penyertaan Malaysia dalam BRICS. Rakyat perlu memahami manfaat dan implikasi penyertaan dalam blok ekonomi ini serta apa yang boleh dijangka daripada kerjasama tersebut. Pendekatan yang telus ini bukan sahaja akan mampu membina konsensus nasional tetapi juga menguruskan harapan rakyat terhadap peranan Malaysia di BRICS.

Langkah bijaksana kerajaan Malaysia untuk menjalin hubungan erat dengan BRICS menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di persada antarabangsa dan memastikan negara bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Dengan pendekatan yang adaptif dan strategik, Malaysia dapat mencapai keseimbangan antara peluang ekonomi global dan kestabilan serantau. – UTUSAN

DR. Nor Azura A. Rahman adalah Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) dan juga merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN