SELEPAS kemenangan besar Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Ogos lalu, kini semua mata tertumpu kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September ini.
Soalan paling panas, mampukah Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam PRK ini sebagaimana kejayaan mereka di Sungai Bakap, Julai lalu?
Sudah tentu BN harus berusaha sekuat mungkin bagi mempertahankan kerusi ini daripada dirampas pihak lawan. Kemenangan ini sangat penting bagi mengekalkan momentum sokongan penyokong yang diraih hasil kemenangan besar di Nenggiri. BN harus dilihat kembali berbisa bagi mengembalikan keyakinan pengundi, khasnya pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pada waktu sama, PN berdepan tekanan yang sangat besar untuk menang dalam PRK ini bagi menebus maruah setelah kalah teruk kepada calon muda UMNO di Nenggiri. Apatah lagi mereka kalah di Kelantan, negeri kubu kuat Pas. Justeru, PRK ini merupakan satu cabaran hebat buat mereka.
Sudah tentu PN mahu membuktikan kekuatan mereka di bumi Johor, negeri tempat lahirnya UMNO. Walaupun penyokong setia PN tidak terpukul dan tetap yakin dengan kehebatan parti mereka jika pun mereka kalah dalam PRK ini, tetapi peluang PN untuk memujuk penyokong parti lawan dan pengundi atas pagar akan terjejas.
Berbaki seminggu sahaja lagi tempoh berkempen, semua pihak akan berhempas-pulas mengejar waktu untuk memastikan kemenangan parti. Ada yang menjanjikan bulan dan bintang serta memainkan persepsi mahupun emosi sebagai cara memancing undi. Ada yang tidak segan menabur fitnah demi menjatuhkan lawan.
Setiap parti akan cuba mengadun resipi terbaik untuk menang besar. Apatah lagi jika kerusi tersebut disandang oleh mereka atau terletak di kawasan kubu kuat parti. Namun, kalau tidak mampu menang besar, menang kecil pun jadilah. Asal sahaja tidak kalah.
Seperti dalam peperangan, strategi yang baik bersertakan koordinasi kerja yang cekap dan teratur semasa berkempen adalah sangat penting, di samping perwatakan dan rekod perkhidmatan cemerlang calon. Maka, pemimpin parti mesti bijak membaca sentimen dan faham akan kehendak pengundi dalam merangka strategi.
Mengambil contoh PRK Nenggiri, ternyata strategi luar kotak Tengku Razaleigh Hamzah bersama kerja keras semua jentera parti Kerajaan Perpaduan telah memberi kemenangan bergaya kepada BN dengan majoriti 3,372 undi. Satu kejayaan yang mengejutkan ramai pemimpin dan pemerhati politik. Lebih penting lagi, kemenangan itu mematahkan status quo keputusan PRK selepas PRU15 sebelum ini.
Menariknya, dalam PRK Mahkota, usia calon diturunkan BN dan PN jauh berbeza, ibarat anak dan ayah. BN menurunkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 manakala PN pula mempertaruhkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Haizan Jaafar, 61. Adakah faktor usia calon penting kepada pengundi? Tepuk dada tanya selera.
DUN Mahkota mempunyai 54 peratus pengundi Melayu, 34 peratus pengundi Cina, lapan peratus pengundi India dan lain-lain berjumlah dua peratus. Ini bermakna undi daripada kesemua etnik diperlukan untuk menang. Dalam keadaan ini, kerjasama yang utuh daripada setiap rakan dalam pakatan parti yang bertanding akan menjadi kunci kejayaan calon.
PRK ini penting bagi parti yang bertanding menilai tahap kesediaan pengundi dalam menyokong rakan sepasukan parti. Adakah kesetiaan pengundi kepada parti akan diterjemahkan ke atas kertas undi? Begitu juga dengan kesungguhan dan keikhlasan rakan sepasukan bagi memenangkan calon pilihan dan bukannya cuma bercakap tetapi tidak serupa bikin.
Dalam suasana politik yang sangat dinamik, semua pihak harus bekerja kuat untuk menang. Bagi PN, untuk menang di kerusi ini yang belum pernah dimenangi sama ada oleh calon Pas, Bersatu, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) mahupun mana-mana rakan dalam gabungan parti itu, maka mereka perlu merampas undi orang muda serta merebut undi daripada penyokong parti lawan.
Tugas besar terletak di bahu Gerakan untuk menarik undi bukan Melayu, serta meredakan sentimen etnik Cina terhadap Pas. Pada waktu sama, Gerakan juga mesti memenangi hati pengundi Melayu. Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang tidak bertanding, menyatakan sokongan kepada PN dalam PRK ini.
Adakah undi Melayu di DUN Mahkota akan kembali kepada UMNO? Berjayakah parti-parti komponen BN dan rakan-rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan membantu memenangkan calon BN, khasnya dalam mendapatkan undi bukan Melayu? Akankah calon muda berjaya menarik undi pengundi muda?
Untuk rekod, semasa PRN Johor, BN mendapat 46 peratus undi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 32 peratus manakala Pas hanya mendapat 21 peratus undi di DUN Mahkota. Biarpun selera pengundi baharu sukar dijangka, BN berpeluang menang jika tiada unsur sabotaj dan memboikot undi dari kalangan pengundi BN dan PH.

PENGALAMAN BANYAK MENGAJAR
Nampaknya, BN banyak belajar daripada kekalahan lampau. Walaupun penyandang dan pernah menggenggam kerusi ini selama beberapa penggal, namun BN dan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan tidak mahu berada dalam keadaan terlalu selesa.
Kita berharap tiada lagi isu 3R (raja, agama dan kaum) dan fitnah dimainkan semasa berkempen. Keamanan serta kedaulatan negara lebih penting berbanding perjuangan politik kepartian. Kita tidak mahu politik kebencian menjadi trend ikutan anak muda yang baru mengenal dunia, lantas menjangkiti politik kampus.
Pemimpin yang baik harus sentiasa menjaga tutur kata serta menunjukkan teladan yang baik, apatah lagi ketika berkempen. Yang datang dari luar mesti memahami hati budi rakyat setempat. Bak kata orang tua-tua, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Semoga pengundi DUN Mahkota akan mengundi dengan bijaksana dan tidak mengikut emosi. Ikutlah cara Johor, Johor harus tetap jadi Johor. Selamat mengundi, fikir dahulu sebelum memangkah.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










