Mpox, dulu dikenali sebagai monkeypox adalah disebabkan oleh virus cacar genus Orthopoxvirus. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu clade I (jenis lebih parah, di mana kadar kematian 0.1 peratus sehingga 10 peratus ) dan clade II (kurang parah dan hampir 99.9 peratus pesakit sembuh). Mpox awalnya dikatakan merebak dari haiwan liar (bushmeat) yang dimakan oleh penduduk di Afrika yang duduk di pinggir hutan Congo.
Dikatakan berasal dari jenis tetikus (rodents) dan menggunakan monyet (primate) sebagai haiwan untuk virus ini mereplikasi dan membiak. Apabila manusia memakan haiwan ini, virus ini merebak pula ke manusia.
Setakat ini, haiwan terinfeksi virus ini berada di Afrika dan belum dari negara luar. Masa inkubasi antara enam hingga 21 hari lamanya. Golongan yang berkontak dengan haiwan terinfeksi ialah mereka yang makan daging haiwan, peladang dan penternak haiwan.
Cara jangkitan mpox
Setakat Jun 2024, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sudah 116 negara terjejas dengan 97,745 kes melalui ujian makmal, dan 116 kematian. Mpox berjangkit melalui sentuhan langsung.
Ia menjangkit daripada air lelehan daripada kulit terbuka yang mempunyai luka dan boleh menjangkiti orang lain melalui hubungan seks. Virus ini pernah dikesan di dalam air mani (semen lelaki) dan rembesan cecair dari cecair pernafasan mereka yang diinfeksi.
Ia juga boleh berjangkit kepada golongan yang mempunyai kontak langsung sentuhan dengan orang lain yang terjangkit virus mpox ini, contoh jika bercium, kulit ke kulit melalui seks dan jika menjaga orang lain melalui lelehan dan rembesan badan orang itu. Kebanyakan kes mempunyai kontak seksual iaitu lelaki dengan lelaki, biseksual, atau gay.
Orang yang mempunyai sistem imuniti yang terjejas, contoh mengidap HIV, mempunyai risiko keparahan lebih tinggi dan risiko kematian lebih tinggi jika dijangkiti.
Golongan ibu juga boleh terjangkit daripada pasangan mereka, malah melalui transmisi vertikal boleh menjangkiti anak dalam kandungan mereka.
Peningkatan kes kini mendadak di Afrika. Negara baru terjejas adalah Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, yang merebak dari Congo. Virus juga telah ditemui di Amerika, United Kingdom, Kanada, Mexico, Amerika Selatan, Australia, Itali, New Zealand, China, Vietnam, Indonesia, Thailand, Japan dan Sweden.
Kebanyakan kes terinfeksi melalui cara hubungan seksual. Bagaimanapun, sudah ada kes yang berlaku tanpa ada pendedahan seksual. Ini merujuk ke cara transmisi yang berlaku melalui sentuhan langsung dan sentuhan melalui perkakas terkontaminasi cecair badan orang terinfeksi mpox.
Komplikasi jangkitan
Kulit boleh terjejas dengan menjadi nanah atau jangkitan kulit yang parah. Antara gejala cacar ini adalah demam, kelesuan, dehidrasi, sakit kepala, kelenjar limfa membengkak dan sakit. Selain itu, timbul ruam di kawasan mukosa mulut, kulit, kemaluan, dubur dan badan. Ruam ini sakit dan gatal seperti cacar air.
Komplikasi lain termasuk radang paru-paru, jangkitan dalam mata hingga kebutaan (corneal infection with loss of vision), sukar menelan dan makan, muntah-muntah, cirit-birit menyebabkan dehidrasi dan kerosakan buah pinggang; inflamasi otak (encephalitis), inflamasi jantung (myocarditis), inflamasi usus rectum (proctitis), jangkitan kemaluan (balanitis), infeksi salur kencing (urethritis), malah kematian. Virus mpox juga mengakibatkan kematian yang meningkat di Afrika, berbanding tahun lalu akibat strain clade I dan Ib, baru-baru ini.
Cara menangani
Elakkan jangkitan dengan tidak melakukan hubungan seksual dengan pasangan berisiko tinggi (contoh, banyak pasangan, seks tanpa kondom, yang ada sejarah mengalami penyakit jangkitan seksual sebelum ini, berasal dari daerah endemik virus mpox seperti Congo).
Elakkan menyentuh barangan yang mungkin tercemar dengan rembesan virus mpox jika berhubungan dengan pesakit mpox lain.
Vaksin mpox
Apabila berlaku wabak, sepastinya wujud juga vaksin-vaksin menentang virus smallpox dan ia turut berkesan melawan virus mpox kerana mereka berasal daripada keluarga virus sama. Vaksin ini diberi ke negara mewah seperti di Eropah dan Amerika Utara untuk mengawal penyakit mpox.
Vaksin yang sama dikatakan akan diberi ke negara Afrika juga yang banyak terjejas mpox. Vaksin ini diberi juga sebagai pencegahan dan dikatakan berkesan sebanyak 85 peratus menghindari jangkitan virus mpox.
Malah jika terjangkit juga, jangkitan mpox ini, tidak akan teruk dan hanya jangkitan ringan saja akan berlaku. Vaksin mpox diberi sebanyak dua dos, selang 28 hari yang digunakan setakat ini dikenali sebagai MVA-BN vaksin, atau Modified Vaccinia Ankara-Bavarian Nordic.
Dua vaksin lain adalah dari keluaran Jepun vaksin LC16 dan dari Rusia iaitu OrthopoxVac. Di Amerika dan Australia, vaksin bernama ACAM2000, diberi kepada yang berisiko terdedah infeksi ini.
Mereka yang disaring dan jika positif ujian mpox, juga perlu diisolasi jika mempunyai simptom; malah jika tanpa simptom untuk mengelakkan jangkitan selanjutnya ke orang lain.
Kesimpulannya, di negara ini langkah terbaik adalah mengenalpasti dari mana penggembara yang datang iaitu dari negara berisiko tinggi yang sudah mempunyai kes-kes mpox. Untuk mereka yang berisiko tinggi, patut menerima pemeriksaan kesihatan untuk menilai sejauh mana risiko mereka untuk membawa virus.
Namun, sukar untuk kita mengenal pasti yang memasuki Malaysia dan jika mereka terdiri daripada golongan berisiko tinggi, melainkan siasatan saringan setiap orang dijalankan.
Bagaimanapun, bagi yang sudah mempunyai simptom dan tanda badan yang jelas; maka mereka perlu ditahan’ untuk kuarantin dan melihat perkembangan pesakit di wad isolasi khas.
Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh ialah Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










