Bahasa Portugis perkaya kosakata Melayu sepanjang zaman

Bahasa Portugis perkaya kosa kata Melayu sepanjang zaman

MELAKA ditawan Portugis pada 1511 sekali gus menjadi kuasa penjajah Eropah pertama mengukuhkan kedudukan di Semenanjung Tanah Melayu dan Asia Tenggara, menyebabkan banyak perkataan bahasa Melayu dipinjam daripada negara itu. – GAMBAR HIASAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU menjadi Penolong Residen di Perak, William Edward Maxwell menulis sebuah buku, A Manual of the Malay Language (1881) bahawa sesiapa yang mahu menimba ilmu berkaitan bahasa, sastera dan sejarah orang Melayu amat perlu mempelajari bahasa Belanda.

Sewaktu membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antarabangsa Sejarawan Asia Tenggara di Singapura pada Januari 1961, Manuel Teixeira menyatakan penguasaan bahasa Portugis juga wajar diberi perhatian jika mahu memahami bahasa Melayu.

Proses Indianinasi sejak kurun kedua membuatkan lingua franca di Kepulauan Melayu dan Nusantara menerima pengaruh bahasa Sanskrit, diikuti bahasa Arab dengan kedatangan Islam.

Penjajahan Portugis selama 130 tahun ke atas Melaka mulai 1511 dan diikuti penjajahan Belanda selama hampir 180 tahun pasti mempengaruhi sejarah, sosiopolitik, budaya dan bahasa penduduk tempatan.

Orang Portugis memulakan proses Kristianisasi secara langsung dan tidak langsung di Melaka, misalnya menerusi pembinaan gereja, gerakan dakwah dan sistem pendidikan.

Sejak itu, kosa kata bangsa Portugis mula menyerap masuk ke dalam komunikasi harian penduduk dan pedagang di Melaka. Kemudian mula pula digunakan secara berleluasa dalam urusan harian.

Sehingga kini, kita mungkin tidak sedar begitu banyak perkataan yang terkandung dalam Kamus Dewan Perdana (2020) turut berasal daripada bahasa Portugis.

Dalam hal ini, pengetahuan etimologi amat membantu. Ia merujuk kepada disiplin mengkaji asal usul sesuatu perkataan. Walaupun tidak mengkaji hingga ke akar umbi, agak menarik untuk kita mengetahui secara umum kosa kata bahasa kita hari ini yang berasal daripada bahasa Portugis.

Sebagaimana kata Chong Mun Wah dalam Kamus Etimologi Bahasa Melayu (1997), pemahaman asal usul sesuatu perkataan akan meningkatkan martabat penutur bahasa berkenaan.

Maka, saya amat teruja meneliti kertas kerja dibentangkan Manuel Teixeira pada 1961 di Singapura. Paderi, sejarawan dan pakar linguistik itu menyenaraikan perkataan bahasa Portugis yang sudah meresap masuk dan sebati dalam budaya masyarakat di Melaka dan Singapura sejak awal kurun ke-16.

Lagu terkenal Tanya sama itu hud hud oleh M. Nasir menampilkan Sang Algojo dalam lirik. Istilah itu ada dalam Kamus Dewan Perdana walaupun jarang digunakan dalam komunikasi harian.

Kata algojo berasal daripada algoz iaitu orang yang melaksanakan hukuman mati. Begitu juga perkataan armada (pasukan tentera laut) yang kini turut dijadikan akronim kepada Angkatan Bersatu Anak Muda dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Banyak lagi perkataan yang lazim kita gunakan sekarang berasal daripada bahasa Portugis. Misalnya, almari (armario), baldi (balde), boneka (boneca), botol (botelha), butang (butao) dan dadu (dado).

Beberapa istilah yang jarang digunakan orang Melayu pada masa kini juga berasal daripada bahasa penjajah itu. Contohnya buyong daripada boiao, soldadu (askar) daripada soldado, peon daripada peao dan renda yang dikekalkan ejaan.

Saya ada menulis tentang caping di ruangan ini pada 17 Jun 2023. Siapa sangka istilah itu dipinjam daripada chapinha dalam bahasa Portugis.

Ejaan lama bagi palsu ialah falsu dan berasal daripada falso. Begitu pula, pita atau ejaan lamanya fita diambil terus dari bahasa Portugis.

Anda mungkin kenal warga emas yang masih mengeja dan menyebut garpu sebagai garfu. Itu ejaan lama daripada garfo.

Sepertimana dinyatakan tadi, ada banyak perkataan yang kita gunakan tanpa menyedari asal usulnya daripada bahasa Portugis. Beberapa lagi contoh diberi oleh Manuel Teixeira ialah kabus (caboz), kamar (camara), kemeja (camisa) dan keju (queijo).

Memandangkan orang Portugis menyebarkan agama Kristian di Asia Selatan dan Asia Tenggara, beberapa istilah berkaitan agama itu dalam kosa kata Melayu juga berasal dari sana.

Misalnya, gereja (igreja), baptis (baptismo, baptizar) dan paderi (padre). Malah, hari Natal yang kembali popular digunakan bagi Krismas adalah istilah Portugis.

Dalam ruangan ini pada minggu lalu (19 Oktober 2024), saya menyebut tentang istilah handuk dalam bahasa Indonesia yang berasal daripada handdoek (Belanda). Perkataan tuala yang kita gunakan bukan daripada towel (Inggeris) tetapi daripada toalha (Portugis).

Hal ini mengingatkan saya kepada beberapa penutur bahasa Tamil yang masih selesa menggunakan toalha berbanding tundu (Tamil). Perkara ini tidaklah menghairankan kerana penjajah Portugis turut bertapak di India sejak 1505 sebelum datang ke Melaka.

Begitu juga apabila kaum India menggunakan bazar bagi pasar. Sebenarnya, mereka mengekalkan sebutan asal bahasa Portugis. Kita pula kini menganggap bazar Ramadan lebih gah berbanding pasar Ramadan.

Sejak kecil, saya mendengar orang dewasa di Aulong Lama, Taiping, Perak menggunakan sebutan eskola bagi sekolah dan sapatu bagi kasut walaupun ada istilah palli dan kaalani dalam bahasa Tamil.

Pada waktu itu, saya menyangka mereka adalah golongan kurang berpendidikan atau buta huruf, lalu salah sebut perkataan sekolah dan sepatu dalam bahasa kebangsaan.

Hanya apabila meneliti senarai dibentangkan Manuel Teixeira, saya sedar bahawa mereka mungkin terpengaruh dengan istilah asal escola dan sapato dalam bahasa Portugis sebelum ia meresap masuk ke dalam budaya Melayu.

Kalau kita merujuk kamus, mungkin asal usul pelbagai perkataan Portugis ini tidak dinyatakan. Lalu, kita menyangka kesemuanya perkataan asal dan asli dalam budaya Melayu Nusantara.

Beberapa lagi perkataan yang biasa kita gunakan dan bersumberkan bahasa Portugis ialah sabun (sabao), saku (saco), tangki (tanque), kapitan (capitao), mandur (mandor), pasu (vaso), pesta (festa), lembu (lombo) dan limau (limao).

Malah, siapa sangka kebaya yang terkenal dalam kalangan wanita Melayu, Jawa, Baba Nyonya dan Chetti Melaka berasal daripada cabaia dalam bahasa Portugis.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN