Dengarlah kata doktor, patuhi keperluan ambil ubat

Dengarlah kata doktor, patuhi keperluan ambil ubat

Sehingga kini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di seluruh negeri Sarawak untuk diisi.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPATUHAN dalam pengambilan ubat-ubatan adalah sangat penting bagi menguruskan penyakit kronik dengan berkesan. Istilah perubatan untuk aspek ini ialah medication adherence.

Biasanya, pesakit yang mempunyai diagnosis penyakit kronik akan dimasukkan ke wad di hospital terlebih dahulu disebabkan oleh serangan mengejut penyakit tersebut. Setelah beberapa hari dirawat di hospital, doktor membolehkan pesakit pulang ke rumah dengan bekalan ubat-ubatan yang perlu diambil setiap hari di rumah.

Namun, masih ramai masyarakat yang tidak mengambil berat dalam mematuhi arahan doktor untuk cara pengambilan ubat yang betul. Perbincangan ini perlu dikupas dengan lebih mendalam, bagi memastikan matlamat rawatan untuk penyakit kronik tercapai.

Istilah perubatan untuk penyakit kronik bukanlah bermaksud penyakit yang sangat teruk. Namun, maksud sebenar istilah ini ialah merujuk kepada penyakit yang berlarutan untuk jangka masa panjang. Antara contoh penyakit kronik termasuklah diabetes (kencing manis), hipertensi (darah tinggi), penyakit jantung dan asma (lelah). Penyakit yang berlanjutan untuk jangka masa panjang ini memerlukan pengurusan berterusan. Jika tidak dirawat, pelbagai gejala akan dialami oleh pesakit, yang mungkin menyebabkan kualiti hidup terjejas.

Pengambilan ubat secara konsisten membantu mengawal gejala dan mengekalkan kualiti hidup pesakit. Sebagai contoh, pesakit lelah yang patuh dengan ubat untuk mengawal gejala akan menjalani hidup yang lebih baik berbanding pesakit yang sering terganggu dengan gejala tersebut atas sebab tidak patuh terhadap ubat yang diarahkan.

Pelbagai kesan atau komplikasi buruk jika pesakit tidak patuh dalam mengambil ubat di rumah mengikut arahan doktor. Kebanyakan penyakit kronik boleh menyebabkan kerosakan organ jika tidak dikawal dengan baik. Ini disebabkan kemerosotan fungsi tubuh yang ada kaitan dengan kesan lanjutan daripada penyakit kronik yang tidak dikawal.

Pengambilan ubat secara teratur boleh mencegah atau melambatkan komplikasi ini. Contohnya, kawalan glukosa darah yang baik melalui pengambilan ubat yang konsisten boleh mencegah komplikasi diabetes seperti neuropati (kesan kepada saraf), retinopati (kesan kepada mata), dan nefropati (kesan kepada buah pinggang).

Kesannya, lebih banyak gejala lain yang akan dialami oleh pesakit disebabkan oleh komplikasi lain setelah tidak patuh dengan rawatan asal. Pesakit dengan penyakit kronik yang tidak terkawal lebih cenderung memerlukan rawatan kecemasan atau kemasukan ke hospital. Semakin banyak komplikasi, semakin banyak rawatan yang perlu diberikan oleh petugas kesihatan di hospital.

Pesakit perlu dimasukkan ke hospital kerana lebih banyak peralatan dan kepakaran diperlukan untuk rawatan tambahan kepada komplikasi ini. Tidak cukup hanya makan ubat di rumah sahaja apabila sampai ke tahap ini. Jadi, kepatuhan terhadap rejimen ubat yang ditetapkan boleh mengurangkan insiden ini secara signifikan, menjimatkan kos perubatan dan mengurangkan beban pada sistem penjagaan kesihatan.

Ubat-ubatan untuk penyakit kronik yang ada di hospital telah melalui proses yang lama sebelum diluluskan penggunaannya. Kajian dalam tempoh masa yang panjang telah memakan belanja yang banyak. Pelbagai aspek dikaji supaya ubat yang terhasil itu berkesan, terjaga kualitinya dan selamat penggunaannya. Ubat-ubatan ini direka untuk memberikan manfaat kumulatif apabila diambil secara konsisten dalam jangka masa panjang. Ketidakpatuhan boleh mengganggu proses ini dan mengurangkan keberkesanan keseluruhan rawatan.

Untuk sesetengah penyakit kronik seperti HIV (jangkitan virus), kepatuhan yang ketat adalah penting untuk mencegah virus daripada menjadi rintang terhadap ubat. Ketidakpatuhan boleh membawa kepada kegagalan rawatan dan keperluan untuk beralih kepada regimen yang lebih kompleks atau mahal. Perubahan regimen ini juga akan membawa kepada kesan sampingan lain yang lebih teruk dan sukar diterima oleh pesakit.

Setelah menetapkan sesuatu ubat itu perlu diambil oleh pesakit di rumah, doktor akan memberikan tarikh temujanji seterusnya, supaya doktor boleh berjumpa lagi dengan pesakit di klinik pakarnya. Dalam perjumpaan ini, doktor akan melihat kepada kesan yang dapat dilihat pada pesakit.

Ini kerana sesuatu ubat itu mungkin memberikan kesan yang agak sedikit berbeza, bergantung kepada genetik dan faktor luaran lain pesakit. Doktor bergantung pada kepatuhan pesakit untuk menilai keberkesanan rawatan dengan tepat. Jika pesakit tidak mengambil ubat seperti yang ditetapkan, ia boleh membawa kepada penyesuaian dos yang tidak perlu atau perubahan dalam pelan rawatan.

Dengan pengambilan ubat-ubatan dengan betul, keperluan untuk rawatan tambahan, prosedur perubatan, atau kemasukan ke hospital yang mahal akibat komplikasi dapat dikurangkan. Dalam jangka masa panjang, rawatan komplikasi lain yang tidak perlu dapat dielakkan dengan manfaat pelaburan dalam mengambil ubat-ubatan untuk merawat penyakit kronik ini.

Kepatuhan yang konsisten terhadap rejimen ubat untuk penyakit kronik boleh meningkatkan hasil kesihatan keseluruhan, termasuk pengurangan kadar kematian untuk banyak keadaan seperti penyakit kardiovaskular. Ramai pesakit dengan penyakit kronik mempunyai lebih daripada satu keadaan. Kepatuhan terhadap semua ubat yang ditetapkan adalah penting untuk menguruskan interaksi antara pelbagai keadaan dan rawatan mereka.

Dengan mengawal gejala dan mencegah komplikasi, kepatuhan terhadap ubat membolehkan pesakit dengan penyakit kronik menjalani kehidupan yang lebih aktif dan memuaskan. Kepatuhan terhadap ubat boleh mengurangkan keterukan gejala dan komplikasi, seterusnya mengurangkan beban penjagaan, Pesakit dengan penyakit kronik yang diurus dengan baik melalui kepatuhan terhadap ubat sering dapat mengekalkan pekerjaan dan aktiviti sosial mereka, menyumbang kepada produktiviti yang lebih tinggi dan kesejahteraan psikososial.

Secara tidak langsung, penyakit kronik sering memberi kesan kepada keluarga dan penjaga pesakit. Jika pesakit mengalami gejala yang berlanjutan, ditambah dengan komplikasi yang tidak dikehendaki, keluarga dan penjaga pesakit perlu menggunakan masa yang banyak untuk menguruskan keadaan ini. Mereka juga mungkin perlu mengambil cuti yang lebih dan tidak dapat menguruskan pekerjaan atau perniagaan seperti sedia kala. Kesihatan mental mereka mungkin terjejas dengan bertambahnya masalah dan tekanan dalam hidup ini.

Kepatuhan dalam pengambilan ubat-ubatan adalah aspek kritikal dalam pengurusan penyakit kronik yang berjaya. Ia bukan sahaja meningkatkan kesihatan individu pesakit tetapi juga memberi impak positif kepada sistem penjagaan kesihatan secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, mencapai kepatuhan yang optimum boleh menjadi cabaran dan memerlukan kerjasama antara pesakit, penyedia penjagaan kesihatan, dan sistem sokongan pesakit.

Strategi seperti pendidikan pesakit, penggunaan alat bantuan ingatan, penyederhanaan regimen ubat, dan pemantauan yang kerap boleh membantu meningkatkan kepatuhan dalam pengurusan penyakit kronik. – UTUSAN

PENULIS ialah Dr. Syahrir Zaini dari Jabatan Amalan Farmasi, Kulliyyah Farmasi, Universiti Islam Antrabangsa Malaysia(UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN