Bagaimana guru begitulah muridnya

Bagaimana guru begitulah muridnya

PESERTA menambah ilmu baharu dalam dalam siri Bengkel Penulisan Cerpen di Perpustakaan Pekan Semenyih, Selangor yang diadakan pada 25 September.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jika ingin menjadi seorang penulis, pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis.”

Petua itu diberi oleh Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang sentiasa diulang pada bengkel penulisan. Kata-kata itu nampak ringkas tetapi sebenarnya merangkum nasihat paling penting bagi sesiapa yang mahu menjadi penulis.

Maka, nasihat dan peringatan sama saya beri kepada peserta bengkel penulisan cerpen di Perpustakaan Pekan Semenyih, Selangor (25 September 2024) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) YMHA, Taiping, Perak (28 September 2024).

Bengkel di Semenyih diatur SJKT Dominion dan disertai 17 guru dari tujuh SJKT, lima sekolah kebangsaan (SK) dan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Bengkel di Taiping pula dianjurkan Persatuan Kebajikan Idayakkani (Idayakkani) dan disertai 32 murid serta tujuh guru dari tujuh SJKT di Daerah Larut, Matang dan Selama.

Walaupun sudah mula menulis sejak di bangku sekolah, saya berpeluang menimba ilmu penulisan secara formal pada 1991 apabila diundang menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mulai 1994, saya mengendalikan bengkel penulisan dan kempen galakan membaca di seluruh negara. Pesanan dan nasihat Pak Samad sentiasa terselit dalam jiwa dan minda.

Jika kita perhatikan, rata-rata bengkel penulisan anjuran DBP, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan persatuan penulis rata-rata disertai kaum Melayu. Hal berbeza dapat diperhatikan pada bengkel penulisan anjuran Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Hal ini wajar dinyatakan kerana Dasar Sastera Kebangsaan yang ditetapkan susulan Kongres Kebudayaan Kebangsaan (1971) dan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1971 menekankan perlunya ada penglibatan serta sumbangan semua kaum dalam perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan.

 

 

PENULIS bergambar bersama peserta Bengkel Penulisan Cerpen di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) YMHA, Taiping, Perak pada 28 September lalu.

 

Golongan guru sebagai pihak yang sentiasa berinteraksi dengan kanak-kanak serta menjadi suri teladan kepada murid-murid boleh menjadi ejen memupuk budaya membaca serta mencungkil bakat penulis muda. Hal ini berlaku kepada saya semasa belajar di SK Convent Aulong, Sekolah Menengah (SM) Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping.

Para guru yang menyertai bengkel penulisan cerpen di Semenyih dan Taiping baru-baru ini tidak menghadapi masalah penguasaan bahasa. Mereka ada banyak idea, cerita dan pengalaman yang boleh diolah menjadi cereka dan cerpen.

Sesungguhnya, saya amat kagum dengan petikan karya ditulis para guru selepas mengikuti bengkel selama beberapa jam. Mereka juga mampu membaca petikan itu dengan penuh gaya dan penghayatan. Saya yakin, mereka boleh menjadi suri teladan kepada murid-murid di sekolah masing-masing.

Peserta kanak-kanak juga menunjukkan bakat yang mengagumkan. Memang dalam setiap program Temasya Bahasa di SJKT, saya mengingatkan murid-murid betapa mereka perlu mampu berinteraksi dan berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan, khususnya apabila melangkah ke sekolah menengah.

Pada bengkel penulisan cerpen pula, saya menghuraikan bagaimana unsur pancaindera, emosi dan dialog boleh dimasukkan dalam karangan di sekolah. Murid-murid selaku peserta ternyata memahami ilmu yang disampaikan.

Hasilnya jelas apabila peserta membacakan petikan karya mereka yang menampilkan unsur-unsur berkenaan. Karangan biasa juga menjadi lebih menarik sebaik diselitkan sedikit unsur emosi, pancaindera dan dialog.

Perihal budaya menciplak atau meniru karya orang lain pernah dihuraikan di ruangan ini pada 4 Disember 2021. Saya dengan tegas mengingatkan peserta bengkel di Semenyih dan Taiping supaya tidak sesekali menciplak karya orang.

Semua peserta diberikan majalah Melur terbitan Exact Publisher khusus untuk murid SJKC dan SJKT. Para guru dan murid digalakkan membaiki karya masing-masing dan menghantarnya ke sana.

Peserta juga boleh mengirim karya ke majalah sekolah, Dewan Pelajar, projek antologi cerpen dan sebagainya supaya boleh Tetapkan imej terencanamencipta nama sebagai penulis yang berjaya.

Program Temasya Bahasa di SJKT dianjurkan Idayakkani dengan kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Selain memupuk minat membaca, program ini cuba mencungkil bakat terpendam dalam kalangan peserta.

Minat membaca dan menulis bukan hanya penting dalam pelajaran. Sebaliknya, boleh menjadi bekalan amat bernilai sepanjang hayat. Budaya membaca dan menulis yang dipupuk dan diasah sejak kecil pasti menjadikan masa depan lebih cerah.

Peribahasa ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’ sering digunakan untuk menunjukkan bagaimana anak-anak biasanya terikut-ikut perangai ibu bapa.

Memandangkan kanak-kanak banyak meluangkan masa di sekolah, peribahasa itu juga boleh digunakan untuk menunjukkan pengaruh guru kepada murid.

Sebagaimana dinyatakan tadi, guru sering menjadi idola dan suri teladan kepada murid. Apabila guru minat membaca dan berbakat menulis, maka budaya itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi murid-murid.

Menyedari hakikat ini, Idayakkani dan Kavyan bercadang menganjurkan bengkel penulisan cerpen khusus bagi guru SJKT. Mereka akan dibimbing mengungkapkan pengalaman di SJKT dalam bentuk karya kreatif.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN