Syukurlah dengan nikmat yang ada

Syukurlah dengan nikmat yang ada

APA jua sumbangan yang dibawa dihargai oleh kanak-kanak di Kampung Tagupi Laut dekat Lahad Datu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUSAT Pembangunan Minda Insan (PPMI) Kampung Tagupi Laut merupakan sebuah sekolah alternatif yang dibuka di  perkampungan pedalaman yang terletak di Lahad Datu, Sabah. Nama lain bagi Kampung Tagupi Laut ialah Deen Heaven.

Kawasan ini merupakan antara kawasan terawal menerima cahaya matahari di Malaysia.

Kebanyakan penduduk kampung merupakan orang tidak berdokumen yakni subkategori bagi komuniti orang tidak bernegara atau lebih dikenali sebagai stateless. Mereka merupakan masyarakat yang amat terpencil kerana perjalanan dari Bandar Lahad Datu menuju ke Kampung Tagupi Laut memakan masa hampir tiga jam.

Pada 9 hingga 13 September lalu, saya mengikuti delegasi 19 orang aktivis dari Semenanjung Malaysia dalam penganjuran siri kelima program #TagupiMembaca.

Perjalanan kami yang membawa lebih 300 kilogram (kg)  bahan bacaan untuk peserta program  bermula seawal 6 pagi dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kami tiba di Lapangan Terbang Tawau pada pukul 9 pagi, sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda selama lima jam.

Sebahagian daripada perjalanan ini di atas jalan tidak berturap dan keadaan jalan sebegini menyukarkan lagi penduduk untuk keluar masuk ke bandar. Sebagai seorang pelajar tingkatan 4 yang dibesarkan di bandar besar seperti Kuala Lumpur sejak kecil lagi, pengalaman melihat infrastruktur di kawasan pedalaman amat menginsafkan diri saya.

Perjalanan yang mencabar ini membuatkan saya sering tertanya, adakah mereka menerima bantuan daripada kerajaan?. Ini kerana saya merasa jika dibandingkan dengan penduduk di bandar, rakyat di pedalaman jauh lebih memerlukan bantuan.

Setibanya di lokasi program, kami disambut baik oleh penduduk kampung. Malah, kedatangan kami terasa amat dialu-alukan dan jelas kelihatan keterujaan mereka menerima delegasi kami. 

Yang lebih menarik, selain daripada peserta dari Kampung Tagupi Laut, kami turut menerima peserta program dari Kampung Simuning yang terletak 38 kilometer (km), Kampung Perpaduan yang berjarak 95 km dan Kampung Takun yang terletak lebih 96 km dari lokasi program.

Ini merupakan pengalaman baharu yang saya saksikan, ramai peserta dari Kampung Perpaduan dan Kampung Takun datang ke lokasi program dengan menaiki lori. Jika di Kuala Lumpur, anak-anak merasa malu untuk menaiki van usang ke sekolah. Sedangkan di sana, van usang dilihat mewah kerana mereka telah dididik dan sudah terbiasa untuk menumpang di belakang lori atau  kenderaan pacuan empat roda untuk pergi ke mana-mana. Bayangkan perjalanan hampir dua jam di belakang lori tanpa atap dan lapik.

Kejituan hati mereka melawan rasa tidak selesa demi menyertai program amat menginsafkan saya.

Saya turut merasakan perasaan sebak dan pilu yang timbul dalam hati setiap delegasi kami apabila para peserta program menyanyikan lagu Negaraku dan mereka amat menghayati setiap lirik lagu yang dinyanyikan meskipun  tidak mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. 

Buat pertama kali, lirik yang selama ini saya nyanyikan tanpa penghayatan, melahirkan makna yang jelas. Tanah tumpahnya darahku, menjadi bait keramat yang menusuk ke kalbu saya lebih-lebih lagi apabila ramai dalam kalangan kanak-kanak di sana menyuarakan cita-cita mereka sebagai polis dan askar bagi mempertahankan negara. Sudah tentu trauma pencerobohan di Kampung Tanduo yang terletak berdekatan dengan lokasi program meninggalkan kesan dalam sanubari mereka.

Sepanjang lima hari berada di sana antara perkara utama yang saya pelajari adalah erti syukur dalam kehidupan. Mereka tetap gembira dan bersyukur dengan kemudahan yang ada meskipun dalam keadaan kekurangan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain.

Malah, apabila dibandingkan dengan sekolah yang saya hadiri, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz  Majlis  Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) (SMISTA), saya belajar untuk menginsafi dan mensyukuri setiap nikmat yang ada. Dengan kemudahan pembelajaran sentiasa diselenggara dengan baik serta kami belajar dengan amat selesa sekali.

Saya lihat sumbangan berbentuk buku dari kami adalah hadiah paling bermakna kerana minat mereka terhadap membaca. Ini terlihat jelas apabila ada peserta yang meminta menukar buku yang diberikan kerana mahukan bahan bacaan yang lebih mencabar. Mereka sentiasa ingin belajar perkara baharu dan semangat mereka menjadi inspirasi kepada kami semua. Keterujaan mereka tidak pernah terpadam sejak siri pertama program #TagupiMembaca dianjurkan.

Selain itu, sumbangan berbentuk makanan seperti roti amat mereka hargai seolah-olah mendapat ‘emas’ setiap seorang. Walaupun tiada makanan mewah yang kami mampu bawakan, mereka tetap menerima pemberian kami dan berterima kasih. 

 

SYUKUR NIKMAT

Sikap mereka banyak mengajar untuk mensyukuri nikmat yang saya terima selama ini. Saya berharap agar keikhlasan mereka dapat dirasai oleh ramai lagi rakyat Malaysia yang bernaung bersama di dalam negara yang bertuah ini. 

Meskipun kita datang dari latar belakang yang berbeza namun, rasa cinta kita kepada negara ini sepatutnya mengikat rasa syukur dalam diri kita semua.-UTUSAN

 

PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca, program amal yang menyalurkan bahan pembelajaran untuk komuniti tidak bernegara (stateless) di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN