Jawatankuasa syariah penting kawal selia kewangan Islam

Jawatankuasa syariah penting kawal selia kewangan Islam

JIKA dilihat, penubuhan Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dapat memperkukuh kawal selia dan tatakelola kewangan Islam ke tahap tertinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA  mencapai kejayaan besar dalam industri kewangan Islam, dengan penubuhan Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang memperkukuhkan kawal selia syariah di sektor kewangan. Kejayaan ini mencerminkan komitmen penuh kerajaan untuk memperkasakan kewangan Islam di peringkat domestik dan global.

Namun begitu, di peringkat kerajaan masih belum ada MPS yang khusus untuk mengawal selia tatakelola kewangan Islam bagi memastikan semua transaksi kewangan adalah patuh syariah. 

Jika hendak diharapkan kepada MPS BNM dan SC, kedua-dua institusi ini hanya bertanggungjawab untuk memberi nasihat, memantau, menyelaraskan, menguatkuat kuasa serta mengawal selia aktiviti perbankan, takaful dan pasaran modal di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Bank Negara Malaysia 2009. MPS tidak memantau aktiviti kewangan dan urusan harian yang dilaksanakan oleh kerajaan. 

Meskipun terdapat Majlis Pimpinan Kewangan Islam Malaysia (MLC) yang menggantikan peranan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam yang ditubuhkan pada 2019, fungsinya adalah terhad kepada pembangunan strategik, kerjasama antarabangsa dan meletakkan Malaysia sebagai pusat utama kewangan Islam dunia. Badan ini tidak berfungsi sebagai badan pemantau pematuhan syariah bagi urusan kewangan kerajaan. 

Sayang sekali MLC tidak mengembang dan memperluaskan fungsinya untuk melulus, memantau serta mengaudit transaksi kewangan Islam yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan. Jika hendak diperluaskan fungsinya, sudah tentu majlis ini perlu dipimpin oleh seseorang yang mempunyai minda syariah dan syariahprenur berkebolehan untuk meluluskan mahupun memantau urusan kewangan kerajaan. 

 

PENGAMALAN SISTEM KEWANGAN KONVENSIONAL 

Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Kewangan menggunakan instrumen sukuk dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang dilaksanakan berasaskan kepada prinsip syariah. Namun, pelaksanaan sistem kewangan dalam kerajaan berasaskan kepada syariah masih tidak menyeluruh. Terdapat beberapa pinjaman yang disalurkan kepada agensi dan syarikat berkaitan kerajaan masih dilaksanakan secara konvensional.

Jabatan Perakaunan Negara Malaysia (JANM) memainkan peranan penting dalam mengurus rekod dan perakaunan bagi kerajaan masih menggunakan sistem perakaunan yang berasaskan kepada standard konvensional. Peralihan kepada sistem perakaunan Islam yang mengutamakan nilai keadilan dan ketelusan berdasarkan prinsip syariah penting bagi memastikan semua transaksi serta pelaburan kerajaan dapat diaudit secara efektif dari perspektif syariah. 

Walaupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan institusi penting dalam perlindungan sosial, ia masih menggunakan model insurans konvensional yang bertentangan dengan prinsip kewangan Islam. Model insurans konvensional sering melibatkan unsur riba dan gharar (ketidakpastian), yang dilarang dalam Islam. Sehingga kini, tiada usaha yang jelas untuk menukarkan model ini kepada model takaful, yang berdasarkan prinsip Syariah, di mana risiko dikongsi secara adil antara peserta.

Perubahan kepada model takaful bukan sahaja akan menyelaraskan Perkeso dengan kehendak syariah, tetapi juga akan meningkatkan keyakinan masyarakat Islam terhadap program perlindungan sosial yang dilaksanakan kerajaan. Langkah ini akan memberi impak positif kepada imej Malaysia sebagai pusat kewangan Islam global.

Pinjaman kredit komuniti yang dipantau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sering digunakan oleh golongan berpendapatan rendah, termasuk umat Islam masih tidak dilaksanakan secara syariah. Ini amat membimbangkan kerana ramai peminjam Islam yang mengharapkan pinjaman mereka bebas daripada riba dan unsur-unsur yang dilarang dalam agama.

Walaupun menggunakan instrumen kewangan Islam, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) masih menggunakan instrumen Bay Bithaman Ajil (BBA), instrumen yang kontroversi yang sudah lama ditinggalkan oleh industri perbankan Islam. Masih tiada jawatankuasa syariah yang memantau semua transaksi dilaksanakan LPPSA. Penerima pembiayaan yang beragama Islam sudah tentu mengharapkan pinjaman atau pembiayaan perumahan mereka mestilah mematuhi syariah.

Terdapat ura-ura mengenai penggubalan Akta Sewa-Beli Secara Islam yang bertujuan untuk memastikan ia patuh syariah, tetapi usaha ini masih belum jelas akan direalisasikan dalam masa terdekat. Sewa beli konvensional sering melibatkan unsur riba, yang bertentangan dengan ajaran Islam. Penggubalan undang-undang ini amat diperlukan bagi melindungi pengguna Islam dan memastikan transaksi kewangan selaras dengan prinsip syariah.

 

INISIATIF AGENSI KERAJAAN

Beberapa agensi kerajaan terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk menubuhkan jawatankuasa syariah.

Ada pandangan yang mengatakan kerajaan tidak memerlukan jawatankuasa syariah kerana agensi-agensi kerajaan boleh menubuhkannya sendiri. Sebagai contoh, TEKUN Nasional (Tekun) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menubuhkan jawatankuasa syariah mereka tersendiri. 

Namun, tiada badan atau jawatankuasa pusat di peringkat kerajaan yang meluluskan, mengawal selia, memantau, dan mengaudit aktiviti jawatankuasa syariah bagi setiap agensi kerajaan dan transaksi kewangan seperti mana MPS BNM dan SC melaksanakan kawal selia terhadap jawatankuasa syariah di institusi perbankan, takaful dan pasaran modal agar patuh kepada prinsip syariah. 

Kerajaan  juga belum mempunyai pelan induk yang jelas tentang pelaksanaan sistem kewangan Islam dalam urusan kewangan harian. Pelan Induk Kewangan Islam yang sedia ada adalah hanya untuk memperkasakan sistem kewangan Islam di peringkat perbankan Islam, takaful dan pasaran modal, bukannya untuk memastikan urusan kewangan di peringkat kerajaan patuh syariah. Pelan induk ini penting untuk merangka gerak kerja yang bersepadu bagi memastikan semua transaksi kewangan kerajaan mematuhi prinsip syariah.

 

KEPERLUAN JAWATANKUASA SYARIAH PUSAT

Oleh itu, penubuhan jawatankuasa syariah di peringkat kerajaan sangat diperlukan. Jawatankuasa ini bukan sahaja akan meluluskan dan memantau semua transaksi kewangan kerajaan, tetapi juga memastikan pinjaman, pelaburan, dan perolehan mematuhi prinsip Islam.

Jawatankuasa ini juga boleh berperanan sebagai penasihat utama dalam merangka dasar kewangan Islam untuk kerajaan. Dasar yang dirangka haruslah memastikan bahawa setiap langkah kewangan yang diambil kerajaan berlandaskan prinsip keadilan ketelusan, dan akauntabiliti seperti yang dianjurkan dalam Islam.

Penubuhan jawatankuasa syariah juga boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu Malaysia merangka strategi kewangan Islam yang lebih mapan dan inovatif. Ini termasuk memperkenalkan instrumen kewangan Islam baharu yang sesuai untuk digunakan dalam sektor kerajaan, menggalakkan pelaburan patuh syariah dalam projek infrastruktur negara dan memastikan segala aspek pengurusan perolehan, pembayaran dan pembiayaan kerajaan selari dengan prinsip-prinsip Islam. 

Justeru itu, penubuhan jawatankuasa syariah di peringkat kerajaan adalah langkah penting untuk memperkasakan kewangan Islam di Malaysia. Ia bukan sahaja memastikan semua transaksi kewangan kerajaan mematuhi prinsip syariah tetapi juga menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam arena kewangan Islam global. 

Jawatankuasa ini akan memastikan integriti, ketelusan dan keberkesanan dalam pengurusan kewangan kerajaan sesuai dengan misi Ekonomi Madani seterusnya akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri kewangan Islam.-UTUSAN

 

DR. Shahrul Azman Abd. Razak ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

DR. Razli Ramli ialah Ketua Strategi & Pengurusan Risiko,  Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN