MUKADIMAH
KANSER paru-paru kini menjadi salah satu penyebab utama kematian akibat kanser di Malaysia, dengan peningkatan kes yang membimbangkan dalam tempoh lima tahun terakhir.
Menurut statistik terkini dari Institut Kanser Negara (IKN), lelaki khususnya, berada dalam kumpulan berisiko tinggi, terutamanya mereka yang merokok atau pernah merokok.
Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 15 hingga 25 kali ganda untuk menghidap kanser paru-paru berbanding mereka yang tidak merokok.
Pakar Perunding Pembedahan Kardiotoraks dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, DR. ANAND SACHITHANANDAN, berkata, selain merokok, faktor lain seperti pencemaran udara, terdedah kepada bahan kimia berbahaya, dan juga genetik turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes ini, termasuk dalam kalangan wanita dan golongan yang tidak merokok.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, NURUL IRDINA SUMALI dan jurugambar, NURUL NAJWA HASRAN, beliau berkongsi pandangannya berkenaan kanser paru-paru.
UTUSAN: Ada peningkatan terkini kes kanser di Malaysia?
ANAND: Berdasarkan laporan terkini IKN, kita dapat melihat peningkatan kes kanser yang signifikan di Malaysia, terutama dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dari 2017 hingga 2021. Jumlah keseluruhan kes baharu meningkat kepada 168,823, berbanding 115,238 kes yang dicatatkan antara tahun 2012 hingga 2016.
Bagi lelaki, jumlah kes baharu kanser meningkat kepada 77,692 pada tempoh 2017 hingga 2021, berbanding 51,505 pada tempoh sebelumnya. Sementara itu, bagi wanita, kes kanser juga menunjukkan peningkatan ketara, daripada 63,733 kes antara 2012 hingga 2016 kepada 91,131 kes antara 2017 hingga 2021.
Kanser paru-paru paling lazim berlaku dalam kalangan lelaki?
Kanser paru-paru memang menjadi satu daripada jenis kanser yang paling lazim dalam kalangan lelaki, kedua selepas kanser usus. Kanser paru-paru amat signifikan kerana ia sering dikaitkan dengan faktor merokok. Data menunjukkan bahawa lelaki mencatatkan peningkatan kes kanser paru-paru sebanyak 2.8 peratus dalam tempoh lima tahun, daripada 13.2 peratus pada tahun 2012 hingga 2016, kepada 16 peratus pada tahun 2017 hingga 2021.
Merokok punca utama kanser paru-paru?
Walaupun tiada kajian yang benar-benar dapat mengesahkan secara mutlak bahawa rokok adalah penyebab utama kanser paru-paru, kita tahu bahawa merokok merupakan faktor risiko terbesar. Perokok atau bekas perokok mempunyai risiko 15 hingga 25 kali ganda untuk menghidap kanser paru-paru berbanding mereka yang tidak pernah merokok. Rokok mengandungi pelbagai bahan kimia yang berbahaya dan bersifat karsinogenik, yang boleh menyebabkan kerosakan sel di paru-paru. Lama-kelamaan, kerosakan ini boleh membawa kepada pembentukan kanser.
Pada usia berapakah seseorang mula berisiko mendapat kanser paru-paru?
Biasanya, risiko mula meningkat dengan ketara pada usia 45 tahun ke atas. Ini terutamanya bagi mereka yang merokok atau pernah menjadi perokok. Namun, penting untuk diingat bahawa kanser paru-paru tidak hanya menyerang perokok tua. Dalam beberapa kes, individu muda yang tidak merokok juga boleh terdedah kepada risiko ini akibat faktor-faktor lain.
Mengapa kanser paru-paru sering dikesan pada peringkat yang sudah teruk?
Salah satu ciri kanser paru-paru adalah sifatnya yang senyap dan agresif. Dalam kebanyakan kes, kanser paru-paru tidak menunjukkan simptom yang jelas pada peringkat awal. Gejala-gejala seperti batuk yang berterusan, batuk berdarah, sesak nafas, atau susut berat badan yang ketara hanya muncul apabila kanser sudah mencapai tahap tiga atau empat. Pada masa itu, kanser mungkin telah merebak ke bahagian tubuh lain seperti nodus limfa, hati, tulang, atau otak, yang dikenali sebagai metastasis. Statistik menunjukkan bahawa 95 peratus pesakit hanya didiagnosis pada peringkat akhir, iaitu ketika peluang untuk sembuh sudah sangat rendah.
Apakah tanda-tanda yang perlu diambil berat oleh seseorang yang mungkin menunjukkan mereka menghidap kanser paru-paru?
Simptom-simptom seperti batuk yang tidak sembuh, batuk berdarah, kesukaran bernafas, sakit dada, susut berat badan tanpa sebab yang jelas, atau keletihan yang melampau perlu diambil serius. Jika anda mengalami gejala ini, terutamanya jika anda mempunyai sejarah merokok, segera dapatkan pemeriksaan perubatan.
Wanita juga berisiko tinggi mendapat kanser paru-paru?
Ya, walaupun kadar merokok dalam kalangan wanita lebih rendah, mereka juga terdedah kepada risiko kanser paru-paru. Malah, kes kanser paru-paru dalam kalangan wanita turut meningkat sebanyak 1.5 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir, daripada 11.1 peratus pada tahun 2012 hingga 2016, kepada 13.7 peratus pada tahun 2017 hingga 2021. Ini tidak semestinya disebabkan oleh merokok sahaja. Banyak faktor lain yang boleh menyumbang, termasuk pencemaran udara, terdedah kepada bahan kimia berbahaya seperti asbestos atau gas radon, serta asap dari dapur semasa memasak.
Ada kes kanser paru-paru dalam kalangan individu yang tidak merokok?
Ya, salah satu kes yang paling mengesankan adalah seorang wanita berbangsa Cina berusia 29 tahun yang saya rawat. Dia tidak mempunyai sejarah merokok dan tiada sejarah keluarga yang menghidap kanser, namun disahkan menghidap kanser paru-paru. Ini menunjukkan bahawa kanser paru-paru tidak hanya menyerang perokok, tetapi juga boleh berlaku akibat faktor-faktor lain.
Apakah peluang pesakit untuk pulih jika kanser paru-paru dikesan lebih awal?
Jika kanser paru-paru dapat dikesan pada peringkat awal, peluang untuk pulih lebih cerah. Saringan awal membolehkan kanser dikesan sebelum ia merebak, membolehkan rawatan yang lebih efektif diberikan. Pesakit mungkin mempunyai lebih banyak pilihan rawatan seperti pembedahan, kemoterapi, atau terapi radiasi, dan kualiti hidup mereka dapat dipertingkatkan. Oleh itu, saringan awal sangat penting, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi seperti perokok, bekas perokok, atau individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan kanser paru-paru.
Apa usaha dalam mengurangkan penggunaan rokok di Malaysia?
Saya menyokong langkah kerajaan menaikkan kadar cukai ke atas produk tembakau. Ini adalah satu langkah yang baik dalam usaha mengurangkan penggunaan rokok. Namun, saya juga berharap sebahagian daripada cukai ini dapat digunakan untuk menggalakkan program saringan awal kanser paru-paru, yang merupakan langkah pencegahan yang paling efektif.
Apa langkah terbaik mengurangkan beban penyakit kanser paru-paru di Malaysia?
Saringan awal adalah langkah terbaik yang boleh kita ambil untuk mengurangkan beban penyakit ini. Melalui saringan, kita dapat mengesan kanser paru-paru pada peringkat yang lebih awal, di mana rawatan lebih berkesan dan pesakit mempunyai peluang yang lebih baik untuk pulih. Dalam jangka panjang, ini juga dapat membantu mengurangkan kos rawatan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. – UTUSAN










