KETIKA berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya 30 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kecuaian dalam isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bawa pengkhianatan kepada negara.
“Mana ada negara di dunia yang lepaskan kawasan dengan mudah, negara-negara berperang kehilangan ribuan nyawa hanya untuk pertahankan wilayah kecil,” kata beliau sambil mengumumkan keputusan kerajaan membentangkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen.
Kes ini telah berlarutan sekian lama. Akibat kecuaian kali pertama, pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Hasil usaha Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pasukan beliau selepas kerajaan Britain menyahklasifikasi semua dokumen Timur Jauh pada tahun 2016, tiga dokumen telah ditemui di Arkib Negara United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 di mana “fakta baharu” ini telah mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017.
Itu adalah peluang terakhir Malaysia mendapatkan kembali Batu Puteh kerana berdasarkan Artikel 61(5) Statut ICJ yang memperuntukkan bahawa “No application for revision may be made after the lapse of ten years from the date of the judgment”. Tiada mana-mana semakan boleh dibuat selepas 10 tahun keputusan dibuat, iaitu selepas 23 Mei 2018.
Usaha ini dibuat kerana Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar, ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 19 Jun 2008 bertitah: “Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Batu Puteh. Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.”
Ini diikuti oleh titah Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua DUN Johor pada 30 Mei 2014 supaya kerajaan negeri Johor menubuhkan sebuah pasukan khas supaya mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan ICJ berkaitan Batu Puteh sejajar dengan pesanan Almarhum Sultan Iskandar bahawa Batu Puteh adalah hak milik Johor.
Ekoran itu, semakan semula keputusan ICJ ini dijadual dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018 tetapi pentadbiran negara bertukar susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei 2018 menyebabkan Perdana Menteri bertukar tangan dari Datuk Seri Najib Razak ke Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, dua minggu sebelum semakan semula ini dijadual dibicarakan, Dr. Mahathir secara tiba-tiba membuat keputusan untuk menarik balik semakan tersebut sekali gus menyebabkan Malaysia tiada lagi ruang untuk mendapatkan kembali Batu Puteh.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim, yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong, pernah mempersoalkan “Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu?”.
Lanjutan itu, pada 29 Oktober 2021, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Mohamed Apandi bagi menyemak isu ini di mana laporannya mendapati Dr. Mahathir cuai.
Setelah Sultan Ibrahim menjadi Yang di-Pertuan Agong, baginda pada 14 Februari lalu memperkenankan pula penubuhan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ini.
Penubuhan RCI ini adalah penting untuk menjaga maruah dan kedaulatan negara. Sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri, “tiada negara di dunia yang sanggup kehilangan satu inci tanah,” dan tindakan ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memeriksa dan memperbaiki kecuaian yang telah berlaku. Ini adalah satu mesej jelas bahawa kedaulatan negara tidak boleh dipandang enteng dan perlu dipertahankan dengan penuh komitmen.
Kehilangan Batu Puteh kepada Singapura memberi kesan yang signifikan terhadap kedaulatan Malaysia. Ia bukan sahaja mewakili wilayah fizikal tetapi juga simbol kedaulatan negara. Kehilangan kawasan ini merosakkan maruah negara dan membuka ruang kepada persoalan mengenai kelemahan dalam mempertahankan hak wilayah kita.
Dari sudut keselamatan, kedudukan strategik Batu Puteh berhampiran perairan Selat Singapura menjadikan pulau ini penting dalam kawalan laluan maritim yang sibuk malah dalam aspek ketenteraan. Kehilangan kawalan ke atas kawasan ini bermakna Malaysia kehilangan keupayaan untuk memantau dan mengawal salah satu laluan perdagangan paling sibuk di dunia, yang boleh menjejaskan keselamatan maritim dan ekonomi negara.
Dalam isu kehilangan Batu Puteh ini, terdapat keperluan untuk mengkaji tanggungjawab pihak yang terlibat dan menghukum mereka yang bersalah. Tindakan ini adalah untuk memastikan bahawa tiada kecuaian serupa berlaku pada masa depan. Kes ini adalah lebih daripada sekadar kesilapan teknikal; ia melibatkan soal pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan negara.
Penegasan Perdana Menteri mengenai isu ini amat penting dalam konteks sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos. Isu kedaulatan dan kemerdekaan adalah teras kepada identiti nasional Malaysia. Keberanian Perdana Menteri untuk menghadapi isu ini secara terbuka adalah refleksi komitmen beliau terhadap nilai-nilai kemerdekaan dan kedaulatan. – UTUSAN
DATUK Sukri Mohamed adalah Peguamcara dan Peguambela, bekas Ahli Parlimen Kok Lanas dan Machang serta bekas Pengerusi Amanah Raya Berhad (ARB).










