Adakah kaedah banteras ajaran sesat berkesan?

Adakah kaedah banteras ajaran sesat berkesan?

SUATU pendekatan komprehensif perlu dipergiat dan dilaksanakan supaya pihak berkuasa boleh menangani ancaman ajaran sesat secara lebih efektif di masa hadapan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini Malaysia dikejutkan dengan pelbagai kumpulan ajaran sesat yang semakin tersebar dan berjaya mempengaruhi sebahagian kecil umat Islam di negara ini. Pada 2024 sahaja pihak berkuasa telah berjaya menjalankan operasi tangkapan melibatkan kumpulan ajaran Millah Abraham.

Malah terdapat golongan profesional yang turut terlibat menyertai kumpulan ini berdasarkan hasil tangkapan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sehingga kini, Malaysia berjaya memelihara kesejahteraan agama Islam dengan baik dan umat Islam di Malaysia bebas beribadah dengan selamat tanpa sebarang ancaman, namun terdapat segelintir golongan fundamental mengambil kesempatan dengan mewujudkan ajaran-ajaran baharu mengikut fahaman sendiri.

Pelbagai kumpulan ajaran sesat yang pernah muncul di Malaysia seperti ajaran Ayah Pin, Al-Maunah, Al-Arqam, ajaran Haji Kahar, ajaran Tuhan Harun, ajaran The Ahmadi Religion Of Peace and Light, dan ajaran Si Hulk. Berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lebih 150 kumpulan ajaran sesat telah diwartakan haram di Malaysia sejak tahun 1950. Ini menunjukkan ancaman ajaran sesat di Malaysia benar-benar wujud dan berupaya mengganggu gugat keselamatan negara.

Dalam menilai kesahihan sesuatu fahaman atau ajaran berteraskan agama Islam adalah menjadi tanggungjawab utama badan yang bertanggungjawab terhadap agama Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Penguatkuasaan Agama Islam Negeri.

Ia selaras dengan fungsinya untuk mengekalkan ketertiban dan keharmonian masyarakat Islam melalui pelaksanaan undang-undang, pemantauan, penguatkuasaan serta peraturan yang berpandukan syariat Islam yang betul dan tidak menyimpang daripada ajaran Islam yang berteraskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas berpandukan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah serta mematuhi Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Persoalannya, adakah dengan kaedah membuat penangkapan sesuatu kumpulan ajaran sesat yang sudah tersebar luas dan terkenal sudah memadai. Hampir kesemua tangkapan berkaitan kumpulan ajaran sesat telah berjaya mengumpul pengikut yang ramai sebelum ia disekat atau diambil tindakan.

Sekiranya senario ini tidak diperhalusi dengan mendalam, ia akan menjadi beban kepada pihak berkuasa untuk mengekang penyebaran fahaman ini pada masa akan datang kerana penyebaran sesuatu fahaman sesat ini telah tersebar secara meluas melalui ahli-ahlinya.

Kebanyakan pengikut kumpulan ajaran sesat menjadikan ketua ajaran sebagai elemen ketuhanan serta mempercayai semua arahan dan perbuatan ketua seumpama perbuatan tuhan. Ini menyimpang dengan ajaran Islam yang sebenar.

Kebanyakan fundamental ajaran sesat berkisar kepada pemahaman dan kepercayaan menjurus kepada meyakinkan pengikut dengan fundamental tertentu seperti mengubah syariat Islam, mengaku sebagai nabi, menghalalkan perkara haram, menolak al-Quran dan sunnah serta mencipta ilmu-ilmu kerahsiaan atau perkara tersembunyi akhir zaman sebagai kaedah menarik perhatian masyarakat awam menyertai mereka. Ajaran-ajaran ini bertentangan dengan prinsip-prinsip asas dalam Islam dan boleh membawa kepada kesesatan, kerosakan akidah, dan kehancuran masyarakat.

Fundamental sebegini mudah diterima oleh seseorang kerana kurangnya pengetahuan asas tentang agama. Kekeliruan dalam memahami konsep asas Islam, seperti tauhid, syariat, dan akhlak, boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke dalam ajaran sesat. Namun kesemua fundamental ini digunakan oleh kumpulan ajaran sesat untuk memutarbelitkan atau menyembunyikan ajaran sebenar mereka di peringkat awal, supaya pengikut tidak menyedari mereka sedang terlibat dengan ajaran yang salah.

Malah, personaliti pemimpin yang karismatik juga mendorong kepada daya tarikan utama mempengaruhi seseorang menerima ajaran sesat tertentu. Kelebihan sebegini digunakan oleh pemimpin ajaran sesat untuk memperdayakan pengikut supaya taat dan tidak mempertikaikan setiap ajaran yang disampaikan. Pemimpin ajaran sesat juga sering menawarkan janji palsu sebagai habuan apabila menyertai ajarannya seperti memberi jaminan keselamatan akhirat dan kebahagiaan dunia yang cepat untuk memikat individu yang sedang mencari jalan keluar dari masalah dan cara hidup beragama.

Pemantauan yang teliti ke atas golongan fundamental agama perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mencegah penularan ajaran sesat atau fahaman yang salah dalam agama. Dengan melalui proses tapisan dan pemantauan berkala, ia akan memudahkan pihak berkuasa mengenalpasti bibit-bibit penyebaran ajaran yang bertentangan dengan agama.

Pihak berkuasa juga sewajarnya menambah baik syarat pentauliahan kepada semua pengajar agama supaya sebarang penyelewengan dalam mengajar agama dapat dikekang dari peringkat awal lagi sebelum ia berkembang dan berjaya mempengaruhi ramai pengikut.

Kemunculan ajaran sesat telah memberi impak negatif kepada masyarakat dan negara sehinggakan berlakunya perpecahan dalam masyarakat dan menyebabkan ketidakstabilan sosial akibat tidak sehaluan dari segi pandangan fahaman. Terdapat ramai pemimpin ajaran sesat menggunakan pengaruh mereka untuk mengeksploitasi pengikut dari segi kewangan, fizikal, dan emosi.

Terdapat juga pengikut ajaran sesat dipergunakan oleh pemimpin melampaui norma kemanusiaan seumpama penghambaan moden. Malah terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat mempunyai agenda politik atau ekstremis yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara. Ini termasuk ajaran yang menggalakkan keganasan atau pemberontakan terhadap pemerintah seperti beberapa kes terdahulu melibatkan kes ajaran Al-Maunah dan ajaran Tuhan Harun. Kesemua implikasi ini menjelaskan isu ajaran sesat ini sewajarnya ditangani dengan lebih serius.

Suatu pendekatan komprehensif perlu dipergiat dan dilaksanakan supaya pihak berkuasa boleh menangani ancaman ajaran sesat secara lebih efektif di masa hadapan. Bagi mengekang sesuatu ajaran sesat mempengaruhi pemikiran masyarakat Islam ia perlulah bermula dengan pengukuhan akidah. Dengan memperbanyakkan ceramah-ceramah, aktiviti agama dan modul pelajaran berteraskan pengukuhan akidah kepada masyarakat ia berupaya untuk memastikan umat Islam tetap teguh dalam keimanan dan tidak mudah terpengaruh oleh ajaran sesat atau fahaman yang menyeleweng.

Undang-undang syariah yang sedia ada perlu dipinda dan dikemaskini bagi menangani cabaran-cabaran baharu yang timbul berkaitan dengan ajaran sesat. Ini termasuk mengukuhkan peruntukan undang-undang berkaitan penyebaran ajaran sesat, serta menetapkan hukuman yang lebih berat bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti sedemikian.

Penguatkuasaan undang-undang syariah harus dilakukan dengan lebih tegas dan konsisten. Ini termasuk kerjasama antara semua agensi dengan pihak berkuasa agama untuk memastikan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran ajaran sesat. – UTUSAN

ANAS SHAZNI SHAFIE ialah pelajar PhD Pengajian Strategik Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN