Kembalikan UPSR, PT3 bukan pilihan yang terbaik

Kembalikan UPSR, PT3 bukan pilihan yang terbaik

TIDAK wajar mengembalikan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tatkala sistem pendidikan negara menuju memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECOH di media membahaskan perlunya Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan dalam sistem pendidikan. Dapat dilihat kekecewaan ibu bapa, guru dan juga pihak pengurusan sekolah atau institusi pendidikan setelah peperiksaan awam ini dimansuhkan.

Tetapi berbeza dengan reaksi anak-anak yang lebih gembira dengan kehidupan awal dan pertengahan alam persekolahan yang tidak dibelenggu peperiksaan besar. Namun, mereka tetap diuji di akhir alam persekolahan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Walaupun tiada kedua-dua peperiksaan tersebut tetapi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) berupaya mengukur prestasi pelajar berdasarkan enam Tahap Penguasaan.

Saya berpendapat jika UPSR dan PT3 dikembalikan, ia tidak berupaya untuk membantu menyokong perkembangan holistik pelajar. Perancangan Kementerian Pendidikan sebagaimana yang dinyatakan dalam Kerangka Kurikulum 2027 sangat lestari dengan penekanan terhadap pembentukan karakter pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perancangan ini sudah cantik, relevan dengan kehendak pembelajaran abad ke-21 dan berfokus kepada pembangunan holistik anak-anak, bukan sekadar pembangunan kognitif semata. Ia sejajar Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) mensasarkan untuk melahirkan individu yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi memiliki nilai moral kukuh dan kemahiran berfikir secara kritis.

Walaupun spesifikasi peperiksaan ada dimasukkan domain kognitif analisis dan menilai, tetapi adakah ia berupaya untuk mentaksir pembentukan karakter pelajar yang sebenarnya? Ini boleh menjejaskan tujuan sebenar pendidikan, iaitu untuk memupuk pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Selain itu, peperiksaan ini turut menyumbang kepada tahap tekanan yang tinggi dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru. Tekanan ini boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan kesejahteraan keseluruhan pelajar.

Kita perlu melihat bukti daripada amalan antarabangsa seperti Finland, New York dan Singapura. Finland terkenal dengan sistem pendidikan yang menumpukan pembangunan holistik daripada ujian berisiko tinggi seperti peperiksaan besar awam. Penekanannya pada penilaian formatif dan maklum balas berterusan, yang membawa kepuasan pelajar dan kejayaan akademik yang cemerlang.

Di New York pula, beberapa sekolah mengamalkan penilaian portfolio, dengan pelajar mengumpulkan koleksi kerja sepanjang tahun. Kaedah ini membolehkan penilaian dan pentaksiran menyeluruh terhadap kemajuan serta kebolehan pelajar, melebihi ukuran peperiksaan tradisional.

Manakala Singapura pula, dahulunya dikenali dengan sistem peperiksaan yang ketat, sudah bergerak ke arah pendekatan lebih seimbang. Bermula 2023, mereka menggabungkan pentaksiran berterusan untuk menilai pemahaman dan kebolehan pelajar sepanjang tahun. Dengan itu, pelajar lebih menumpukan perhatian pada pembelajaran dan kurang penekanan terhadap markah peperiksaan.

Langkah itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengambil bahagian dalam pembelajaran kendiri dan membangunkan kompetensi abad ke-21. Perubahan ini membolehkan pelajar belajar secara holistik, didorong motivasi intrinsik dan mengurangkan kebimbangan terhadap perbandingan di antara diri mereka dengan orang lain.

Pentaksiran berasaskan sekolah mempunyai banyak kelebihan. Corak pembelajarannya lebih individual, bersesuaian dengan keperluan dan kekuatan unik setiap pelajar.

Maklum balas yang berterusan daripada guru dapat membantu pelajar memperbaiki dan berkembang secara langsung, tanpa perlu menunggu peperiksaan akhir untuk menentukan kemajuan mereka. Secara idealnya, pentaksiran ini mengambil kira pelbagai aspek perkembangan pelajar, termasuk penglibatan, usaha dan peningkatan, mampu memberikan gambaran lebih menyeluruh tentang kemampuan mereka.

PERKEMAS SISTEM
Apa yang perlu adalah untuk meningkat dan memperkemaskan sistem pentaksiran berasaskan sekolah sedia ada. Keluhan pelbagai pihak perlu didengari dan diselami.

Sistemnya cantik tetapi pelaksanaannya masih banyak kelompongan. Bukan salah guru jika mereka tidak berupaya untuk mentaksir dan memberi penerangan yang boleh memuaskan hati ibu bapa berkenaan tahap penguasaan anak-anak. Bagi ibu bapa, lebih mudah memahami gred yang dicapai daripada memahami tahap penguasaan anak-anak yang dilihat lebih subjektif.

Oleh itu, pertama, perlunya melabur dalam pembangunan profesional guru untuk melaksanakan dan menilai pentaksiran berasaskan sekolah dengan berkesan. Ini bagi memastikan konsistensi dan kebolehpercayaan dalam menilai prestasi pelajar.

Pihak Kementerian Pendidikan menyediakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi setiap mata pelajaran untuk semua peringkat pelajar. Namun, guru-guru masih ada yang sukar untuk mentaksirkan tahap penguasaan pelajar. Ini bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan lebih banyak pemerhatian yang berterusan bagi menilai penguasaan seseorang pelajar. Guru-guru juga perlu dilatih bagaimana menulis maklum balas bagi melaporkan penguasaan dan pencapaian pelajar.

Kedua, Kementerian Pendidikan dan sekolah perlu menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan untuk melaksanakan strategi pentaksiran yang lebih berkesan, termasuk peralatan teknologi atau perisian bagi menjejaki kemajuan pelajar selain memberi maklum balas. Contohnya, portfolio digital yang boleh menjejaki kemajuan pelajar dari masa ke masa dan berupaya menyediakan asas yang lebih objektif untuk penilaian yang berterusan.

Mengintegrasikan teknologi seperti sistem pengurusan pembelajaran (LMS) dan alat penilaian digital bagi mengurangkan masa yang dihabiskan untuk tugas pentadbiran serta penilaian manual.

Ketiga, perlunya mengurangkan bebanan kerja pentadbiran yang sering kali dilakukan oleh guru dengan menyediakan lebih banyak sokongan pentadbiran atau pembantu. Ini adalah isu yang sering kali diluahkan golongan pendidik. Bebanan kerja pentadbiran ini mengganggu mereka untuk fokusk pengajaran dan pentaksiran pelajar.

Keempat, untuk memastikan guru-guru boleh berkhidmat dengan lebih cemerlang, sangat perlu untuk menyediakan sokongan emosi dan mental bagi membantu menguruskan tekanan kerja mahupun mengekalkan kesejahteraan.

Dengan langkah-langkah ini, guru berupaya untuk lebih fokus kepada tugas utama iaitu mendidik, menilai dan mentaksir tahap penguasaan pelajar dengan lebih efektif.

Perlu diingatkan FPK bertujuan melahirkan individu yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi memiliki nilai moral yang kukuh dan kemahiran berfikir secara kritis.

Oleh itu, penilaian harus mengukur pelbagai kompetensi, termasuk domain kognitif, afektif dan psikomotor.

Jadi, adalah tidak wajar untuk mengembalikan UPSR dan PT3 tatkala sistem pendidikan kita telah bergerak ke hadapan demi memenuhi aspirasi FPK.

Kesimpulannya, perkukuhkan sistem sedia ada dan pastikan Kurikulum 2027 di landasan yang tepat bagi memfokuskan kepada pembentukan karakter pelajar.-UTUSAN

DR. Puteri Azlian Megat Ramli ialah Timbalan Pengarah, Pusat Pengukuran, Pentaksiran dan Ujian, Kulliyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini