JATI diri adalah sesuatu yang dikaitkan dengan moral dan maruah. Tentang sifat atau ciri dari segi adat, bahasa, budaya, agama bagi diri seseorang atau bangsa dan negara. Justeru, mengutamakan pemeliharaan jati diri bukan sekadar ‘wajar’, tetapi ‘perlu’, demi menzahirkan nilai keperibadian hebat, terpuji, bersifat mulia, kental dan kuat.
Malaysia memiliki banyak aspek yang unik dan tersendiri. Sejarah latar belakangnya menceritakan pelbagai butiran yang menggambarkan ciri-ciri jati diri yang menarik. Asas kenegaraan menyusun-atur kedudukan bangsa pribumi, hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi serta letak duduknya kedaulatan Raja-Raja Melayu. Semuanya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ramai yang semakin tampil memperkata dan mempersoalkan semula tentang di mana beradanya jati diri negara Malaysia ketika ini, sebagaimana yang sepatutnya dizahirkan dan dipamerkan kepada umum. Contohnya secara mudah, kalau di sana sini kelihatan papan-papan tanda dilebihkan tulisan selain dari bahasa kebangsaan, di mana lagi jati diri rakyat Malaysia dari aspek penggunaan bahasa?
Begitu juga kalau malu segan untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan baik dalam pertuturan di khalayak biasa mahupun dalam majlis-majlis rasmi, identiti apa lagi yang mudah dipamerkan kepada umum tentang ‘kita dan jati diri kita terhadap bahasa rasmi kita’ di negara ini? Siapa lagi yang sepatutnya bertanggungjawab memperluaskan pertuturan bahasa kebangsaan kalau tidak kita sebagai rakyat? Siapa yang boleh dipersalahkan jika anak atau cucu seawal usia tiga atau empat tahun tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan gara-gara ‘terlekat’ dengan gajet di tangan sepanjang hari?
Baru-baru ini terdapat kenyataan bahawa ada pihak menolak penyelarasan silibus bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular. Lalu, ramai pula yang memberi respon dengan mempersoalkan tentang kewajaran tindakan demikian oleh pihak berkenaan. Selain kedudukannnya sebagai ‘bahasa rasmi negara’, sedia maklum bahawa salah satu asas perpaduan adalah melalui bahasa. Hakikat ini sepatutnya dapat diterima oleh semua pihak tanpa elemen sangsi dan ragu.
Di akhir-akhir ini terdapat drama-drama bersiri di televisyen yang tajuknya Inggeris, tetapi ceritanya Melayu. Belum disentuh lagi soal jalan cerita yang dianggap tidak begitu sesuai diketengahkan, iaitu boleh mengambarkan ‘kepincangan moral’ yang ‘agak keterlaluan’ khususnya bagi masyarakat Melayu…misalnya seorang ibu saudara mahu menggoda anak saudara lelaki dengan bersungguh-sungguh, lantaran ‘terpikat’ kerana sebelum ini tidak pernah berjumpa. Malah, banyak lagi jalan cerita yang tidak mencerminkan budaya hidup sebenar atau lazim khususnya bagi masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.
Manakala, terdapat pengacara bagi sesetengah program televisyen secara terikat dengan penggunaan sebutan “hai guys atau hello guys…!”. Dan terus-terusan ada pengacara bagi program personaliti televisyen menggunakan bahasa “ko rang…” (bagi ganti diri ‘anda’). Sesuaikah bahasa begini digunakan bagi menggambarkan jati diri sebenar masyarakat kita?
Seorang artis yang berambut panjang membuat persembahan di kaca televisyen sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara…apabila diajukan teguran kepada pihak atasan di stesen televisyen berkenaan, mereka menjawab: “Tak mengapalah….ada kala kita perlu ikut trend, minat anak-anak muda. Kalau dikongkong sangat, nanti tak sporting…”. Wajarkah dengan jawapan itu?
Kalangan pencinta seni dan budaya ada juga tertanya-tanya, “ke mana perginya persembahan kesenian Melayu seperti tarian-tarian Melayu? …joget, zapin, dondang sayang, ulik mayang, canggung? Kalau mahu menonton persembahan-persembahan Mak Yong, Wayang Kulit, Menora di Kelantan bagaimana? Dulu pernah ada persembahan di Gelanggang Seni di Kota Bharu setiap hujung minggu. Sekarang Gelanggang Seni sudah tiada fungsi. Persembahan Dikir Barat pun sudah jarang kedengaran atau boleh ditonton.
Sedangkan, persembahan-persembahan seni budaya bukan sahaja membawa hiburan, namun boleh diselitkan dengan pelbagai mesej dan pengajaran kepada masyarakat. Sehingga ada pihak mengaitkan persembahan seni budaya boleh dijadikan sebagai wadah membentuk nilai-nilai peradaban, akhlak dan pembinaan jati diri bangsa. Jadi, kenapa perlu dikesampingkan unsur-unsur seni budaya dalam kehidupan harian? Apa peranan pihak jabatan atau kementerian berkenaan?
Syiar Islam berkembang maju dan segar di Malaysia. Dunia luar khususnya dunia Arab mengakui kenyataan ini. Terus boleh dianggap ini sebagai satu lagi unsur jati diri atau identiti negara. Sejak sekian lama umat Islam dapat menunaikan ibadah dan amalan cara hidup Islam tanpa terganggu dan terhalang. Ada usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam sebagai nilai universal yang oleh diterima dan diamalkan oleh semua kaum atas semangat demi kebaikan bersama. Sementara, hal-hal mengenai hukum hakam dan halal haram tetap tiada kompromi.
Justeru, isu mengenai tindakan mewajibkan ‘penglabelan’ tanda halal pada produk makanan dan di kedai-kedai makan tidak perlu di polemik dan dipersoalkan. Apa yang merumitkan sangat tentang isu ini? Kalau itu merupakan suatu peraturan dan demi kebaikan…ikut sahajalah! Kalau di Beijing, China, misalnya, di mana terdapat restoran yang penuh berlampu hijau itu tandanya restoran muslim dan berstatus ‘halal’.
Konsep jati diri juga boleh dikaitkan dengan semangat kemerdekaan. Sesuai dengan damai indah yang menyentuh perasaan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air Ogos yang baru berlalu, elok diterjemahkan segala sesuatu yang terbaik bagi kehidupan di Malaysia sebagai nilai jati diri dan identiti tersendiri. Ini termasuk elak menciplak ciri-ciri budaya luar, merdekakan peribadi dari bersikap sombong dan suka memecah-belah, bina semangat sayangkan negara serta meletakkan semangat mhu membina kehidupan berkualiti.
Siapa kita adalah sikap dan tingkah laku serta cara hidup kita. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










