RUU Mufti melestarikan keharmonian umat Islam

RUU Mufti melestarikan keharmonian umat Islam

MAHKAMAH masih mempunyai budi bicara untuk mentadbir pemakaian hukum syarak berdasarkan fakta yang sedang dibicarakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) pada 12 Oktober lalu menjawab beberapa isu yang dipolemikkan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Bagi maksud Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Wilayah Persekutuan, Parlimen mempunyai kuasa untuk mengawal selia hal ehwal agama Islam dan membentuk sebuah majlis untuk menasihati baginda, dalam hal-hal berkaitan dengan agama Islam yang terhad di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Peruntukan Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan memberikan jaminan kepada kedudukan ajaran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa negeri.

Walaupun Perkara 3(3) Perlembagaan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja pemerintah namun pihak berkuasa agama ialah majlis agama Islam di negeri itu dan penggubalan undang-undang tetap melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Kewajipan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dalam kuasa yang diberikan kepada sebuah negeri seperti termaktub dalam Butiran I Senarai II – Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan termasuklah RUU Mufti perlulah dihormati semua pihak.

Mufti dan Jawatankuasa Fatwa tidak membuat undang-undang kerana mereka bukan badan perundangan.

Peranan mereka adalah untuk mentafsir prinsip perundangan Islam dalam menentukan hukum syarak terhadap suatu persoalan atau subjek yang dibangkitkan tanpa mengambil alih kuasa perundangan yang terletak kepada Parlimen.

Penentuan hukum syarak oleh Jawatankuasa Fatwa akan memudahkan mahkamah untuk mengadili isu perundangan yang menyentuh hukum syarak dalam kes yang sedang dibicarakan dan menyelesaikan perbezaan pendapat para ulamak berdasarkan fatwa yang sesuai dengan keadaan tempatan di Wilayah Persekutuan.

Pembuatan fatwa atau penentuan hukum syarak memerlukan kepakaran agama dan pertimbangan keadaan tempatan yang tidak mampu dilaksanakan oleh semua orang.

RUU Mufti ini dicadangkan untuk mengekalkan kedudukan dan fungsi semasa mufti dan Jawatankuasa Fatwa terhadap perkara yang berkaitan dalam akta yang berasingan.

Ini memastikan kesinambungan peranan mereka serta keterserlahan dari aspek pengasingan cabang kuasa di bawah MAIWP iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Mufti Wilayah Persekutuan.

Di bawah RUU Mufti, mufti dan Jawatankuasa Fatwa ditugaskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong demi memastikan ajaran Islam yang betul dan sesuai dalam kalangan umat Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya selaras dengan Perkara 8 (5) (a) Perlembagaan.
Pintu berijtihad tetap terbuka walaupun mazhab pemikiran dalam Fiqh, Akidah dan Tasawuf yang tertentu lebih diutamakan.

Keutamaan itu diberikan untuk melestarikan amalan dan prinsip yang telah lama diterima pakai dalam kalangan umat Islam dan memelihara amalan Ahlul Sunnah wal Jamaah.

Amalan Ahlul Sunnah wa Jamaah membangunkan adat tempatan di Wilayah Persekutuan yang sekian lama dapat memelihara kerukunan serta mengawal jurang perbezaan dalam kalangan umat Islam setempat.

KUASA MUFTI TERHAD
RUU Mufti tidak memberi kuasa kepada mufti dan Jawatankuasa Fatwa untuk melaksanakan apa-apa tindakan kehakiman selain daripada aktiviti penentuan hukum syarak dalam mana-mana perkara yang jatuh dalam undang-undang peribadi orang Islam.

Justeru, kebimbangan disuarakan sesetengah pihak mendakwa mufti berkuasa membuat arahan sesuka hati sehingga mereka yang ingkar boleh dijatuhkan hukuman adalah tidak berasas sama sekali.

Mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk mentadbir pemakaian hukum syarak berdasarkan fakta yang sedang dibicarakan.

Tindakan terhadap mereka mengeluarkan pendapat dengan tujuan untuk mengingkari dan melakukan amalan bertentangan dengan fatwa diwartakan berada di luar bidang kuasa mufti, tetapi pihak berkuasa yang lain.

Jika sekiranya semua pihak bebas menentukan amalan agama mengikut cita rasa sendiri pastinya tindakan penguatkuasaan dan pentadbiran keadilan sukar berfungsi dengan adil.

Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan menghendaki Yang di-Pertuan Agong mendapatkan nasihat daripada MAIWP walaupun RUU Mufti telah diluluskan sebelum bersetuju dengan pewartaan apa-apa fatwa. Itu bermakna mufti bukanlah semata-mata pemegang kuasa penentu bagi maksud pengwartaan suatu fatwa.

Begitu juga, turut dibangkitkan isu kekebalan. Kekebalan diberikan kepada mufti dan Jawatankuasa Fatwa dalam RUU Mufti adalah sama dengan amalan yang diterima untuk penjawat lain seperti seorang hakim tidak boleh disaman kerana penghakimannya.

Perlindungan seperti itu juga diberikan buat penjawat awam lain untuk memberikan kebebasan kepada mereka melaksanakan fungsi tugas masing-masing.

RUU Mufti tidak boleh dilihat satu-satunya undang-undang bertulis yang mengawal selia fungsi dan tugas mufti dan Jawatankuasa Fatwa. RUU Mufti tertakluk kepada banyak lagi undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa.

Pelbagai dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan dengan niat untuk menggagalkan penggubalan RUU Mufti perlu diperiksa dengan teliti.

Misalnya mufti dikatakan boleh mengenakan fi terhadap perkhidmatan yang dikenakan mengikut budi bicaranya, walhal kuasa dan kaedah penetapan fi itu terletak kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat menteri selepas berunding dengan mufti.

Akhir kata, penggubalan RUU Mufti tidak bertujuan untuk memperkenalkan suatu perkara yang belum pernah wujud atau menghalang amalan yang diwarisi oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan sehingga melanggar kebebasan asasi dan mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Sebarang pandangan sewajarnya dibuat ke arah untuk memperkukuhkan tadbir urus yang baik mengikut prinsip patuh syariah dan keluhuran perlembagaan, bukanlah menggagalkan penggubalannya.-UTUSAN

DATUK Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN