MUNGKIN ramai yang tidak tahu Bulan Bahasa Kebangsaan disambut pada bulan Oktober setiap tahun. Usaha memartabatkan bahasa Melayu telah diperkenalkan sejak 1960-an lagi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan berterusan hingga kini. Pelbagai kempen dan program dijalankan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, di samping meraikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Atas dasar ini jugalah, Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim turun padang- mengingatkan kita kembali tentang kedudukan dan kepentingan bahasa Melayu.
Ketika berucap sewaktu pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 baru-baru ini, beliau menekankan pentingnya penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam pentas yang sama, beliau meluahkan rasa kesedihan terhadap penguasaan bahasa Melayu yang rendah, meskipun usia kemerdekaan negara sudah mencecah 67 tahun.
Walaupun kenyataan ini sukar diterima, namun itulah hakikatnya. Sehingga kini, ada beberapa agensi kerajaan yang terus menghadapi masalah segelintir orang awam yang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Setakat menyusun perkataan-perkataan yang mudah pun agak mencabar bagi mereka. Apatah lagi, memahami arahan dan penerangan yang disampaikan kepada mereka. Ketiadaan komunikasi dua hala yang efektif menyebabkan banyak urusan tergendala dan merugikan semua pihak. Bagai menghitung bulu kambing jadinya.
Pihak mahkamah sebagai contohnya terpaksa menggunakan khidmat jurubahasa untuk menterjemahkan kes-kes dan keterangan sewaktu perbicaraan.
Dalam Persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai yang lalu, masalah kekurangan jurubahasa mahkamah menjadi isu yang diperdebatkan. Banyak kes mahkamah dikatakan tertangguh untuk tempoh masa yang panjang akibat kekurangan jurubahasa.
Andai kata masih tidak mampu berbahasa Melayu, meskipun dilahirkan dan dibesarkan di negara ini. Andai kata masih sukar untuk mengerti dan memahami bahasa Melayu, walaupun selepas melalui proses pendidikan yang mewajibkan pembelajaran bahasa Melayu. Maka, itu petandanya jati diri rakyat Malaysia begitu nipis. Senipis kulit bawang.
Dalam mana-mana masyarakat ataupun negara, jati diri memainkan peranan untuk membentuk keseutuhan dan kesepaduan antara anggota masyarakat. Jati diri adalah sifat atau ciri unik yang menjadi lambang keperibadian seseorang individu ataupun bangsa. Jati diri boleh dijelmakan dalam bentuk adat, bahasa, budaya, agama atau sebagainya.
Dalam konteks negara ini, antara identiti negara yang boleh melahirkan jati diri bangsa Malaysia ialah bahasa Melayu. Lagipun, kita sudah maklum tentang pentingnya kedudukan bahasa kebangsaan kita. Bahasa Melayu adalah salah satu daripada empat unsur tradisi yang mencorakkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, selain daripada institusi beraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam. Di bawah Perkara 152 (1), termaktub bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Selepas pembentukan Malaysia, kedudukan bahasa Melayu terus terjamin dan terpelihara.
Malangnya, sebahagian daripada kita melihat bahasa Melayu hanya berperanan sebagai alat perpaduan. Semata-mata untuk menyatukan masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian kaum dengan bahasa masing-masing. Persepsi yang wujud inilah yang harus diubah. Cuba lihat bahasa Melayu sebagai bahasa bangsa Malaysia dan bukannya bahasa kaum tertentu. Jika sikap ini diubah, nescaya akan lahir rasa kebertanggungjawaban untuk mempelajari dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
Jika pada satu sisi, ada golongan yang tidak menerima sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa sendiri. Di satu sisi yang lain pula, ada pula golongan yang memperlekehkan bahasa Melayu. Mereka menganggap bahasa Melayu bahasa yang bukan standard. Perkara ini turut disentuh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis yang sama. Beliau menegur ketaasuban segelintir golongan elit terhadap bahasa Inggeris.
Bukankah ia tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi utama? Apakah kurangnya nilai bahasa kebangsaan kita sehingga dibanding-banding dengan bahasa lain? Janganlah kita terlalu mengagung-agung bahasa lain, walaupun penggunaan bahasa lain itu lebih meluas berbanding bahasa kita. Jika kita sendiri meminggirkan bahasa kebangsaan kita, siapakah lagi yang memartabatkannya? Kita beringat-ingatlah. Hujan keris lembing di negeri kita, hujan emas perak di negeri orang; baik juga di negeri kita.
Walaupun bahasa kita bukan bahasa komunikasi utama di dunia, tapi bahasa Melayulah ini bahasa kebangsaan kita.
Pendek kata, dalam membentuk warganegara yang bersemangat patriotik dan cintakan akan negara, nilai jati diri perlu disemai dalam diri kita terlebih dahulu.
Jati diri yang tinggi dapat dipupuk dan disuburkan melalui penggunaan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita. – UTUSAN
DR. M Jayakumary ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Perak.










