Memperkukuhkan hubungan antara ASEAN, Taiwan dan Korea Selatan

Memperkukuhkan hubungan antara ASEAN, Taiwan dan Korea Selatan

MALAYSIA perlu memperkukuhkan hubungan dengan Taiwan dan Korea Selatan ekoran menyandang kerusi Pengerusi ASEAN pada 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat dinafikan dalam dekad kebelakangan ini, rantau Asia Tenggara semakin menjadi tumpuan kuasa-kuasa besar untuk membina kerjasama ekonomi, keselamatan dan politik. Ini bukan sahaja kerana kedudukan geografi rantau ini tetapi pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang pesat juga membuka banyak peluang pelaburan serta pasaran baharu.

Bagi anggota ASEAN, dominasi China dan Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua dan ketiga terbesar dunia tidak dapat dinafikan. Kedua-dua negara ini juga mempunyai hubungan mendalam serta memainkan peranan yang besar dalam sejarah pembangunan negara-negara Asia Tenggara.

Namun demikian, negara-negara ASEAN juga perlu mengambil kesempatan untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan ekonomi-ekonomi dan kuasa pertengahan lain di Asia Timur seperti Taiwan dan Korea Selatan.

Taiwan dan Korea Selatan mengambil langkah proaktif dengan mengetengahkan hubungan diplomatik dengan negara-negara ASEAN sejak beberapa tahun yang lepas. Pengenalan Dasar Arah Selatan Baharu (NSP) oleh Taiwan pada 2016 merupakan iterasi polisi mendalam yang memanfaatkan aset kebudayaan, pendidikan, teknologi, pertanian dan ekonomi Taiwan dalam usaha meningkatkan integrasi serantau Taiwan serta menggalakkan pembangunan wilayah Indo-Pasifik yang lebih luas. Taiwan mengetengahkan NSP sebagai salah satu strategi utama untuk menangani persaingan kuasa besar.

Pada masa yang sama, Korea Selatan juga sedang meneruskan usaha mereka untuk meningkatkan kepentingan hubungan mereka bersama negara-negara ASEAN melalui Inisiatif Solidariti Korea-ASEAN (KASI) yang dilancarkan di bawah pimpinan Presiden Yoon Suk-Yeol.

Inisiatif ini dilancarkan selaras dengan Strategi Indo-Pasifik negara tersebut. Bagi Korea Selatan, objektif utama strategi ini adalah untuk membangunkan kerjasama yang lebih komprehensif dan tidak hanya tertumpu pada isu ekonomi atau ancaman nuklear Korea Utara.

Ini mencerminkan kepentingan yang diletakkan oleh kedua-dua Korea Selatan dan Taiwan dalam hubungan mereka dengan rantau Asia Tenggara dan negara-negara ASEAN.

Memandangkan Malaysia akan menyandang kerusi Pengerusi ASEAN pada 2025, adalah wajar bagi Malaysia untuk memanfaatkan peranannya bagi membalas semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua rakan kongsi ini. Untuk mengukuhkan lagi hubungan ASEAN dengan Taiwan dan Korea Selatan, langkah proaktif seperti menggalakkan dialog, memupuk kepercayaan dan menangani cabaran bersama adalah penting.

Selain itu, kunjungan yang kerap antara ketua-ketua negara ASEAN dengan rakan-rakan kongsi Taiwan dan Korea Selatan akan menggalakkan lagi pembincangan serta perkongsian idea strategik bagi membuka jalan membina sinergi yang lebih mantap dan kemakmuran bersama.

Harus diingat, status negara anggota ASEAN sebagai negara kecil dan sederhana tidak sedikit pun mengurangkan nilai kepentingan mereka dalam mengimbangi kuasa negeri-negara yang lebih besar.

Dalam landskap dinamik hubungan antarabangsa, ASEAN memainkan peranan yang penting dalam membina kerjasama serta dialog sesama negara ahli dan rakan-rakan strategik ASEAN.

Melalui penglibatan aktif dengan rakan kongsi yang mempunyai hala tuju yang serupa, ASEAN berpotensi tinggi untuk menjadikan rantau ini sebagai peneraju kedamaian dan keharmonian antarabangsa. Contohnya, negara-negara ASEAN menjadi tuan rumah bagi dialog antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) pada 2018 dan 2019. Selain dari itu Forum Serantau ASEAN (ARF) juga merupakan antara satu-satunya platform antarabangsa yang dianggotai oleh Korea Utara.

Kebanyakan negara-negara ASEAN mempunyai kepentingan ekonomi yang ketara dengan Taiwan. Selain dari itu, ramai warga negara-negara ASEAN juga bekerja dan belajar di Taiwan.

Pada 2023 statistik dari Taiwan melaporkan bahawa lebih dari 780,000 warga negara-negara ASEAN dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan juga Filipina menetap di Taiwan.

Memandangkan ketegangan yang semakin meningkat antara Taiwan dan China, ASEAN mempunyai kapasiti mengambil langkah proaktif dalam memainkan peranan sebagai pihak tengah yang neutral bagi meningkatkan peluang dialog antara semua pihak.

Dalam menghadapi persengketaan kuasa-kuasa besar, hubungan ASEAN dengan kuasa pertengah yang berkebolehan seperti Taiwan dan Korea Selatan akan mengelakkan negara-negara ASEAN dari terlampau bergantung kepada China ataupun AS.

Ini membantu ASEAN mengekalkan autonomi strategik dan kebolehgerakan di tengah-tengah persaingan AS-China. Sokongan dari kuasa-kuasa pertengahan yang lain juga bermaksud bahawa ASEAN boleh terus berpegang pada prinsip ‘Kepusatan ASEAN’. Ini amat penting bagi membawa kembali komunikasi dan perbincangan melalui ASEAN sebagai platform pelbagai hala utama di rantau ini.

Potensi kerjasama antara negara-negara ASEAN dan kuasa tengah Asia Timur masih luas untuk diterokai bukan sahaja dari kerjasama ekonomi tetapi dalam pelbagai sektor lain.

Dengan mengambil kesempatan daripada polisi NSP Taiwan dan KASI oleh Korea Selatan, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bagi 2025 berada dalam posisi yang amat baik untuk memastikan momentum persefahaman dan kerjasama yang telah diwujudkan bersama dapat dimanfaatkan untuk mencapai visi ASEAN sebagai komuniti yang lebih terhubung dan berdaya tahan.-UTUSAN

DR. Nurliana Kamaruddin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Asia Timur, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN