PADA Februari 2006, terjadi pengeboman ke atas Masjid Al-Askari di Iraq oleh puak ekstremis sunni Al-Qaeda ke atas tempat suci Shiah di Iraq.
Pada 1979 Mohammad Abdus Salam memenangi hadiah Nobel dalam bidang Fizik.
Malangnya, pencapaian itu dipandang sepi oleh negara kelahirannya sendiri kerana dituduh menganut fahaman Ahmadi yang difatwakan sesat oleh Kerajaan Pakistan. Akibat fatwa tersebut, beliau sentiasa mendapat tekanan kerajaan Pakistan sehingga membawa diri ke England.
Dua peristiwa di atas ialah peristiwa hodoh akibat daripada perpecahan umat Islam akibat pertentangan politik yang melarat ratusan tahun sehingga menimbulkan keganasan.
Kita sudah maklum pertentangan Sunni dan Syiah bermula dengan perang Jamal antara Aisha R.A isteri Nabi dan Ali R.A kerana tidak berpuas hati dengan sikap acuh tidak acuh Ali R.A sebagai Khalifah yang tidak mengambil tindakan tegas atas peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman R.A. Ia melarat sehingga membawa kepada pertentangan antara Muawiyah (Gabenor di Syria pada masa itu) dan Ali R.A. Muawiyah melalui Perang Siffin menentang Ali R.A kerana menuntut bela atas kematian Uthman R.A.
Konflik hebat dalam sejarah umat Islam ini dinukilkan dengan penuh tragis dalam karya Lesley Hazleton iaitu After the Prophet: the Epic Story of the Shia-Sunni Split.
Konflik hebat ini menurut Lesley telah membahagikan umat Islam kepada dua kelompok iaitu golongan Sunni mereka yang pro-Uthman R.A, Aishah R.A dan Muawiyah dan kelompok pro-Ali R.A dan keluarga Nabi yang lain seperti Fatimah anak Nabi, Hassan dan Hussein cucu Nabi.
Semuanya berpunca dari satu asbab iaitu ketidakpuasan hati atas pembunuhan Uthman R.A tetapi meleret-leret sehingga meresap ke dalam perbincangan teologi Islam.
Misalnya perbahasan sama ada sikap Ali R.A untuk berdamai dengan Muawiyah adalah selari dengan Islam atau tidak.
Lalu timbullah golongan Khawarij yang menentang Ali R.A kerana tidak bersetuju dengan proses perdamaian dengan Muawiyah.
Dari peristiwa ini kelihatannya, perpecahan umat Islam berlaku atas dua asbab: Pertama, ialah perpecahan politik antara Sunni, Shiah dan Khawarij yang berterusan ratusan tahun hingga ke hari ini.
Kedua, ialah tekanan penguasa atau kerajaan yang keterlaluan dalam mengenepikan pandangan yang berbeda sehingga mengabaikan keutamaan yang lebih besar seperti apa yang terjadi kepada Mohammad Abdus Salam.
Bukan ingin mengatakan ajaran Ahmadi itu benar tetapi kita mengambil pengajaran bagaimana penguasa boleh menekan setengah pihak kerana tidak bersetuju dalam suatu perkara.
Dalam hal yang sama di Malaysia sekarang, perbincangan perihal Rang Undang-Undang Mufti (RUU Mufti) menjadi polemik panas. Pelbagai pihak telah menyatakan pandangan masing-masing.
Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. RUU Mufti menjadi kontroversi kerana menyentuh kelayakan menjadi mufti Wilayah Persekutuan iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan alMaturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie dan Imam Junaid dalam tasauf.
Memang benar secara tradisi di Tanah Melayu umat Islam cenderung bermazhab sedemikian, namun menyempitkan secara perundangan memberikan implikasi dan kesan yang berbeda. Ia seolah-seolah menggambarkan bahawa mazhab dan manhaj lain adalah tidak diterima di Wilayah Persekutuan. Walhal definisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah itu sangat luas merangkumi mazhab Maliki, Hanbali, Hanafi dan Syafie.
Undang-undang yang bersangkut paut dengan Islam mesti dibuat atas dasar ilmu bukan kerana atas niat politik atau menekan mana-mana pihak.
RUU Mufti jika diluluskan Parlimen diharapkan tidak secara tersirat bertujuan menolak suatu pandangan berdasarkan label atau dari firqah mana pandangan itu dilontarkan, misalnya terus menolak mentah-mentah suatu pandangan yang rajih (diyakini) atas alasan pandangan itu daripada kelompok Wahabi (kadangkadang saya kasihan melihat nasib Muhammad Ibnu Wahab salah seorang pemikir Islam dipersalahkan apabila timbul soal begini) atas perkara-perkara ranting.
Sebaliknya kita harus berlapang dada dan menerima hakikat isu-isu ranting ini boleh berbeza pandangan dan terpulang kepada setiap individu untuk beramal atau tidak selepas meneliti dan berpuas hati dengan hujah yang paling rajih (diyakini).
Sungguh menyedihkan, kita terperangkap dengan isuisu sebegini sekian lama, yang jika tidak diuruskan dengan bijaksana menyebabkan perpecahan serius dalam negara. Isu-isu sedemikian tertegak dengan hujah masing-masing tanpa perlu pihak tertentu menuduh pihak yang tidak bersetuju sebagai kafir atau murtad.
Sebenarnya, mereka yang mudah mengkafir dan melabel inilah yang sebenarnya ekstrem yang jika tidak dikawal boleh menggugat keselamatan awam.
Dalam hal yang sama apa peranan Kerajaan?
Kerajaan hanya perlu memantau supaya ideaidea ini tidak mengganggugugat ketenteraman awam dan sensitiviti perkauman dan pastikan tiada elemen ekstrem seperti menghukum kafir bagi mereka yang berbeza pendapat.
Ini mengingatkan kita tentang sejarah hitam (mihnah) apabila ilmuwan Islam Imam Ahmad Ibnu Hanbal yang hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Ma’mun di bawah kerajaan Abbasiyah diseksa dan dipenjarakan gara-gara tidak bersetuju dan tidak mahu mengakui fahaman Muktazilah yang mengatakan al-Quran itu makhluk. Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa tragis itu berulang kembali.
Pendek kata, kita tidak mahu melihat RUU Mufti ini nanti menambahkan lagi ketegangan dan perpecahan umat Islam. Cadangan saya, supaya prinsip-prinsip ini dapat dimuafakatkan dan dipersetujui dalam menangani isu RUU Mufti ini.
Pertama, mengakui keluasan korpus falsafah dan keilmuwan Islam dengan mengiktiraf cendekiawan Islam yang ratusan tahun diiktiraf oleh dunia Islam termasuk Imam Al Ghazali, Fakhrudin Al Razi, Ibn Taimiyah, Ibn Arabi, Ibn Sina, Al Farabi, Al Kindi, Mulla Sadra dan Ibn Rushd.
Mengakui walapun mereka mempunyai pandangan yang berbeda antara satu sama lain kerana menangani situasi, konteks dan cabaran semasa di zaman mereka, namun ini tidak menidakkan mereka sebagai cendekiawan ulung Islam dalam Falsafah, Kalam dan Tasawuf.
Tidak menjatuhkan hukum kafir dan bersikap ekstrem terhadap mana-mana tokoh tersebut walaupun kita tidak bersetuju dengan pandangan mereka dan mengakui bahawa perbedaan tajam umat Islam selama ratusan tahun sebenarnya adalah pandangan terhadap perkara-perkara khilaf. Jika prinsip-prinsip ini diakui maka kita dapat mengurangkan perselisihan umat Islam dan kesatuan dapat diperlukuhkan dan umat Islam tidak lagi dibuli dan dicabuli seperti yang berlaku di Palestin hari ini.
Kita tidak mahu berlakunya keadaan seperti yang diungkapkan oleh pemikir tersohor negara, Dr. Siddiq Fadzil keadaan di mana “authority of ideas” bertukar menjadi “ïdeas of authority” (kekuasaan idea dan pendapat dalam masyarakat bertukar menjadi penguasa membungkam percambahan idea).-UTUSAN
MOHD Jamizal Zainol adalah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE).










