Menanti wakil dari Perlis ‘sangkut’ MPT Bersatu

Menanti wakil dari Perlis ‘sangkut’ MPT Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi sesi 2024-2027 dalam konteks Perlis tidak ada apa-apa yang menarik kerana tidak menyaksikan pertandingan khususnya dalam merebut jawatan ketua-ketua bahagian.

Bagi jawatan Ketua Bersatu Bahagian Kangar dan Padang Besar menyaksikan penyandangnya, Abu Bakar Hamzah yang juga Pengerusi Bersatu Negeri dan Izizam Ibrahim merangkap Timbalan Pengerusi Bersatu Negeri menang tanpa bertanding selepas tiada calon menawarkan diri bertanding jawatan itu. Barisan jawatankuasa dari timbalan sehingga ahli jawatankuasa serta sayap-sayap parti di bahagian tersebut juga menyaksikan tidak banyak berlaku pertandingan.

Satu-satunya yang menyaksikan pertandingan Ketua Bahagian hanyalah di Arau membabitkan pertembungan satu lawan satu antara Noor Ermi Ekhzam Nordin dan Wan Zaidil Afhtar Ishak selain jawatan Naib Ketua Bahagian Arau juga dipertandingkan apabila dua calon diumumkan layak untuk bersaing iaitu Hairulanuar Yahaya dan Sombun Crem. Manakala dua Exco Kerajaan Negeri, Megat Hashirat Hassan dan Wan Zikri Afhtar Ishak pula hanya memilih bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Arau.

Namun apa yang paling menarik perhatian adalah mengenai tiga calon dari negeri ini yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan peringkat ahli Majlis Pimpinan Terpemtinggi (MPT).

Apa yang menarik untuk dilihat dalam soal tersebut, adakah akan ada wakil dari negeri ini mampu ‘sangkut’ dalam barisan 20 orang MPT tersebut sekali gus membawa suara Bersatu Perlis di peringkat pusat.

Meskipun tampak sukar apabila perlu bersaing dengan seramai 93 calon yang bertanding bagi jawatan itu namun tidak mustahil jika salah seorang mampu menang atau ketiga-tiga calon itu berjaya menembusi mengisi jawatan berkenaan.

Difahamkan sebelum ini, masih belum ada wakil Bersatu dari negeri ini yang pernah berada dalam barisan MPT tersebut.

Tiga wakil Perlis yang menawarkan diri itu ialah Abu Bakar, Izizam dan Wan Zikri. Ketiga-tiga pemimpin ini yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan dua daripadanya merupakan exco kerajaan negeri masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Sebagai Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar dilihat menjadi antara calon pilihan utama dari negeri ini untuk ‘sangkut’ dalam barisan MPT selain beliau juga difahamkan mempunyai hubungan cukup baik di peringkat pusat.

Antara faktor lain, bahagian Kangar yang dipimpin Abu Bakar itu dikatakan mempunyai 99 cawangan iaitu antara tertinggi sekali gus memberi kelebihan daripada sudut undian daripada perwakilan yang ramai. Perwakilan di Kangar sahaja difahamkan mencecah sehingga 700 orang. Beliau yang lebih 38 tahun aktif dalam politik itu juga mempamerkan prestasi yang cukup baik sebagai wakil rakyat di Kuala Perlis sekali gus turut menjadi antara kelebihan menambat hati perwakilan membuat pilihan nanti. Pengalaman Abu Bakar juga diperlukan dalam kepemimpinan di peringkat pusat.

IZIZAM

SeIain itu, Izizam juga mempunyai peluang cerah untuk menang jawatan MPT memandangkan beliau juga merupakan pemimpin muda yang cukup berpengaruh selain antara pemimpin terawal Bersatu di negeri ini. Malah, sudah sampai masanya karier politik Izizam yang mempunyai potensi cukup besar berkembang di peringkat pusat, bukan hanya tertumpu di peringkat negeri sahaja. Sebagai pemimpin muda, ADUN Titi Tinggi itu juga sudah pastinya mempunyai perancangan atau idea-idea yang lebih segar untuk sama-sama dalam barisan kepemimpinan memperkukuhkan parti pada masa depan.

Gabungan pemimpin berpengalaman dan muda juga sangat diperlukan dalam kepemimpinan Bersatu di peringkat pusat dengan Izizam antara calon yang sesuai diketengahkan. Seorang lagi pemimpin muda, Wan Zikri yang menunjukkan prestasi cukup baik sebagai exco kerajaan negeri juga tidak boleh dipandang sepi kerana kelebihan ADUN Tambun Tulang itu juga dilihat perlu diketengah di peringkat pusat.

Wan Zikri dilihat seorang pemimpin yang berpandangan jauh serta mempunyai visi jelas serta ketegasan yang sangat diperlukan dalam barisan kepemimpinan di peringkat pusat sekali gus mampu memberi kesegaran atau nilai tambah kepada barisan kepemimpinan.

Selain Izizam, Wan Zikri juga merupakan antara pemimpin masa depan Bersatu yang berpontensi besar. Sayang jika dua bakat ini hanya tertumpu di peringkat negeri sahaja.

Ketiga-tiga wakil dari Perlis itu masing-masing mempunyai kelebihan, ketokohan dan aura tersendiri yang layak untuk diketengahkan dalam barisan MPT. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN