SETIAP tahun di bulan Ogos, tepatnya 31 Ogos, rakyat Malaysia merayakan hari kemerdekaan. Di setiap pelosok negeri, Jalur Gemilang berkibar dan menunjukkan kemegahannya, menjadi kebanggaan bagi seluruh rakyat negara ini.
Dua minggu sebelumnya, pada 17 Ogos, rakyat Indonesia merayakan hari kemerdekaannya. Dirayakan oleh seluruh rakyat dari pelosok nusantara dengan menghadirkan benderanya, Merah Putih.
Muncul pertanyaan, mengapa kemerdekaan Malaysia dan Indonesia berkaitan dan benderanya juga hampir serupa? Adakah ia kerana hubungan di antara keduanya? Adakah wujud gerakan dan bagaimana ia boleh wujud?
Sebagai seorang sarjana yang memberi perhatian pada politik Malaysia dan Indonesia serta bagaimana hubungan kedua negara ini, penting bagi kita untuk memahami sejarah hari kemerdekaan Malaysia-Indonesia.
Dalam rencana ini, diplomasi Jalur Gemilang menjadi asas penting dalam sejarah. Benar bahawa nama Jalur Gemilang Malaysia diajukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada malam 31 Ogos 1997 sempena peringatan Hari Kemerdekaan ke-40 Malaysia.
Jalur menggambarkan bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Jalur pada bendera Malaysia ini menggambarkan satu haluan yang lurus, arah tujuan yang sama yang diikuti oleh seluruh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah menuju kegemilangan bangsa dan negara.
Gemilang bererti bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Kerana itu, Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi kehidupan baik di dalam mahupun di luar negera.
GERAKAN NASIONALISME
Perkara pertama yang perlu disoroti adalah memahami dan hubung kait persoalan nasionalisme dan Islam, terutama yang melahirkan Jalur Gemilang. Sejarah mengajarkan kepada kita bahawa dua kekuatan sosial ini yang membentuk corak politik Malaya banyak dipengaruhi oleh gerakan nasionalisme dan Islam di Indonesia.
Baik nasionalisme mahupun Islam yang dipengaruhi Indonesia itu telah melahirkan sikap radikal yang anti penjajahan kepada organisasi intelektual dalam pemimpin parti politik di Malaya. Satu keadaan politik yang mengedepankan aksi, asas dan ingin mengubah pemerintah yang berkuasa.
Madrasah mahupun pondok, sekolah atau maktab perguruan yang banyak terpengaruh gerakan kebangsaan di Indonesia merupakan asal-usul lahirnya sikap radikal ini. Dua institusi inilah yang banyak menyumbang transformasi politik (radikal) Indonesia ke Malaya.
Antara institusi pendidikan yang paling berpengaruh serta menjadi pusat intelektual dan sastera di Malaya adalah Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) (Dikenali Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim, Perak.
‘Banjir’nya buku, majalah mahupun surat khabar antaranya Persatuan Indonesia, Pewarta Deli, Pertja Selatan, Pedoman Masyarakat, Fikiran Rakyat, Soeloe Rakyat Indonesia, Semangat Islam, Seruan Al-Azhar, Bintang Timur dan Bintang Hindia, yang menceritakan perjuangan kebangsaan di Indonesia ke SITC merupakan fenomena penting yang membuka fikiran pelajar dan guru di SITC dalam memupuk kesedaran berbangsa.
Atas usaha Ibrahim Yaacob, SITC menubuhkan cawangan pertubuhan politik yang dikenali nasionalis radikal dari Indonesia iaitu Parti Nasional Indonesia (PNI) pada 1928. Kehadiran dan pengaruh PNI di SITC sebagaimana dikatakan oleh Radin Sunarno, telah memberikan gejala politik revolusioner ke Malaya. Hal ini kerana motonya akan membawa kemerdekaan Malaya yang nantinya akan menggabungkan diri dengan Indonesia.
Berdirinya PNI di SITC tidak terlepas dari pengaruh Abdul Hadi Hassan. Beliau merupakan seorang guru sejarah di SITC lepasan Maktab Melayu Melaka. Beliau banyak membantu membuka pemikiran pelajar di SITC, khususnya Ibrahim Yaacob. Melalui beliau pula nasionalis Indonesia dikembangkan dengan mendirikan PNI di SITC. Hal ini tidaklah menghairankan sebab Cikgu Abdul Hadi merupakan ‘agen nasionalis’ Indonesia ke Malaya, khasnya ke SITC.
Di samping itu, beliau juga merupakan ‘agen reformasi’ kerana menjual dan mengedar buku-buku yang membangkitkan semangat nasional Indonesia melalui kedai buku miliknya, AMHY Book Store & Co. Buku-buku karangan aktivis PNI, Dr. A. Rivai, antaranya berjudul Student Indonesia, yang dilarang oleh Belanda di Indonesia, dijual dan diedarkan melalui kedai buku ini.
Pendirian cawangan PNI di SITC oleh Ibrahim Yaacob, sebagaimana dikatakan oleh Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, perlu dikaji lebih mendalam. Namun demikian keberadaan PNI di SITC telah membawa ideologi nasionalisme PNI iaitu Kesatuan Nasional, Solidaritas, Non Kooperasi dan Swadaya, dalam gerakan aktivitas nasional di Malaya. Dan ideologi nasional PNI kemudian menjadi pegangan aktiviti pemimpin politik radikal di Malaya dan menjadi ciri khas dari gerakan nasionalis radikal di Malaya.
Banyak alumni dari SITC yang kemudiannya aktif di bidang politik, sastera, perguruan mahupun pentadbiran. Ibrahim sendiri bahkan menubuhkan dan mengetuai Kesatuan Melayu Merdeka (KMM) pada 1937 yang merupakan gerakan radikal di Malaya yang didukung kuat oleh pemuda dan pelajar dari Sekolah Teknik di Kuala Lumpur dan Sekolah Pertanian, Serdang, seperti Onan Siraj dan Mustapha Hussein.
KMM juga didukung oleh aktivis pemuda lainnya seperti Hassan Manan, A. Karim Rasyid dan Isa Mohammad, yang sejak 1929 sudah mengikuti PNI yang dipimpin oleh Ir. Soekarno dan Muhammad Hatta.
Menurut Mustapha Hussein, nama KKM diambil dari Pergerakan Jong Sumatran .
Tujuan KKM, di samping menuntut Malaya merdeka dengan jalan ‘tanpa kerjasama’, juga ingin mempersatukan Malaya kepada satu ikatan Indonesia Raya dengan mencontohi aktivis dan pergerakan Indonesia.
Demikianlah sejarah nasionalisme Jalur Gemilang dari sisi diplomasi pergerakan sejarah Malaysia-Indonesia yang perlu dikuatkan untuk selalu bersama dan mendukung satu sama lain. – UTUSAN
DR. Warjio adalah Pensyarah Bidang Politik, Universitas Sumatera Utara (USU), Medan dan Pengarah Pusat Jaringan Analisis Politik Malaysia-Indonesia (CPAMIN).










