PADA 1994, Al-Arqam secara rasminya diharamkan selepas bertahun-tahun dituduh mengamalkan ajaran sesat. Pengasasnya, Ashaari Muhammad serta pengikutnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dari saat itu, sepatutnya tiada lagi mana-mana pihak yang boleh menghidupkan dan mengamalkan semula ajaran yang dibawa Al-Arqam.
Namun, kira-kira 30 tahun kemudian, pada 11 September lalu, siasatan polis mendapati ajaran kumpulan itu rupa-rupanya masih lagi diamalkan.Kali ini di bawah Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang beroperasi sejak 2008.
Ia menimbulkan 1,001 persoalan dalam masyarakat. Bagaimana perkara ini boleh dibiarkan berlaku dan mengapa pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk bertindak. Ada juga yang merasa tertipu dengan imej yang dibawa GISBH selama ini.
Bukan itu sahaja, ia juga menunjukkan seolah-olah Ashaari yang juga dikenali sebagai Abuya masih ‘hidup’ di negara yang selama ini berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, membuktikan betapa kuatnya pengaruh Al-Arqam sehingga ke hari ini.
AL-ARQAM
Walaupun Ashaari mengasaskan Al-Arqam sejak 1968, gerakan ini hanya mula meraih pengikut yang ramai kira-kira 10 tahun kemudian, apabila Revolusi Islam tercetus di Iran.
Seawal 1979 lagi, ajaran Al-Arqam mula dipersoalkan. Selepas Akhbar Anang disingkirkan daripada jawatan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah, beliau menjadi individu terawal yang mendedahkan mengenai fahaman Aurad Muhammadiah.
Pendedahan itu mendorong majlis agama untuk memanggil Ashaari bagi mendapatkan penjelasan, namun beliau nafi bertanggungjawab menyebarkan fahaman tersebut.
Beberapa tahun kemudian, Al-Arqam sekali lagi dipersoal apabila timbalan ketuanya, Mokhtar Yaakob bertindak keluar daripada kumpulan tersebut kerana tidak bersetuju dengan ajaran yang diamalkan oleh Ashaari.
Pada 1986, jawatankuasa fatwa negeri-negeri akhirnya memutuskan bahawa fahaman Aurad Muhammadiah yang terkandung dalam dua buku iaitu Aurad Muhammadiah Pegangan Dar Al-Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan dan Manaqib Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi bertentangan dengan syariat Islam.
Di sebalik tindakan beberapa pemimpin tertinggi dan ahlinya meninggalkan Al-Arqam kerana tidak bersetuju dengan ajaran yang diamalkan serta pengharaman buku, kumpulan ini masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Pada 16 November 1988, Kementerian Dalam Negeri bertindak menarik permit penerbitan bagi al-Arqam, al-Mukminah, al-Munir dan al-Ain manakala permit Mingguan Islam ditarik pada 8 Januari 1989.
Menjelang awal 1990, Al-Arqam menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 buah anak syarikat milik jemaah Al-Arqam dalam usaha memperluaskan pengaruhnya dalam dunia ekonomi, perniagaan dan antarabangsa.
Dalam tahun-tahun akhirnya yang cuba memperbaiki imej dan popularitinya dalam kalangan umat Islam, Al-Arqam terus dibelenggu dengan isu Aurad Muhammadiah serta ajarannya yang dikatakan sudah sesat dan menyimpang dari agama Islam sebenar.
Negara-negara jiran bertindak lebih awal apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Singapura (Muis) pada November 1991 memutuskan supaya buku Aurad Muhammadiah Pegangan Al-Arqam dilarang edarannya dan melarang masyarakat Islam daripada menyertai pergerakan atau mengamalkan ajaran Al-Arqam.
Ini diikuti dengan Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada 1992 yang mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Al-Arqam sudah menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.
Pada Ogos 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan akhirnya mengumumkan pengharaman menyeluruh ke atas semua aktiviti Al-Arqam termasuk menyebarkan Aurad Muhammadiah, sekolah, perkampungan, entiti perniagaan dan kegiatan sosiobudaya. Menyimpan barang-barang Al-Arqam juga satu kesalahan.
Ashaari dan pengikutnya ditahan di bawah ISA pada September 1994, disusuli penahanan daerah di bawah perintah kediaman terhad mulai Oktober 1994.
RUFAQA
Ketika dalam tahanan rumah pada 1997, Ashaari dengan bantuan pengikutnya menubuhkan Rufaqa sebagai sebuah syarikat perniagaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Beliau dilantik sebagai pengerusi eksekutif.
Penubuhan syarikat itu mendapat kebenaran Kementerian Dalam Negeri serta dipantau pihak berkuasa. Ashaari ketika itu menjelaskan, Rufaqa ditubuhkan dengan tujuan membangunkan cara hidup Islam melalui perniagaan, tanpa menyebut sama ada ajaran Al-Arqam akan diteruskan.
Bagaimanapun, pada Julai 1999, nama Rufaqa muncul di khalayak ramai apabila membiaya pembinaan sekolah menengah At-Tahalli di Rawang menggunakan permit sementara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Sekolah itu hanya bertahan sehingga Disember 2000 apabila lesennya ditarik balik selepas dituduh cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam. Ashaari dibuang daerah ke Labuan dari 2002 hingga dibebaskan pada 2004.
Di sebalik kejayaan dalam bidang perniagaan dalam dan luar negara, Rufaqa terus-terusan dikaitkan dengan ajaran lama Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah. Syarikat ini juga didakwa terlibat dengan ketirisan, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana awam dan sebagainya.
Kemuncaknya, pada 25 Nov 2006, Jais menahan lebih 100 ahli Rufaqa kerana didakwa cuba menghidupkan semula ajaran al-Arqam. Ashaari ketika itu menafikan cubaan untuk menghidupkan semula ajarannya.
Kes itu mendorong Rufaqa untuk mengubah imejnya dan dijenamakan semula kepada Global Ikhwan mulai 2008.
GISBH
Selepas Ashaari meninggal dunia pada 2010, Global Ikhwan kemudian dikenali sebagai GISBH yang diterajui oleh isteri Ashaari iaitu Khadijah Aam yang juga dikenali sebagai Ummu Jah. Namun, sejak awal lagi, GISBH sudah bermasalah.
Pada 2013, Ummu Jah bersama pengikutnya ditahan Jais selepas mereka dihantar pulang oleh kerajaan Arab Saudi kerana didakwa mengembangkan ajaran Al-Arqam. Beliau kemudian mengaku bersalah kerana menghidupkan ajaran Al-Arqam melalui GISBH dan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat untuk menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Al-Arqam.
Beberapa bulan kemudian, Ummu Jah bersama 300 pengikut GISB melafazkan taubat dan menandatangani dokumen pengisytiharan taubat di hadapan Majlis Fatwa Kebangsaan. Beliau meninggal dunia pada 2015.
Ramai menyangka bahawa lafaz taubat itu pengakhiran kepada Al-Arqam dan pengikutnya telah berubah. Sangkaan itu meleset sama sekali, apabila GISBH sekali lagi berdepan dengan pihak berkuasa hampir 10 tahun kemudian.
Sejak serbuan polis bulan lalu, GISBH disyaki terlibat dengan kes penderaan fizikal dan seksual, pengubahan wang haram, perdagangan manusia, pelarian cukai dan mengamalkan ajaran Al-Arqam yang telah pun diharamkan.
Banyak tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh 30 tahun selepas pengharaman Al-Arqam, namun kumpulan ini dapat hidup semula dengan pelbagai cara.
Ajaran sesat adalah kesalahan jenayah. Al-Arqam tidak akan dapat hidup semula jika ia dibendung dari awal.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










