PEJUANG-pejuang hak Sabah dan Sarawak telah lantang hampir sedekad menuntut bahawa sebanyak 35 peratus kerusi dari Dewan Rakyat diperuntukkan kepada Malaysia Timur yang diduduki oleh cuma 17 peratus pengundi Malaysia. Mereka mendakwa ini sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menjamin kuasa veto atas pindaan perlembagaan.
Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) mencadangkan alternatif kuasa veto di Dewan Negara: tambahkan bilangan senator dari 70 ke 100, dengan meningkatkan bilangan senator untuk Sabah dan Sarawak dari dua kepada 17, supaya dengan senator tunggal dari Labuan, Malaysia Timur mempunyai 35 senator.
MITOS SEJARAH
Dakwaan bahawa MA63 menjanjikan kuasa veto dicipta atas satu fakta: Sarawak (24 kerusi, 15.1 peratus), Sabah (16 kerusi, 10.1 peratus) dan Singapura (15 kerusi, 9.4 peratus) sememangnya diberikan secukup kerusi (34.6 peratus) untuk menghalang pindaan perlembagaan unilateral daripada Semenanjung.
Yang selebihnya bukan fakta tetapi mitos dan misinformasi.
Pertama, tiada sebutan kuasa veto dalam MA63. Kedua, Sabah dan Sarawak tidak dimasukkan dalam kategori yang sama dengan Singapura dan dijadikan “waris” Singapura untuk 15 atau 9.4 peratus kerusinya apabila Singapura keluar Malaysia pada 1965.
Ketiga, sungguhpun Sabah dan Sarawak mendapat jaminan bahawa peratusan kerusi Parlimen tidak akan dikurangkan tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri masing-masing tetapi jaminan ini berakhir pada akhir Ogos 1970. (Perkara 161E(2)(e) Perlembagaan Persekutuan).
Fakta terakhir ini genting sekali dalam menunjukkan bahawa pembahagian kerusi pada 1963 adalah pengaturan sementara dalam ketiadaan formula yang jelas dan berkekalan. Kalau bukan begitu, mengapa tidak diberikan jaminan selama-lamanya kepada Sabah dan Sarawak?
ASAS DEMOKRASI
Apakah formula yang seharusnya dipakai di negara-negara demokrasi dalam pembahagian kerusi Parlimen? Prinsip sejagatnya ialah kesamarataan rakyat dan pengundi, iaitu “seorang, seundi, senilai” (OPOVOV).
Akan tetapi, negara-negara persekutuan juga mempunyai prinsip kesamarataan negeri, iaitu negeri-negeri harus mempunyai kuasa yang sama tidak kira bilangan rakyat atau pengundinya kerana mereka adalah entiti yang bersendirian. Dalam kata lain, negeri-negeri yang kecil bilangan rakyat atau pengundi boleh menikmati lebih banyak kuasa per kapita, atau perwakilan berlebihan (over-representation).
Negara-negara persekutuan dengan demokrasi berparlimen biasanya mempunyai dua dewan yang mempunyai fungsi yang berlainan, dan kebetulan bersesuaian dengan dua prinsip ini.
Dewan Rakyat menentukan pembentukan kerajaan dan mesti mewakili suara rakyat terbanyak, oleh itu pembahagian kerusi Dewan Rakyat perlu menjunjung prinsip OPOVOV.
Sebaliknya, Dewan Negara berfungsi untuk memaksa pertimbangan dan rundingan yang lebih rapi dan boleh menjadi badan pembela kepentingan negeri dengan kuasa veto.
Dalam konteks ini, kuasa veto untuk Malaysia Timur memang patuh-demokrasi kalau dalam Dewan Negara, tetapi tidak langsung sekali kalau dalam Dewan Rakyat.
IMPAK POLITIK
Jika sememangnya kuasa veto yang dikehendaki oleh pejuang-pejuang hak Sabah dan Sarawak, maka 35/100 dalam Dewan Negara sudah memadai untuk memastikan tiada pindaan kepada Perlembagaan yang merugikan Sabah dan Sarawak.
Perkara 68(5) menyatakan dengan jelas bahawa sebarang pindaan umum kepada Perlembagaan Persekutuan tidak boleh lulus tanpa persetujuan dua pertiga Dewan Negara.
Kalau dikatakan kuasa veto Dewan Negara ini tidak berguna, adakah ini ketidakpercayaan kepada tekad politik membela MA63 di pihak kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang bakal melantik 34 orang senator yang cukup bilangan untuk memveto pindaan perlembagaan?
Ataupun, apa yang dihasratkan sebenarnya bukan sekadar kuasa veto, tetapi jauh lebih besar daripada itu, iaitu kuasa untuk mendominasi kerajaan persekutuan?
Dengan 35 peratus kerusi Dewan Rakyat, ini bermakna kerajaan bermajoriti mudah boleh dibentuk jika kesemua ahli Parlimen Malaysia Timur bergabung dengan minimum selebihnya 16 peratus ahli Parlimen daripada Semenanjung untuk membentuk majoriti 51 peratus (112 kerusi dalam keadaan sekarang)?
Kini, Sarawak, Sabah dan Labuan menikmati 25.68 peratus kerusi Dewan Rakyat dengan 17.37 peratus pengundi (data dalam Pilihan Raya Umum ke-15) manakala Semenanjung mempunyai 74.32 peratus kerusi dengan 82.63 peratus pengundi.
Daripada pengiraan tersebut, ini bermakna sehelai undi di Borneo membawa berat 1.64 helai undi di Semenanjung dalam PRU15.
Jika 35 peratus kerusi Dewan Rakyat diberikan kepada Malaysia Timur, maka kuasa sehelai undi di Borneo adalah 2.56 kali kuasa undi Semenanjung.
Kalau dibanding secara spesifiknya dengan negeri terpadat di Semenanjung, empat orang pengundi Selangor baru sama berat seorang pengundi Malaysia Timur.
Mungkinkah demokrasi malah Malaysia lestari dengan ketidakseimbangan yang begitu besar?
Sememangnya penganaktirian Sabah dan Sarawak perlu dinoktahkan tetapi itu harus dilakukan dengan pemencaran kuasa (desentralisasi) yang terancang dan berkesan, bukan dengan ketidakseimbangan kuasa di Persekutuan. Bak kata, dua perkara salah tidak jadi satu perkara betul.
JADUAL WAKTU
Untuk merealisasikan perkara ini, cuma pindaan untuk Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak melibatkan mana-mana negeri lain jadi tiada perlu rundingan.
Jika kerajaan Madani bertekad, pindaan perlembagaan boleh diusulkan apabila Parlimen bersidang pada tahun depan. Dengan majoriti dua pertiga kerajaan, pelantikan 34 senator baharu dari Sabah dan Sarawak boleh berlaku selepas pindaan berkuatkuasa.
Untuk merealisasikan ini, tiga langkah perlu dijalankan berkaitan dengan Perkara 46(2) Perlembagaan menetapkan pembahagian kerusi Dewan Rakyat kepada kesemua negeri dan wilayah persekutuan.
Langkah pertama, parti-parti dalam kerajaan Madani perlu bersetuju tentang kerusi Parlimen untuk semua negeri dan wilayah persekutuan yang terkesan.
Langkah kedua, pindaan perlembagaan perlu diluluskan dan berkuatkuasa. Langkah ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakar sempadan untuk kawasan-kawasan Parlimen baharu yang boleh mengambil masa sampai dua tahun.
Jika benar-benar serius, pejuang-pejuang isu ini perlu terlebih dahulu mengemukakan bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dicadangkan untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Adakah 35 peratus dicapai dengan mengambil 21 kerusi daripada Semenanjung untuk diberikan kepada Borneo? Ataupun, sebanyak 32 kerusi ditambah di Sabah dan Sarawak tetapi tiada tambahan di Semenanjung?
Kalau kerusi ditambah untuk kedua-dua Semenanjung dan Borneo, berapa bilangannya dan saiz Dewan Rakyat keseluruhannya? Dan bagaimana 35 peratus itu diagih-agihkan antara Sarawak dan Sabah – mengikut peratusan pengundi atau nisbah 24:16 yang ditetapkan 61 tahun lepas?
Pindaan perlembagaan bukan tawar-menawar di pasar malam. Rakyat Malaysia berhak mengetahui keterperincian terhadap setiap gagasan berkenaan dengan isu 35 peratus ini untuk menilai baik buruknya. – UTUSAN
PROFESOR Wong Chin Huat ialah ahli sains politik dan Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia SDSN di Universiti Sunway. Beliau juga ahli Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA).










