BARU-BARU ini, saya berpeluang meluangkan waktu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di kediamannya. Ia satu pengalaman yang tidak hanya berharga tetapi juga penuh dengan inspirasi.
Sambil menikmati secangkir teh O dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional, saya berkesempatan bertanya khabar tentang keadaan kesihatan beliau, yang baru-baru ini dinasihatkan untuk berehat di Institut Jantung Negara. Namun, melihat cara bekas Perdana Menteri itu yang masih mampu berjalan dengan penuh bertenaga pada usia 99 tahun, jelas kesihatan beliau dalam keadaan yang baik. Dengan senyuman yang tenang, beliau juga berkongsi batuk menyebabkan beliau berehat sudah pulih sepenuhnya, membuka ruang untuk perbualan panjang kami.
Seperti yang kita semua maklum, ketokohan negarawan itu amat dikagumi baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Beliau sering dianggap sebagai tokoh yang berjaya mentransformasikan negara daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada sebuah negara perindustrian yang berkembang pesat ketika eranya. Pengaruh dan wawasan beliau bukan sahaja membawa kemajuan kepada negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada dunia Islam, menjadikan Malaysia contoh bagi negara-negara lain, khususnya di Timur Tengah untuk menghadapi pemodenan.
Perbualan kami menyentuh banyak aspek, namun antara topik yang paling menarik perhatian saya ialah apabila Dr. Mahathir mengimbau kembali detik bersejarah dalam perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union. Menurut beliau, pada zaman itu, orang Melayu menunjukkan satu perpaduan yang luar biasa apabila mereka bersatu menentang ancaman yang jelas (Malayan Union) terhadap kedudukan bangsa mereka di tanah air sendiri. Dalam momen yang penuh sejarah itu, bangsa Melayu berjaya membuktikan kekuatan mereka melalui solidariti dan penyatuan di bawah satu payung perjuangan.
Namun, apabila membandingkan dengan situasi hari ini, Dr. Mahathir mengakui perpaduan tersebut semakin sukar dicapai. Beliau menyatakan perpecahan politik dan kewujudan banyak parti Melayu menyebabkan kesatuan yang pernah wujud dahulu semakin berkurang. Dalam pandangannya, Melayu hari ini memerlukan satu bentuk penyatuan yang baharu jika mereka ingin terus maju dan mempertahankan kedudukan mereka di tanah air. Penyatuan ini, kata beliau, bukan sahaja penting untuk kekuatan politik, tetapi juga untuk memperkukuhkan ekonomi bangsa Melayu yang masih memerlukan banyak usaha untuk bersaing.
AHLI PARLIMEN PERLU MEMPUNYAI KELAYAKAN
Dr. Mahathir juga berkongsi satu cerita menarik dari era awal kemerdekaan Malaysia. Pada ketika itu, beliau mengetuai sebuah jawatankuasa politik di bawah pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman. Salah satu cadangan yang beliau ketengahkan ialah agar calon-calon ahli Parlimen perlu mempunyai kelayakan tertentu, bukan sekadar popular atau terkenal dalam kalangan rakyat sahaja. Cadangan ini, menurut Dr. Mahathir, bertujuan untuk memastikan negara dipimpin oleh individu yang benar-benar berkelayakan dan berwawasan.
Namun, Dr. Mahathir turut mengakui cadangannya tidak mendapat sokongan pada ketika itu. Meskipun begitu, beliau merasakan kepimpinan negara, terutama sekali di Parlimen, memerlukan perubahan dari segi kualiti dan kelayakan. Dalam perbincangan kami tentang situasi Parlimen hari ini, ada beberapa ahli Parlimen yang kelihatan tidak berkualiti, seolah-olah mengulangi situasi yang beliau cuba perbaiki sejak awal pembentukan negara.
Perbualan kami tidak terhenti setakat itu. Kami juga menyentuh isu semasa, terutama sekali mengenai politik dan ekonomi Orang Melayu, lebih-lebih lagi terkait pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini. Dalam pandangan beliau, penyatuan orang Melayu amat penting bukan sahaja untuk mempertahankan hak-hak istimewa dan agama Islam, tetapi juga untuk memajukan ekonomi bangsa. Dr. Mahathir menekankan ekonomi yang kuat merupakan tunjang kepada kejayaan sesebuah bangsa. Ini bukanlah sesuatu yang baharu, tambahnya, kerana sejak ribuan tahun dahulu, bangsa yang menguasai ekonomi akan menjadi dominan di dunia.
Dalam konteks Malaysia, Dr. Mahathir merasakan bahawa orang Melayu masih perlu memperkukuhkan kedudukan ekonomi mereka agar dapat bersaing. Penyatuan politik semata-mata tidak mencukupi tanpa kekuatan ekonomi dan ini menuntut usaha yang berterusan dalam membangunkan perniagaan, meningkatkan daya saing dan memastikan lebih ramai orang Melayu terlibat dalam sektor-sektor strategik.
TEKNOLOGI
Perbualan kami berlanjutan kepada teknologi, terutamanya kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi perbualan hangat di pelbagai sektor. Saya bertanya sama ada Dr. Mahathir mengikuti perkembangan AI dan tanpa teragak-agak, beliau berkongsi menggunakan ChatGPT untuk mendapatkan maklumat dengan pantas. Beliau mengakui bahawa teknologi ini amat mengagumkan, terutama sekali dalam kemampuannya memproses maklumat pada kelajuan yang sukar dibayangkan.
Dr. Mahathir turut berkongsi kisah tentang sebuah syarikat tempatan yang memanfaatkan teknologi AI dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan. Teknologi ini, kata beliau, memberi mereka kelebihan dalam memenangi projek di dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan AI mampu meningkatkan daya saing perniagaan. Dr. Mahathir juga memberikan nasihat penting, “Jika mahu menggunakan ChatGPT atau AI lain, pastikan maklumat yang diberikan lengkap agar jawapan yang diperoleh lebih tepat. Namun, seperti biasa, hasilnya perlu disemak dengan teliti.”
Sepanjang perbualan kami, saya terasa seolah-olah berada dalam sebuah ‘mesin masa’, dengan Dr. Mahathir menjadi pemandunya. Dari sejarah perjuangan Melayu menentang Malayan Union, kepada isu politik dan ekonomi hari ini, sehinggalah masa depan dengan teknologi AI, Dr. Mahathir membawa saya mengembara merentas masa. Walaupun usia mencecah 99 tahun, namun beliau masih memiliki ketajaman fikiran dan stamina yang mengagumkan.
Dr. Mahathir bukan hanya seorang tokoh sejarah, tetapi juga seorang pemimpin kontemporari yang pandangannya terus relevan. Sejarah beliau belum berakhir; Dr. Mahathir adalah sejarah yang masih sedang berlaku, dan beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi sekarang dan akan datang.-UTUSAN
PENULIS ialah Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu.










