UniMAP menuju 2030: Memacu pendidikan, teknologi, komuniti

UniMAP menuju 2030: Memacu pendidikan, teknologi, komuniti

PENDIDIKAN teknikal dan vokasional (TVET) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah landasan utama untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan kompeten dalam pelbagai bidang teknikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) bertekad untuk menjadi institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang unggul menjelang 2030.

Dengan fokus yang kuat untuk memperkasakan pendidikan TVET, UniMAP berusaha menjadi peneraju dalam memperkenalkan teknologi baharu industri semikonduktor serta menyumbang kepada komuniti setempat dan pada masa sama memperluaskan jangkauan akademik ke peringkat antarabangsa.

Untuk itu, beberapa inisiatif penting digariskan universiti ini dalam merealisasikan visi 2030 yang berfokus kepada pengukuhan pendidikan TVET.

Pendidikan TVET adalah landasan utama untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan kompeten dalam pelbagai bidang teknikal.

Dengan kurikulum komprehensif dan latihan praktikal intensif, UniMAP memastikan pelajar TVET dilengkapi kemahiran yang relevan dengan keperluan industri masa kini.

Program TVET yang ditawarkan meliputi kejuruteraan mekanikal, elektrik, elektronik dan teknologi maklumat, direka khusus untuk memenuhi permintaan industri selain menyediakan pengetahuan praktikal serta pengalaman hands-on.

Pada masa sama, latihan praktikal adalah komponen utama dalam program ini. Pelajar diberi peluang menjalani latihan industri di syarikat terkemuka dengan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi kerja sebenar.

UniMAP juga menyediakan makmal dan bengkel dengan peralatan moden, membolehkan latihan praktikal di kampus, membina keyakinan dan kemahiran sebelum memasuki pasaran kerja.

LAHIR TENAGA MAHIR UNTUK INDUSTRI
Program semikonduktor di UniMAP melahirkan graduan dengan kemahiran teknikal tinggi dan pengetahuan. Graduan ini dilatih untuk beradaptasi dengan perkembangan teknologi dan mampu menyumbang secara efektif dalam bidang semikonduktor, menjadikan mereka aset berharga kepada industri.

Justeru, universiti ini berusaha menjadi perintis dalam teknologi baharu, terutama dalam industri ini.

Dengan kerjasama industri dan pusat penyelidikan, UniMAP menubuhkan makmal canggih dan pusat inovasi untuk mengembangkan teknologi semikonduktor.

Melalui program ini, tenaga kerja mahir dilahirkan dengan pengetahuan terkini dan kemahiran praktikal, membolehkan mereka beradaptasi dengan cepat kepada perkembangan teknologi dan menyumbang kepada kemajuan industri semikonduktor di Malaysia dan peringkat global.

UNIVERSITI UNTUK KOMUNITI
UniMAP mengamalkan konsep Universiti untuk komuniti yang berfungsi sebagai agen perubahan bagi masyarakat setempat.

Melalui pelbagai program khidmat masyarakat, UniMAP melibatkan pelajar dan kakitangan dalam aktiviti seperti pembaikan rumah, pembersihan kawasan awam dan projek infrastruktur kecil. Inisiatif ini memastikan manfaat terus kepada komuniti Perlis.

Tidak ketinggalan, kami juga menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada usahawan kecil dan sederhana, membantu meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti produk.

Program kesihatan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah serta ceramah kesihatan meningkatkan kesedaran dan tahap kesihatan masyarakat.

MEMANFAATKAN INDUSTRI DAN KOMUNITI
Penyelidikan di universiti ini difokuskan kepada penyelesaian masalah nyata dalam industri dan komuniti, dengan kolaborasi industri untuk memastikan hasilnya dapat diaplikasikan secara langsung.

Bidang penyelidikan utama termasuk bahan geopolimer, teknologi hijau dan inovasi dalam kejuruteraan. Fokus ini bukan sahaja meningkatkan kualiti produk dan proses industri tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi yang mampan.

PENGANTARABANGSAAN PROGRAM AKADEMIK
UniMAP memperluas jangkauan akademik melalui pengantarabangsaan programnya. Kerjasama dengan universiti di Indonesia, China, negara-negara Afrika dan negara-negara Arab membuka peluang untuk pertukaran ilmu dan budaya.

Program mobiliti pelajar, penyelidikan bersama dan kursus dwi-ijazah memperkaya pengalaman pendidikan serta penyelidikan melalui pendedahan antarabangsa.

GRADUAN TVET SEDIA INDUSTRI
Kurikulum TVET direka untuk memenuhi keperluan industri, melengkapkan graduan dengan kemahiran terkini dan latihan praktikal intensif. Pendedahan kepada teknologi moden dan amalan terbaik industri menjadikan mereka calon yang kompeten serta sesuai untuk pelbagai sektor.

Graduan UniMAP dikenali oleh majikan kerana keupayaan mereka untuk beradaptasi cepat dan menyelesaikan masalah teknikal.

Program ini juga menekankan etika kerja, keselamatan dan profesionalisme, memastikan pelajar bersedia untuk dunia kerja dengan keyakinan. Peluang latihan industri dan penempatan kerja membolehkan pelajar mengalami suasana kerja sebenar, memudahkan peralihan mereka ke alam pekerjaan.

UniMAP menawarkan sokongan kerjaya dan pembangunan profesional melalui bengkel penyediaan resume, teknik temuduga dan kemahiran komunikasi.

Pameran kerjaya dan sesi jaringan dengan majikan membantu pelajar membina rangkaian profesional selain mendapatkan peluang pekerjaan yang baik. Hasilnya, dapat dilihat melalui kadar kebolehpasaran graduannya yang tinggi.

Statistik menunjukkan majoriti graduan UniMAP mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Program akademik yang relevan, latihan industri dan kerjasama dengan sektor swasta memainkan peranan penting dalam memastikan graduan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran dalam pasaran kerja.

Majikan menilai tinggi graduan UniMAP kerana mereka menunjukkan kemahiran teknikal yang cemerlang, sikap profesional dan keupayaan untuk bekerja dalam pasukan.

Dengan strategi dan inisiatif yang kukuh, UniMAP bersedia untuk menjadi pemimpin dalam pendidikan teknikal dan vokasional, penyelidikan inovatif selain penglibatan komuniti menjelang 2030.

Usaha berterusan untuk memperkenalkan teknologi baharu, memperkukuhkan kebolehpasaran graduan dan memperluaskan kerjasama antarabangsa akan memastikan UniMAP terus relevan dan berdaya saing di peringkat global.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×