Petunjuk positif reformasi tadbir urus Imigresen

Petunjuk positif reformasi tadbir urus Imigresen

PERUBAHAN yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia dapat memangkin pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JABATAN Imigresen Malaysia di bawah Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, adalah satu jabatan panas yang sentiasa menjadi tumpuan banyak pihak.

Tidak hairanlah banyak tuduhan liar dibuat ke atas jabatan ini, apatah lagi bila beberapa orang pegawainya ditahan di bawah tuduhan rasuah.

Pada masa yang sama, tindakan segelintir kecil pegawai yang tidak amanah tidak boleh menafikan peranan besar Imigresen dalam memastikan bukan hanya keselamatan dan kelancaran pergerakan di pintu-pintu masuk, tetapi sebagai pemudahcara dalam projek dan program pembangunan ekonomi negara.

Selain itu, jabatan itu memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan negara-negara asing dan agensi antarabangsa dalam pengurusan isu-isu imigresen, memerangi jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta menguruskan pelarian.

Dari sudut pembangunan ekonomi negara, Imigresen menunjukkan kutipan hasil yang memberangsangkan, iaitu sebanyak RM5.6 billion pada tahun lalu dan sebanyak RM3.22 billion sehingga 15 Julai.

Nilai ini dijangka akan terus meningkat dan akan menyamai kutipan hasil 2023 jika tidak mengatasi kutipan tersebut.

Imigresen juga telah memperlihatkan peningkatan dalam jumlah kemasukan pelawat iaitu sebanyak 56.6 juta pergerakan keluar masuk warga asing untuk 2023.

Sementara tahun ini sehingga 15 Julai, Imigresen merekodkan pergerakan keluar masuk sebanyak hampir 35 juta.

Jumlah ini akan terus bertambah selari dengan persediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Imigresen juga melaksanakan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) bertujuan untuk merancakkan ekonomi negara dengan merangsang sektor pelancongan bagi menjana pendapatan negara.

PLV memudahkan pergerakan pekerja mahir dan profesional, ahli perniagaan serta pelabur daripada dalam dan luar negara.

Mobiliti yang lebih mudah boleh meningkatkan kerjasama rentas sempadan dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi.

Imigresen dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut berjaya mempertingkatkan kedudukan Malaysia ke Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2024 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Ini sekali gus menunjukkan peningkatan signifikan dalam usaha kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah pemerdagangan manusia berbanding pada kedudukan Tahap 2 (senarai pemerhatian) pada 2023.

Pasport Malaysia juga berada di kedudukan ke-12 paling berkuasa di dunia, kedua di ASEAN menerusi Indeks Pasport The Henley: Kedudukan Global 2024, yang bermaksud pemegang pasport Malaysia boleh melakukan perjalanan tanpa visa ke 182 dari 227 destinasi perjalanan seluruh dunia.

Dari aspek memudahcara mobiliti global, telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi kemasukan tenaga pakar asing. Proses kemasukan tenaga pakar dilaksanakan 100 peratus dalam talian dan pas dikeluarkan dalam tempoh lima hari.

Bukan itu sahaja, Imigresen mewujudkan Pusat Satelit Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 untuk tenaga pakar mendapatkan perkhidmatan terus selepas sampai di negara ini, mengurangkan masa menunggu dari 30 hari kepada serta-merta.

Antara inisiatif lain Imigresen ialah memperkenalkan Baitul Mahabbah, iaitu pusat penempatan sementara bagi menampung kanak-kanak warga asing berumur kurang 10 tahun yang ditahan bersama penjaga sehingga proses dokumentasi selesai.

Sehingga 11 Ogos lalu, terdapat 197 kanak-kanak termasuk ibu atau penjaga ditempatkan di empat Baitul Mahabbah, iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; Bekenu, Miri, Sarawak dan Tanah Merah, Kelantan.

Isu domestik dalam pengurusan sumber manusia pastinya merupakan hal sampingan yang berlaku dalam setiap organisasi.

Bagi maksud itu, jabatan ini mengambil tindakan pantas bagi mengoptimumkan Kaunter Perkhidmatan Imigresen di KLIA terutama ketika waktu puncak iaitu antara pukul 3 petang hingga 9 malam untuk melaksanakan inisiatif seperti berikut:

• Penambahan 10 kaunter pemeriksaan dan dua kaunter penyelia di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1.
• Pengisian penuh perjawatan di KLIA Terminal 1.
• Penubuhan dan penugasan Pasukan Respon Pantas (QRT).
• Mengoptimum dan mempelbagaikan fungsi kaunter sedia ada.

Selain itu, Imigresen juga melaksanakan perluasan kemudahan pagar automatik pada 27 Februari 2023 dan inisiatif ini dilihat dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.

Melaluinya, proses pelepasan dapat dipercepatkan 10 hingga 15 saat sahaja berbanding 30 minit masa menunggu di kaunter manual.

Pelaksanaan ini dijangka akan mempercepat dan melancarkan proses pelepasan imigresen di pintu-pintu masuk Malaysia selaras dengan persediaan jabatan ini menerima kemasukan pelawat asing sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pintu masuk Malaysia-Singapura terutamanya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) merupakan pintu masuk tersibuk di dunia. Secara purata bilangan aktiviti keluar masuk sebanyak hampir 400,000 pergerakan sehari.

Pendekatan pemeriksaan Imigresen menggunakan Kod QR dengan Bukti Konsep (POC) telah dilaksanakan selama tiga bulan bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos lalu akan menjadi perubahan kepada usaha kerajaan dalam menangani kesesakan di kedua-dua pintu masuk BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Imigresen juga menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Emas, Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2023 oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 29 Februari serta Pemenang Produktiviti oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 28 Mei.

Anugerah lain ialah seperti Anugerah Kecemerlangan Premier atas Kejayaan Pengurusan Permohonan Ekspatriat 2023 oleh TalentCorp pada 7 Disember 2023, Anugerah Cemerlang Pelancongan Digital bagi kategori Sektor Awam pada 8 November 2023, Anugerah Khas 100 Peratus Kadar Penggunaan Pembayaran Digital pada 30 Oktober 2023 serta Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 pada 16 Ogos 2023.

Semua ini adalah petunjuk yang baik bagi reformasi tadbir urus Imigresen.-UTUSAN

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN