JENAYAH rasuah adalah cabaran yang amat besar dan berterusan membarah dalam masyarakat sekali gus menjadi halangan besar kepada kemajuan negara.
Meskipun terdapat pelbagai usaha termasuk hukuman, penangkapan dan pendidikan dalam membanteras jenayah ini, realitinya kadar rasuah masih tinggi dan membimbangkan.
Mungkin sudah tiba masanya kita memperluaskan pendekatan, beralih daripada langkah punitif (hukuman) semata-mata kepada usaha memahami psikologi di sebalik pelaku rasuah serta faktor-faktor luaran yang mempengaruhi mereka.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan tiga elemen yang boleh menjadi kunci kepada pendekatan baharu ini diteliti, iaitu perubahan kos sara hidup dan penyesuaian masyarakat, sistem demokrasi politik serta cara ahli politik mengumpulkan dana selain kajian psikologi pemikiran mereka yang terlibat dalam rasuah.
Pendekatan ini diharapkan bukan sahaja dapat membantu agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi juga masyarakat secara menyeluruh dalam usaha membanteras jenayah rasuah dari akar umbi.
Psikologi pemberi, penerima dan masyarakat
Di sebalik setiap perlakuan rasuah, terdapat tiga komponen utama yang perlu difahami iaitu pemberi, penerima dan masyarakat di sekeliling mereka. Masyarakat sering melihat jenayah rasuah hanya dari aspek undang-undang dan hukuman, tetapi jarang sekali meneliti faktor psikologi dan pemikiran yang mendorong seseorang untuk memberi atau menerima rasuah.
Rasuah tidak berlaku dalam vakum, ia wujud dalam konteks sosioekonomi, politik dan budaya masyarakat itu sendiri. Oleh itu, penting untuk meneliti bagaimana persekitaran sosial kita sama ada menggalakkan atau menghalang seseorang daripada terlibat dalam rasuah.
- Perubahan kos sara hidup dan penyesuaian masyarakat
Kos sara hidup yang tinggi sering menjadi alasan utama untuk seseorang terlibat dalam rasuah, sama ada untuk menampung kehidupan atau memenuhi tuntutan ekonomi yang semakin mencabar. Kenaikan harga barang, perumahan yang mahal dan cabaran kewangan lain mencipta tekanan hidup yang membebankan ramai rakyat. Dalam situasi ini, segelintir individu mungkin melihat rasuah sebagai jalan pintas atau penyelesaian mudah untuk mengatasi tekanan kewangan.
Dalam meneliti isu ini, MCW mencadangkan kajian yang lebih mendalam tentang bagaimana individu menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup. Pemahaman ini penting untuk merangka strategi yang lebih berkesan dalam mengurangkan keperluan seseorang untuk memilih rasuah sebagai penyelesaian masalah kewangan mereka.
- Demokrasi politik dan pengumpulan dana politik
Politik sering dikaitkan dengan sumber kewangan yang besar, terutamanya apabila membiayai kempen pilihan raya dan aktiviti politik. Di sinilah muncul masalah apabila dana yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah atau melalui proses yang mencurigakan.
Kajian terhadap demokrasi politik dan pengumpulan dana penting bagi memahami betapa sistem ini mungkin turut menyumbang kepada peningkatan jenayah rasuah. Jika dapat mengenal pasti titik-titik lemah dalam proses pengumpulan dana politik ini, maka kita boleh mencadangkan langkah-langkah pembaharuan yang lebih bersesuaian.
Misalnya, menilai sistem undang-undang pembiayaan politik yang lebih telus dan ketat agar setiap dana yang diterima boleh diperjelaskan asal usulnya.
- Pendekatan psikologi dalam latihan antirasuah
SPRM bekerja keras melatih pegawai penguatkuasa undang-undang untuk membanteras jenayah rasuah melalui penyiasatan dan pendakwaan yang telus. Namun, ada baiknya jika akademi latihan SPRM turut menumpukan aspek psikologi jenayah ini secara lebih mendalam.
Mengkaji pemikiran dan corak tingkah laku individu yang terlibat dalam rasuah boleh memberikan maklumat yang amat berguna untuk memecahkan siklus jenayah ini.
Bayangkan, jika kita dapat memahami saat-saat tertentu apabila seseorang berada dalam titik paling lemah atau paling kuat dari segi mental atau apabila mereka memilih rasuah sebagai penyelesaian, kita dapat mengenal pasti pendekatan yang lebih khusus untuk mencegah mereka daripada membuat keputusan tersebut.
Mengadakan kajian psikologi menyeluruh terhadap mereka yang telah dihukum atas jenayah rasuah boleh menjadi satu langkah proaktif untuk memahami proses pemikiran mereka dan menyusun modul latihan yang lebih berkesan bagi pegawai SPRM. Latihan ini perlu merangkumi bukan sahaja kemahiran penyiasatan tetapi juga pemahaman mendalam tentang faktor-faktor psikologi yang mendorong seseorang melakukan jenayah rasuah.
- Peranan masyarakat, NGO dan media massa
Pembanterasan jenayah rasuah bukanlah tanggungjawab satu agensi sahaja, tetapi perlu melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Dalam konteks ini, NGO seperti MCW komited memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah dan membina kesedaran yang tinggi mengenai nilai-nilai integriti.
Media massa dan media sosial juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyebarkan maklumat antirasuah serta membantu masyarakat menyedari kesan buruk rasuah terhadap kehidupan seharian mereka.
Media boleh menjadi saluran penting untuk mendidik masyarakat melalui program-program kesedaran dan liputan kes-kes rasuah yang telah berjaya ditangani. Di samping itu, ketua jabatan dalam sektor awam dan swasta harus memainkan peranan dalam memperkukuhkan integriti di tempat kerja.
Sokongan dan bimbingan dari pihak atasan boleh memberikan impak besar terhadap pegawai-pegawai baharu yang sedang membina kerjaya, terutama dari aspek kawalan dalaman dan imej jabatan itu sendiri. Jika ketua jabatan menunjukkan sikap tidak peduli terhadap isu rasuah, usaha membanteras mungkin akan terbantut.
Kesimpulannya, mencegah jenayah rasuah memerlukan lebih daripada pendekatan tradisional yang menumpukan hukuman dan pendakwaan semata-mata. Rasuah harus ditangani dari segi psikologi dan perlu disemai penolakan terhadapnya sejak kecil lagi, agar menjadi budaya yang berterusan.
Hanya dengan pendekatan yang menyeluruh dan bersifat inklusif, kita dapat membina generasi masa depan yang berintegriti dan bebas dari jenayah rasuah.
Sekiranya benar-benar ingin melihat Malaysia bebas daripada rasuah, usaha ini mesti dipupuk dan diusahakan dengan teliti, bermula dari sistem pendidikan formal hingga kepada peranan setiap individu dalam masyarakat.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










