UMPas dan UMDAP mana lebih baik untuk UMNO? - Utusan Malaysia

UMPas dan UMDAP mana lebih baik untuk UMNO?

aznan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau ditinjau kepada isu-isu yang dibincangkan di platform digital terutama media sosial, pasti akan terjumpa dengan dua istilah baharu yang mengaitkan gabungan parti politik negara kita.
UMPas dan UMDAP, dua istilah atau mungkin juga boleh dikatakan dua ideologi dan aliran politik yang dijadikan modal perbincangan dan kadang-kadang membawa kepada perbalahan dalam kalangan penyokong.

UMPas merujuk kepada pakatan antara UMNO dan Pas terutama melalui Perikatan Nasional (PN) ataupun Muafakat Nasional (MN). UMDAP pula sudah tentu merujuk kepada UMNO dan DAP.

Walaupun tiada pakatan secara langsung antara kedua-dua parti yang pernah menjadi seteru itu, sebaliknya hanya melalui Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, namun bagi para pengkritik dan pembantah, mereka melihatnya sebagai pakatan UMNO dan DAP.

Ini disebabkan DAP memiliki lebih banyak kerusi dalam Kerajaan Perpaduan selain dijadikan senjata bagi mengurangkan pengaruh UMNO dalam kalangan pengundi Melayu dan Islam.

Apa pun dua istilah ini akan terus mendominasi persekitaran politik negara kita hingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) termasuk beberapa pilihan raya kecil yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

Kalau dilihat kepada logik, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bukannya UMNO, tetapi Barisan Nasional (BN). Disebabkan hanya UMNO boleh dikatakan masih ‘hidup’ dalam BN, sebab itu apa sahaja pakatan politik yang berlaku semuanya dikaitkan dengan UMNO.

Malah dikatakan UMPas dan UMDAP itu turut mewujudkan dua puak dalam kalangan UMNO itu sendiri. Satu yang menyokong kerjasama dengan PN seperti mana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Satu kumpulan lagi mahu kekalkan kerjasama sekarang bersama Kerajaan Perpaduan biarpun digelar UMDAP.

Sebagai sebuah parti yang kini bertungkus lumus untuk mendapatkan sokongan dan bergelut untuk kekal relevan terutama pada PRU16, pemilihan pakatan ini sangat penting kepada UMNO dan BN.

Sama ada mahu memilih UMPas atau UMDAP ia perlu berdasarkan yang mana satu akan memberi kelebihan kepada survival UMNO pada masa depan. Yang mana satu akan membantu untuk UMNO terus kekal relevan dan terus mempunyai kerusi yang diwakili selepas PRU16 sekitar tiga tahun lagi.

Perlu diingat, tempoh tiga tahun itu tidak lama. Gagal membuat percaturan yang betul, UMNO bakal kehilangan semua kerusi Parlimen yang dimilikinya sekarang.

Bagi yang melihat daripada sudut pandangan kaum dan agama, mereka merasakan UMNO perlu kembali kepada PN – UMPas – kerana itu akan menyumbang kepada perpaduan Melayu yang telah berpecah teruk terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Apabila UMNO, Pas dan Bersatu di bawah satu payung iaitu PN, politik Melayu Islam sudah pasti akan menjadi cukup kuat dan tidak mustahil mampu menjadi sebuah pakatan yang membentuk kerajaan selepas PRU16.

Jika itu berlaku, sudah tentu akan berlaku polarisasi yang cukup besar antara kaum pada pilihan raya umum akan datang yang akan menyumbang kepada sentimen mengundi berdasarkan kaum dan agama. Ini dikhuatiri yang menyebabkan politik negara kita lebih kepada berasaskan kaum dan agama.

Dari segi kelebihan pula, jika UMPas adakah ia akan memberi ruang yang lebih untuk survival UMNO? Jika bersama Pas dan Bersatu berapa banyak kerusi yang UMNO boleh bertanding pada PRU16?

Sekarang UMNO hanya ada 26 kerusi Parlimen. Berbanding Pas sebanyak 43 kerusi dan Bersatu pula 30 kerusi (termasuk enam yang menyokong Perdana Menteri). Maknanya 73 kerusi Parlimen ini sudah tentu tidak boleh dituntut oleh UMNO kerana ia sudah menjadi milik mutlak Pas dan Bersatu kerana kini mereka adalah penyandang.

Maka, peluang yang ada pada UMNO hanyalah mempertahankan 26 kerusi yang dalam tangan mereka itu sahaja. Jika dalam UMPas, adakah hasrat untuk bertanding lebih 80 kerusi pada PRU16 mampu menjadi kenyataan?

Jika dengan UMPas, adakah Pas dan Bersatu akan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi-kerusi yang strategik? Ini persoalan yang perlu dijawab secara terbuka kerana untuk menjadi parti politik yang dominan ia perlu menang pilihan raya.

Untuk UMNO pula ia soal survival. Soal hidup atau berkubur. Untuk terus hidup UMNO perlu jadi parti yang dominan. Untuk jadi dominan kena menang pilihan raya. Untuk menang kena bertanding banyak kerusi. Apakah itu mampu dilakukan jika bersama UMPas?

Bagaimana pula dengan UMDAP? Adakah UMNO ada kelebihan walaupun pakatan dengan PH sebenar memberikan impak negatif kepada sebahagian penyokongnya.

Adakah bersama UMDAP, UMNO akan memiliki peluang untuk bertanding di lebih banyak kerusi kerana mereka tidak ada pertembungan dengan DAP. Antara UMNO dan DAP ada garis pemisah yang ketara daripada segi kawasan pilihan raya.

Semua kawasan yang ditandingi oleh DAP sejak dari dahulu bukan kerusi tradisi UMNO. Jadi, di sini UMNO ada kelebihan daripada segi untuk mendapatkan kerusi untuk ditandingi.
Bagaimana pula dengan PKR? Ia bukan parti yang didominasi oleh Melayu. PKR parti pelbagai kaum di mana calonnya juga mewakili semua kaum. Bukan semua kerusi yang akan ditandingi PKR adalah majoriti Melayu.

Berdasarkan analisis ini jika dalam UMDAP, UMNO mempunyai banyak kelebihan untuk bertanding di kawasan tradisi mereka terutama di luar bandar. Semua kerusi itu sebelum ini secara tradisinya menyaksikan pertembungan UMNO dan Pas.

Ini dilema yang perlu dicongak oleh UMNO dalam mencari rakan pakatan PRU16. Walaupun mereka kelihatan semakin selesa dalam Kerajaan Perpaduan sekarang dan mungkin juga akan kekal sebagai gandingan pada PRU16, tetapi riak-riak yang mahukan UMPas tetap ada dalam parti itu. Terutama dalam kalangan akar umbi.

Riak ini tidak mustahil boleh bertukar menjadi alun seterus berubah menjadi ombak dan lalu membentuk gelombang.

Para pemimpin parti Melayu ini sudah tentu lebih arif antara UMPas dan UMDAP mana satu akan membantu survival mereka pada pilihan raya akan datang

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN