PENGUMUMAN tentang sebilangan perkataan, termasuklah tatakelola, ketimbang dan senjang, yang diperkenalkan kepada komuniti bahasa Melayu di Malaysia, didapati kurang disenangi beberapa pihak. Ini kerana ia yang datang dari ragam bahasa Melayu lain dipersoal kewajaran penggunaannya oleh kita di sini.
Walaupun begitu, pengumuman ini harus disambut dengan hati terbuka dari satu segi. Ini kerana perkataan itu boleh merupakan sinonim, yakni perkataan seerti kepada yang sudah lama wujud dan lazim digunakan di negara ini.
Sebagai contoh, prakarsa kepada usaha dan inisiatif. Meskipun ia boleh menimbulkan kekeliruan pada mulanya sebab tidak pernah pun digunakan sebelum ini, perkataan itu akan difahami jua selanjutnya setelah diketahui maknanya.
Oleh itu, kemasukan perkataan ini dari ragam bahasa Melayu lain, hendaklah dilihat secara positif sebagai perkembangan bahasa Melayu yang makro sifatnya. Dalam pada ini, perkataan itu sebenarnya dari Nusantara, iaitu tanah watan etnik Melayu. Dalam hal ini, ia dari bahasa yang serumpun dengan bahasa Melayu, antaranya bahasa Jawa dan Minangkabau.
Pun begitu, kemasukan perkataan ini di Malaysia tidak boleh sesekali menjadikan kita terlalu ghairah dan teruja sehingga mahu dan sanggup pula meninggalkan bentuk yang tersedia dan terpakai di sini semenjak sekian lama.
Antaranya perkataan luncur yang kini sudah semacam berjaya menggantikan perkataan lancar untuk maksud menggerakkan sesuatu, antaranya barangan baharu untuk kali pertama.
Sehubungan ini, perkataan luncur di negara ini lebih membawa maksud perbuatan gelongsor daripada makna menggerakkan sesuatu itu. Ia sebelum ini tidak pun sesekali digunakan untuk membawa maksud menggerakkan sesuatu untuk kali pertamanya. Untuk ini, kita hanya menggunakan perkataan lancar.
Inilah etnosemantik kita di Malaysia, iaitu makna yang diberikan kelompok tertentu untuk satu-satu perkataan itu. Ia dilakukan berdasarkan fenomena sosial, budaya dan persekitaran di Malaysia. Dengan ini, setiap perkataan yang kita gunakan sebenarnya adalah manifestasi amalan hidup kita yang tidak sama dengan yang di tempat lain waima serumpun.
Seperkara yang amat penting dalam persoalan ini ialah jati diri kita sebagai komuniti bahasa Melayu Malaysia, selain jati diri bahasa Melayu Malaysia itu sendiri. Jati diri, yakni diri kita yang sebenar-benarnya, bukan sahaja merupakan identiti budaya kita sebagai rakyat Malaysia yang ada keteguhan hati. Juga identiti nasional untuk Malaysia, yakni keperibadian negara yang lahir daripada perwatakan rakyat yang kuat jiwanya.
Untuk semua ini, kita tidak boleh sesekali sangat ghairah dan teruja dengan bentuk bahasa yang digunakan dalam ragam lain, sehingga mahunya mengambil alih bentuk yang sudah lama digunakan. Ini bukan sahaja semata-mata persoalan etnosemantik. Juga maruah kita sebagai negara dan bangsa berdaulat dengan identiti nasional tersendiri untuk negara selain identiti budaya khas bagi rakyat.
Oleh itu, hentikanlah gejala ini yang sudah semacam nasional sifatnya. Ini penting kerana ia bukan sahaja tidak nasionalistik, malah tidak patriotik langsung. Sehubungan ini, martabat bahasa Melayu Malaysia ikut terletak pada aspek ketulenannya, yakni bentuk dan gaya bahasa yang mungkin tidak asal pun, tetapi sudah lama mantap penggunaannya di negara ini.
Dalam hal ini, ia wajib terus kekal sebegini sebagai jati diri bahasa Melayu Malaysia.
Sesungguhnya selain penggunaan perkataan itu yang bombastik, yakni berbunyi hebat, sedangkan makna yang kononnya baharu yang mahu digembar-gemburkan itu adalah minimal sekali, malah tiada pun kesignifikanannya.
Sebenarnya, ia retorik semata-mata untuk antaranya mahu menunjuk-nunjuk, ingin menarik perhatian khalayak dan bagi mewujudkan tanggapan tertentu.
Jati diri bahasa Melayu Malaysia adalah perkara yang tidak boleh sesekali diambil mudah. Ini kerana hubungan antara bahasa Melayu Malaysia dengan rakyat Malaysia adalah penting sekali. Dalam pada ini, sosiobudaya kita yang banyak terakam pada penggunaan bahasa Melayu kita itu, adalah bukan sahaja jati diri bahasa Melayu itu sendiri. Ia juga jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.
PERLU ADA SEMANGAT ETNOSENTRISME
Oleh itu, penggunaan perkataan bineka dan tatanan untuk menggantikan perkataan pelbagai dan pesanan sebenarnya memperlihat satu gejala budaya jelik. Ia menunjukkan kita dengan begitu mudah sanggup meninggalkan amalan yang berzaman demi sesuatu baharu yang tiada apa-apa kelebihan ketara pun berbanding dengan yang sedia ada itu.
Natijahnya di sini ialah kebanggaan, kesayangan dan kesetiaan kepada bahasa sendiri yang tiada apa-apa kekurangan pun berbanding dengan ragam bahasa Melayu yang lain.
Untuk ini, kita sangat-sangat perlu untuk mempunyai etnosentrisme, iaitu perasaan gah pada diri sendiri dalam semua hal, antaranya untuk meyakini bahasa Melayu kita sendiri sebagai juga bahasa hebat lagi sempurna.
Dengan ini, kita hendaklah menjadi kelompok etnolinguistik, yakni yang amat cakna dengan dan sangat prihatin kepada bahasa kita sendiri, yang bukan sahaja bersatu di dalam negara tercinta ini. Juga yang tidak sama dengan yang lain-lain, untuk terus memperkasa komuniti bahasa Melayu Malaysia sebagai kelompok yang distingtif.
Ini penting untuk memastikan bahasa Melayu kita terus wujud sebagai entiti tersendiri, tetapi melengkapi ragam lain agar bahasa Melayu itu selalu dinamik.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










