Kontrak sosial perjanjian yang kontroversi?

Kontrak sosial perjanjian yang kontroversi?

BAGI etnik bukan Melayu, kontrak sosial didakwa pincang, justeru ada keperluan mendesak untuk diperbetul kepincangan itu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJANJIAN etnik antara Melayu, Cina dan India pada 1955 sebagai syarat kesepakatan utuh yang dikehendaki penjajah Inggeris untuk kita diberikan kemerdekaan, secara longgarnya lebih dikenali sebagai kontrak sosial. Ia adalah persetujuan tiga etnik ini untuk bekerjasama bagi memerintah sendiri negara ini, selain menentukan destininya.

Kontrak sosial itu merupakan pemberian kerakyatan yang mudah oleh etnik Melayu kepada etnik bukan Melayu. Untuk ini, etnik Cina dan India bersetuju menerima empat perkara, iaitu agama Islam sebagai agama negara ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara, kedudukan istimewa etnik Melayu selaku penduduk asal, selain kedaulatan Raja Melayu sebagai pemerintahan etnik Melayu di bumi mereka sendiri.

Seperkara penting pada apa-apa jua kontrak yang sebenarnya merupakan komitmen ialah semua pihak yang terlibat wajib melunaskan bahagian masing- masing. Bagi etnik Melayu, ia telah lama dilunaskan apabila etnik bukan Melayu diterima sebagai rakyat yang kini sudah menjadi beberapa generasi.

Sebaliknya, bahagian etnik bukan Melayu didapati belum dilunaskan sepenuhnya lagi walaupun sudah hampir 70 tahun persetujuan itu dicapai. Kecuali kedaulatan Raja Melayu, yang lain-lain itu masih tertangguh impasnya yang termanifestasi dalam pelbagai bentuk.

Antaranya termasuklah ketidakcekapan dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Begitu juga dengan ketiadaan pengetahuan asas, apatah kefahaman mendalam tentang agama Islam yang mengawal kesusilaan kebangsaan. Seterusnya kedudukan istimewa etnik Melayu sebagai tuan punya negara ini dipertikai, malah dicabar dengan keras pula.

Sepatutnya setelah mendapat kerakyatan, etnik bukan Melayu bukan sahaja wajib menerima empat perkara yang dipersetuju itu pada lafaznya. Juga mereka wajib melunaskannya melalui tindakan. Inilah sebaik-baik kontrak antara semua pihak yang terbabit.

Namun bukan sahaja ini tidak berlaku. Kontrak sosial itu juga mahu dikaji semula kerana dianggap kontroversi oleh pihak tertentu yang menyuarakan secara terbuka. Dalam pada ini, ia mendapat sokongan padu daripada etnik bukan Melayu dalam bentuk komentar di media sosial yang merupakan cerminan tulen kelakuan masyarakat yang sebenarnya.

Dalam hal ini, kontrak sosial itu yang didakwa telah banyak mengesani etnik bukan Melayu secara negatif, bukan sahaja wajib dirumuskan semula. Juga mungkin dimansuhkan terus, atau sekurang-kurangnya dipinda untuk memberi kebaikan kepada etnik bukan Melayu.

Bagi etnik bukan Melayu, kontrak itu didakwa pincang. Justeru ada keperluan mendesak untuk diperbetul kepincangan itu. Dalam hal ini, perkara yang dikehendaki pembetulannya ialah kesamarataan, iaitu pembahagian sama banyak.

Keadilan, iaitu pemberian setimpal yang merupakan petua pada kontrak itu, bukan sahaja didapati tidak sebanding lagi oleh etnik bukan Melayu. Juga didakwa sebagai berunsur diskriminasi. Oleh itu, ia sangat kontroversi dan wajib diperbetul segera bukan sahaja untuk menghentikan kepincangan yang kononnya wujud itu. Juga bagi melaraskan keadaan yang tidak sama rata itu.

Sehubungan ini, sudah tentu etnik bukan Melayu mahu tiga perkara itu dikaji untuk disamaratakan. Ini kerana bagi mereka, ia berat sebelah dan memihak kepada satu etnik sahaja, selain langsung tidak setara antara etnik. Dengan ini, taraf agama Islam dan bahasa Melayu serta kedudukan istimewa etnik Melayu itu wajib diolah semula untuk bersifat sama rata.

Sebenarnya kerakyatan yang diperoleh oleh etnik bukan Melayu juga kontroversi, malah amat kontroversi sekali. Ini kerana sebagai rakyat setelah sekian lama tertubuhnya negara, masih terdapat etnik bukan Melayu yang tidak menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara. Begitu juga dengan kefahaman yang hampir tiada, malah tiada langsung pada mereka terhadap cara hidup etnik Melayu yang merupakan penduduk asal, selain kelompok majoriti dan dominan di negara ini.

Hal kerakyatan ini sepatutnya ikut dikaji bersekali dengan tiga perkara yang mahu dikaji semula itu. Malah, ini sahaja yang patut dikaji semula dan bukan yang lain-lain itu. Ini kerana ia sangat tidak adil kepada etnik Melayu yang tertipu dengan janji etnik bukan Melayu yang belum terlunas sepenuhnya lagi setelah diberikan kerakyatan pada 1957.

Sebenarnya tindakan etnik bukan Melayu yang mempertikai kontrak sosial itu adalah usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana empat perkara itu termaktub sebagai Perkara 3, 152, 153 dan 181 bagi agama Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa etnik Melayu dan kedaulatan Raja Melayu.

Untuk kerakyatan, ia wujud pada Perkara 14 sehingga 31.

Sebenarnya tiada apa-apa jua yang kontroversi pada kontrak sosial itu.

Sebaliknya, ia adalah seelok-elok perjanjian kepada kelompok bukan asal daripada yang asal. Ini kerana ia bersifat kesalingan yang amat cakna pada setiap perkara itu. Dengan ini, agama, bahasa dan kepentingan sah etnik bukan Melayu ikut diberikan bukan sahaja jaminan, malah konsesi lumayan walaupun mereka hanya baharu mendatangi bumi Melayu-Islam ini dari tempat asing lain. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN