Untungnya KDA FC ada pemilik berakal

Untungnya KDA FC ada pemilik berakal

DENGAN segala perancangan ini diharap dapat mengukuhkan sayap Sang Kenari yang pernah patah, sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENELUSURI perjalanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sejak dari penghujung tahun lalu, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa skuad Hijau Kuning itu sebenarnya beruntung kerana mempunyai pemilik pasukan yang ‘berakal’, merendah diri dan sentiasa tahu perkara perlu dilakukan bagi memastikan Sang Kenari terus ‘hidup’.

Ketika satu demi satu pasukan lain kini terdampar mengharapkan tajaan dan bantuan agensi tertentu untuk ‘bernafas’, KDA FC sudah mengorak dua atau tiga langkah ke depan apabila menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat untuk mengeluarkan produk atas nama pasukan, iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab elit bola sepak di Malaysia selama ini.

Menurut pemilik pasukan itu, Tan Sri Mohd. Daud Bakar, ketika ini beberapa produk bakal menjengah ke pasaran dalam masa terdekat antaranya air mineral, kopi, stoking, tudung, vitamin dan tuala.

Tidak terhenti di situ katanya, jumlah produk itu dijangka akan berkembang dengan pihaknya menyasarkan untuk bekerjasama dengan 100 rakan niaga menjelang akhir tahun ini.

Mohd. Daud optimis, jika 5,000 hingga 10,000 rakyat Kedah dapat berbelanja antara RM50 hingga RM100 sebulan bagi mendapatkan barangan keperluan asasi di bawah jenama KDA FC, pasukan itu mampu memperoleh pendapatan mencukupi dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagi terus memberi saingan terbaik dalam arena bola sepak tanah air.

Sebenarnya, idea untuk tampil dengan inisiatif baharu bagi menjana kewangan pasukan ini bukan baharu terdetik di kepala Tokoh Kewangan Islam tersebut.

Sebaliknya ketika memohon maaf kepada para pemain, pegawai dan ahli keluarga pasukan sewaktu gaji mereka tertunggak beberapa bulan pada tahun lepas lagi, Mohd. Daud sudah mendedahkan bahawa beliau akan tampil dengan model ekonomi baharu bagi memperbaiki kedudukan kewangan pasukan.

Ternyata kata-katanya itu dikotakan ketika ini. Difahamkan pada waktu ini persiapan sedang giat dilakukan bagi memastikan produk-produk tersebut dapat diketengahkan dalam tempoh sedikit masa lagi.

Sementara menanti produk-produk itu dilancarkan, KDA FC ketika ini sudah pun tampil dengan satu lagi idea segar iaitu keahlian Kad Kenari Care untuk penyokong setianya menyumbang kepada dana kelab.

Menariknya, pengenalan kepada kad itu bukan hanya membawa kebaikan kepada kelab, sebaliknya turut mewujudkan situasi menang-menang kepada penyokong.

Hasil kerjasama dengan sebuah syarikat takaful, pemegang kad itu bukan sahaja boleh menikmati pelbagai keistimewaan seperti diskaun pembelian cenderamata kelab serta barangan di lebih 30 rangkaian niaga terpilih, malah mereka turut memperoleh manfaat perlindungan takaful hayat dan keilatan antara 50,000 hingga RM100,000 dengan pilihan nilai bayaran RM35 atau RM45 sebulan.

MERENDAH DIRI
Selain itu dalam usaha terus menyelamatkan kapal yang dibadai ombak, Mohd. Daud tidak menjadikan gelaran Tan Sri yang dikurniakan kepadanya sebagai alasan untuk tidak ‘membumi’.

Malah dalam sidang akhbar ketika pelancaran jersi KDA FC baru-baru ini juga, Mohd. Daud tidak canggung untuk mengakui bahawa beberapa siri kekalahan KDA FC pada awal musim ini bukan berpunca daripada kelemahan jurulatih atau kekhilafan pemain, sebaliknya disebabkan dirinya sendiri yang tidak memiliki wang cukup bagi melengkapkan hak anak-anak buahnya.

Ketika pemilik pasukan sudah bertungkus-lumus serta menyingsing lengan membangunkan pasukan yang menjadi kebanggaan seluruh negeri, kini tiba masanya untuk anak-anak Kedah turut serta dalam perjuangan itu.

Inilah masanya untuk sama-sama mengukuhkan sayap Sang Kenari yang pernah patah. Bantulah pihak pengurusan dengan hadir ke stadium dan mendapatkan cenderamata pasukan yang asli, daripada terkejar-kejar memberi sokongan kepada golongan ‘lanun’ berniaga barangan cetak rompak.

Dalam masa sama, sokonglah produk-produk yang bakal dikeluarkan di bawah jenama KDA FC. Jangan hanya nanti asyik bersuara mengkritik di media sosial, tetapi dalam masa sama tidak langsung menyumbang kepada usaha menegakkan semula kapal yang sedang karam.

Hakikatnya perjuangan untuk membetulkan keadaan itu melelahkan dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Sudah beberapa kali sebenarnya kami para wartawan bertemu Mohd. Daud dalam keadaan beliau kelihatan letih.

Malah pada satu ketika, Mohd. Daud mengakui yang dirinya tidak sihat kerana demam. Tangannya pula terasa panas sewaktu kami bersalaman.

Namun beliau tetap hadir pada sesi sidang akhbar pada waktu tengah hari di pejabat KDA FC sebelum menonton perlawanan melibatkan pasukan itu pada waktu malam di Stadium Darul Aman.

Tidak cukup dengan itu, Mohd. Daud lalu memandu pulang ke Kuala Lumpur pada malam itu juga kerana terdapat urusan penting di ibu kota pada 8 pagi esok. Semua itu menjadi antara pengorbanan Mohd. Daud yang tidak diceritakan kepada umum, termasuk para pemain kerana sikapnya yang lebih suka bekerja, daripada bercerita.

Kisah panjang lebar ini sebenarnya diharap dapat turut dijadikan contoh oleh pemilik mahu pun pihak pengurusan kelab bola sepak lain. Dalam mengurus kelab bola sepak profesional secara swasta, bercakap saja tidak cukup sebaliknya tindakan yang berakal lebih banyak memainkan peranan.

Tindakan menyalahkan pihak lain di atas kegagalan menguruskan pasukan juga tidak sepatutnya dicanang terlalu kerap. Diakui, memang ada pelbagai kelemahan yang menyebabkan pasukan-pasukan bertanding terpaksa menanggung beban kewangan tinggi tetapi apa pula langkah difikirkan pihak pengurusan pasukan tertentu bagi mengatasi masalah itu?-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×