TEMA Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 amat menarik. Ini kerana ia menyentuh secara langsung perkaitan antara bahasa dan negara yang sememangnya bukan sahaja amat rapat, juga mustahak sekali.
Hal ini dapat digarap dari pelbagai sisi. Antara yang terpenting ialah apabila sesebuah bahasa negara berkembang maju, ia sebenarnya menghubungkan pelbagai generasi, selain memperkukuh ikatan dalam kalangan rakyat dari pelbagai latar di negara berkenaan.
Ini terjadi kerana bahasa mengandungi tradisi, ceritera dan pengalaman yang dikongsi bersama. Semua ini sangat penting untuk mengikat rakyat sesebuah negara sebagai komuniti nasional dalam bentuk solidariti etnobudaya. Ini penting kerana kelompok yang bertutur bahasa sama dikenali sebagai satu puak sama dan satu puak sama inilah yang membentuk negara tertentu itu.
Atas dasar inilah kita mahu peranan bahasa Melayu selaku bahasa negara dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk bukan sahaja menyerlahkan identiti nasional bagi Malaysia, iaitu menonjolkan bahasa Melayu sebagai kebanggaan negara.
Juga identiti budaya bagi rakyatnya, yakni bahasa Melayu ditampilkan sebagai jati diri rakyat negara ini. Untuk semua ini berlaku dengan jayanya, perlu wujud perasaan menyayangi bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan lebih-lebih lagi sebagai bahasa rasmi.
Dalam hal ini, perasaan sayang itu bukan sahaja setakat menanam tebu di bibir, juga harus diperlihat bagai anai-anai makan kayu oleh setiap seorang warganegara, khususnya pada bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa rasmi. Ini kerana sebagai bahasa rasmi, bahasa itu wajib digunakan dalam setiap satu ranah kenegaraan tanpa ada apa-apa jua kekecualian.
Ini berbeza sekali dengan peranan pada bahasa kebangsaan yang lebih merupakan perlambangan, yakni mencukupi sebagai lambang sahaja.
Sehubungan ini, bahasa kebangsaan sama seperti bendera kebangsaan yang rata-ratanya berperanan sebagai lambang semata-mata. Antaranya selaku lambang negara sahaja, yakni hanya mewakili negara berkenaan.
Selanjutnya, bahasa kebangsaan selaku bahasa rakyat sesuatu negara adalah juga lambang perpaduan di negara berkenaan. Dengan ini, bahasa kebangsaan sebagai alat pemersatu dimanfaatkan untuk proses pembentukan negara bangsa, iaitu mewujudkan entiti politik yang terdiri daripada komuniti nasional yang bukan sahaja erat bersatu padu. Juga yang sama pentingnya ialah kental mendukung jati diri kebangsaan.
Berlainan dengan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi yang jauh lebih pragmatik dan tidak sesekali simbolik adalah alat untuk kemajuan, iaitu digunakan dalam proses pembinaan negara dari segenap segi. Antaranya yang terpenting ialah pembangunan modal insan, yakni pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan rakyat yang dimiliki itu adalah melalui bahasa Melayu selaku bahasa rasmi di Malaysia, yakni sebagai bahasa ilmu utama dalam sistem pendidikan negara.
Sebenarnya bahasa Melayu mempunyai keupayaan untuk memodenkan negara, antaranya dalam mentransfomasi Malaysia daripada sebuah negara rural dan agrarian kepada negara urban dan industri. Ini kerana bahasa Melayu kini, malah sudah lama berupa bahasa saintifik moden, iaitu bahasa yang mampu mengungkap segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak dalam apa- apa jua bidang ilmu.
Oleh itu, kita harus terus meyakini keupayaan bahasa Melayu yang telah membina negara selama ini. Antaranya melalui sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Begitu juga dengan urus tadbir negara yang memakai bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara tunggal.
Selanjutnya perpaduan negara untuk hubungan etnik sebati dan integrasi nasional bagi hubungan wilayah akrab juga mengambil faedah daripada bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa perpaduan. Dengan ini, bahasa Melayu adalah alat sangat penting untuk memacu negara ini.
Tugas ini bukan sahaja dipikul dengan baik, juga dilaksanakan dengan mangkus oleh bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa rasmi semenjak tertubuhnya negara. Oleh itu, penting sekali dalam kita menyayangi bahasa Melayu, ia hendaklah dalam bentuk melindungi dan menghargainya sebagai bahasa rasmi yang wajib digunakan dari kedua-dua kualiti dan kuantiti. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah digunakan dengan baik dan betul selain sopan, juga dengan seluas-luasnya.
Dalam pada ini, perlindungan dan penghargaan kepada bahasa Melayu tidak boleh sesekali hanya yang menyifatkannya sebagai bahasa kebangsaan sahaja. Ini kerana sebagai perlambangan, ia tidak wajib digunakan pun. Inilah yang sebenarnya berlaku pada bahasa Melayu sebagai bahasa negara di Malaysia. Ia hanya mahu dianggap sebagai lambang nasional sahaja yang tidak perlu pun digunakan secara sukarela, apatah lagi secara wajib.
Dalam konteks bahasa Melayu selaku bahasa negara, ia hendaklah disukai untuk disayangi dalam peranannya sebagai bahasa rasmi. Oleh itu, perasaan sayang kepada bahasa Melayu hendaklah dipupuk dalam peranannya sebagai bahasa rasmi yang memerlukan penggunaannya yang wajib dalam semua sistem negara pertama-tamanya, dan juga yang lain-lain seterusnya.
Sehubungan ini, bahasa Melayu bukan sahaja bahasa urus tadbir negara yang hanya wajib digunakan oleh kerajaan semata-mata pada setiap masa.
Ia juga bahasa yang dimaktubkan dalam perundangan negara untuk digunakan oleh semua pihak pada semua masa sebagai tanggungjawab dan kemegahan nasional setiap warganegara kepada negara tercinta ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










