BARU-BARU ini, heboh seketika apabila cuti hujung minggu di Johor ditukar semula ke hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Sebelum ini pada 2014, cuti hujung minggu Johor ditukar ke hari Jumaat dan Sabtu. Perubahan cuti mingguan itu diumumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada 7 Oktober lalu.
Lalu timbul ulasan yang menyokong dan membantah. Sebenarnya, tiada isu pun. Hari cuti bukan penentu seseorang itu lebih Islam daripada orang lain. Sebabnya, dalam Islam pun, memang tidak ada nas yang menyuruh kita cuti pada Jumaat.
Antara ayat Allah yang menjelaskan hal ini adalah firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya), Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (al-Jumuah: 9-10)
Selagi kita mampu, orang yang mukallaf hendaklah mendirikan solat dan melakukan pelbagai lagi ibadat yang difardukan. Barulah lengkap seseorang itu bergelar Muslim. Kerana syarat sah syahadah itu hendaklah diucap, dibenarkan dengan hati dan diamalkan dengan anggota.
Biarpun, bekerja pada hari Jumaat, ia bukan alasan untuk kita tidak solat Jumaat. Sementelah, majoriti majikan di negara kita terutama syarikat swasta memberi kebenaran untuk umat Islam keluar solat Jumaat. Bagi pekerja di sektor awam, memang tiada sebab untuk meninggalkan solat Jumaat kerana pelepasan diberi secukupnya untuk berbuat demikian.
Biarpun demikian, masih ada yang culas mahu solat Jumaat. Mereka keluar juga dengan rakan-rakan lain pada pukul 12,30 tengah hari tetapi langkah mereka tidak sampai ke masjid. Sebaliknya, mereka ‘sesat’.
Golongan jenis ini berpegang dengan ‘nas’ boleh tinggal solat Jumaat tetapi jangan tiga kali berturut-turut. Padahal solat Jumaat itu hukumnya wajib atau fardu ain bagi lelaki yang mukallaf.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan tiga kali ibadah solat Jumaat tanpa uzur, nescaya ia ditulis sebagai orang kafir nifak atau munafik.” (Riwayat Tabrani)
Hadis tersebut menjelaskan bagi seorang muslim yang sengaja meninggalkan solat Jumaat tiga kali berkali-kali maka dia telah termasuk golongan kafir nifak. (Secara lahiriah nampak beriman, namun hatinya menolak keimanan kepada Allah SWT).
Ini bukan pula mahu menafikan kelebihan-kelebihan hari Jumaat yang dianggap paling mulia berbanding hari lain. Antara hadis yang menyebut perkara ini adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit padanya ialah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam AS, pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga, pada hari itu dia dikeluarkan dari syurga. Tidak akan berlaku hari kiamat melainkan pada hari Jumaat.” (Riwayat Muslim)
HARI BAGI KAUM MUSLIMIN
Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya umat Nabi Muhammad SAW dalam masjid untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengar dua khutbah Jumaat yang mengandungi wasiat bertakwa dan nasihat-nasihat, serta doa. (Rujuk juga ayat 9 surah al-Jumuah)
PENGHULU SEGALA HARI
Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana Islam meletakkan ia sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul Ayyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”
Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir r.a berkata, Rasulullah SAW berkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (Riwayat Ahmad)
HARI MUSTAJAB DOA
Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Riwayat Tarmizi).
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
• Imam duduk di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat.
• Pada akhir waktu Asar.
Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).
HARI DIHAPUSKAN DOSA
Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)
Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntutan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (Riwayat Bukhari)
Yang penting, Jumaat cuti atau tidak, ibadat perlu diteruskan. Tiada cuti dalam ibadat.-UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










