Bahasa Malaysia, Indonesia serupa tapi tidak sama?

Bahasa Malaysia, Indonesia serupa tapi tidak sama?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA umum, kita diberitahu bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura adalah sama. Namun begitu, pada hakikatnya wujud perbezaan nyata antara bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.

Realiti ini turut diakui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di ibu negara pada 23 September lalu.

Beliau mengingatkan peserta simposium bahawa wujud pelbagai versi bahasa Melayu seperti versi Indonesia, Brunei, Singapura, Malaysia dan Thailand. Keadaan ini disebabkan pelbagai faktor.

Dari sudut sejarah, Melaka dijajah Portugis sekitar 130 tahun dan Belanda pula menjajah sekitar 180 tahun. Kemudian, British menjajah hampir seluruh Tanah Melayu selama hampir 120 tahun.

Pengalaman sejarah Indonesia pula berbeza kerana dijajah Belanda selama 350 tahun. Banyak perkataan bahasa Belanda meresap masuk ke dalam kosa kata bahasa Indonesia dan kekal sehingga kini.

Saya turut menyedari hakikat perbezaan antara bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sewaktu ke Bogor (1997), Bali (2011) dan Makassar (2012). Malah, ramai juga rakan-rakan kaum Melayu dari Malaysia menghadapi masalah bahasa apabila ke Indonesia.

Hasil pembacaan karya Indonesia serta komunikasi lisan dan bertulis dengan warga Indonesia dari pelbagai latar belakang, saya kumpulkan senarai perkataan yang membuktikan perbezaan antara bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia.

Orang Malaysia pasti terkebil-kebil jika orang Indonesia bertanya di mana terletaknya apotek. Kita biasa menggunakan istilah farmasi atau kedai ubat tetapi kosa kata bahasa Indonesia pula menggunakan apotheek daripada bahasa Belanda.

Sewaktu di Makassar, Sulawesi Selatan (2012), saya menghadapi masalah mendapatkan tuala kerana orang Indonesia menggunakan handuk (daripada handdoek bahasa Belanda).

Jika berlaku kebakaran, kita menelefon bomba tetapi orang Indonesia menelefon branwir (brandweer dalam bahasa Belanda). Kita sudah biasa menggunakan invois, manakala orang Indonesia menggunakan faktur daripada factuur (Belanda).

Begitu juga, kita menggunakan tiket tetapi dalam bahasa Indonesia ialah karcis (kaartjes). Selain itu, koir dikenali sebagai koor di Indonesia akibat pengaruh bahasa Belanda.

Orang Melayu di Malaysia tentu terpinga-pinga jika rakan Indonesia bertanya tentang merek sesuatu barang. Sementara kita menyebut jenama, orang Indonesia pula meminjam daripada merk (Belanda).

Perbezaan komunikasi antara penutur bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia juga nyata menerusi penggunaan istilah seperti sipir (cipier) bagi warden penjara, wortel bagi lobak merah, dasi (dasje) bagi tali leher, dan kulkas (koelkast) bagi peti ais.

Sejak kecil, saya mendengar penutur bahasa Tamil menggunakan istilah kakus apabila merujuk kepada tandas atau jamban. Apabila dewasa, saya mendengar orang Indonesia menggunakan istilah sama. Rupa-rupanya, ia berasal daripada kakhuis (rumah tahi) dalam bahasa Belanda.

KITA BANYAK GUNA BAHASA INDONESIA
Sebagaimana perkataan peluncuran (Indonesia) sudah diterima pakai bagi pelancaran dalam Kamus Dewan Perdana (2020), istilah gratis sudah lebih kerap digunakan berbanding percuma.

Begitulah juga kantor dan parkir semakin lazim diguna pakai menggantikan pejabat dan tempat letak kereta. Tiga perkataan ini sebenarnya kosa kata bahasa Indonesia daripada bahasa Belanda.

Kita mungkin rasa bangga apabila penutur bahasa Indonesia turut menggunakan istilah kacang buncis bagi French beans. Sebenarnya, istilah buncis berasal daripada boontjes (Belanda).

Tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meminjam perkataan Inggeris tanpa had dengan alasan mahu memperkaya kosa kata Melayu sering menimbulkan rasa marah dan mual pencinta bahasa.

Dalam pada itu, ada istilah bahasa Indonesia yang kita sangka dipinjam daripada bahasa Inggeris tetapi sebenarnya merupakan istilah bahasa Belanda. Malah, tanpa sedar kita juga meminjam dari sana.

Sebagai contoh, kita fikir istilah diskusi (perbincangan) diambil daripada discussion (Inggeris). Sebenarnya, ia diambil daripada Indonesia yang dipinjam daripada discussie (Belanda).

Begitu juga komentar (ulasan, kritikan) yang disangka dipinjam daripada comment atau commentary (Inggeris), sebenarnya kosa kata bahasa Indonesia daripada commentaar (Belanda).

Satu lagi contoh ialah kondisi (keadaan, syarat) yang diambil daripada conditie (Belanda) atau kondisi (Indonesia) dan bukannya daripada condition (Inggeris). Perhatikan bagaimana ‘-tie’ sering menjadi ‘-si’.

Kita lebih seronok menggunakan korupsi (rasuah) yang disangka dipinjam daripada corruption (Inggeris). Sebenarnya, kita pinjam daripada korupsi (Indonesia) yang berasal daripada corruptie (Belanda).

Dari mana datangnya istilah gaji (upah) sedangkan dalam bahasa Inggeris disebut salary dan wages? Sebenarnya, kita ambil daripada gaji (Indonesia) yang berasal pula daripada gage (Belanda).

Pelopor (perintis) disebut frontrunner dalam bahasa Inggeris. Kita sebenarnya meminjam daripada istilah bahasa Indonesia yang berasal daripada voorloper (Belanda).

Kita mungkin tertanya-tanya bagaimana performance (Inggeris) menjadi prestasi dalam bahasa Melayu. Sebenarnya, ia istilah bahasa Indonesia daripada prestatie (Belanda).

Begitu juga risiko yang disangka berasal daripada risk (Inggeris) sebenarnya daripada risico (Belanda). Tentulah sepanduk bukan daripada banner tetapi daripada spanduk (Indonesia) dan spandoek (Belanda).

Kita sudah biasa menggunakan puisi bagi poetry (Inggeris). Asalnya poezie (Belanda) yang menjadi puisi (Indonesia). Selain daripada kos (perbelanjaan) daripada cost (Inggeris), kita sudah mula menggunakan ongkos (Indonesia) daripada onkosten (Belanda).

Sementara perkataan identikal (serupa) diambil daripada identical (Inggeris), orang Indonesia pula menggunakan identik daripada identiek (Belanda). Begitu juga, kita kagum dengan fantastik (hebat) daripada fantastic (Inggeris) tetapi orang Indonesia selesa dengan fantastis daripada fantastisch (Belanda).

Sedikit contoh di atas menunjukkan walaupun bahasa Melayu dianggap bahasa serantau, tetap wujud perbezaan dalam penggunaan di Malaysia dan Indonesia.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN