Tingkat prestasi penjawat awam, elak kenaikan gaji dipandang sinis

Tingkat prestasi penjawat awam, elak kenaikan gaji dipandang sinis

KERAJAAN akan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang telah diadakan pada 16 Ogos 2024 telah dihadiri seramai lebih kurang 48,000 penjawat awam sama ada secara fizikal mahupun atas talian. Kehadiran yang ramai ini khususnya ketua-ketua jabatan dan penjawat awam daripada pelbagai skim perkhidmatan memberikan gambaran semangat dan sokongan kepada pentadbiran kerajaan yang sentiasa cakna dan prihatin mengenai kebajikan warga penjawat awam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam ucapan beliau juga sering menegaskan peri pentingnya hubungan kerjasama antara anggota kabinet selaku pembuat dasar dengan penjawat awam selaku jentera pelaksana dasar kerajaan.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa pentingnya anjakan paradigma dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan, integriti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam agar pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak dipandang sinis oleh rakyat.

Penyelarasan Gaji Penjawat Awam
Rata-rata penjawat awam menzahirkan kesyukuran atas penyelarasan gaji yang akan dilaksanakan selaras dengan pelaksanaan SSPA. Penyelarasan gaji ini akan dinikmati oleh semua peringkat gred dan skim perkhidmatan melibatkan dua fasa pemberian.
Kenaikan yang akan dinikmati adalah berjumlah tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi serta 15 peratus bagi kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan dan profesional. Penyelarasan ini dilihat bukanlah untuk memewahkan penjawat awam, tetapi adalah berkadaran dengan kenaikan kos sara hidup kini, selaras dengan skim gaji yang telah tidak disemak selama 12 tahun serta pengiktirafan tertunda kepada penjawat awam yang selama ini berhempas pulas menabur bakti kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama. Untuk itu, para peniaga dimohon agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan, membebankan lagi rakyat terutama penjawat awam yang sedia terbeban berikutan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Selaras dengan komitmen pentadbiran kerajaan untuk meningkatkan tahap kebajikan penjawat awam, ia juga menuntut agar penjawat awam juga perlu meningkatkan tahap prestasi dan pencapaian yang seiring dengan kemahuan rakyat yang menuntut perubahan dalam penyampaian perkhidmatan dan pembangunan ekonomi negara.

Sistem Penilaian Prestasi Baharu
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa seharusnya tidak ada ruang bagi seseorang penjawat awam yang berprestasi rendah dikekalkan dalam perkhidmatan kerajaan. Penilaian Prestasi Tahunan juga perlu ditingkatkan dari 80 ke 85 peratus bagi memastikan hanya pegawai yang benar-benar layak dan berprestasi tinggi sahaja dibenarkan untuk diberi kenaikan pangkat dan menerima pergerakan gaji tahunan, kelayakan markah prestasi ditingkatkan daripada 60 kepada 75 peratus. Perdana Menteri juga mengingatkan agar penjawat awam perlu memfokus untuk menambahbaik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas bagi pegawai yang bermasalah.
Budaya kerja berasaskan prestasi perlu diterapkan melalui sesi bimbingan dan pementoran (coaching and mentoring) yang dilaksanakan terhadap pegawai-pegawai yang dilihat kurang berprestasi atau masih kurang berpengalaman.

Bagi pegawai yang cemerlang dan berprestasi tinggi pula, mereka yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam bidang kepakaran (subject matter expert) tidak perlu ditukarkan disebabkan kenaikan pangkat malah boleh kekal di jawatan yang sama secara khas untuk penyandang dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C bagi membolehkan kepakaran pegawai terus dimanfaatkan di perjawatan yang memerlukan kepakaran tersebut. Insentif berasaskan prestasi juga diperkenalkan kepada pegawai yang telah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK) ke-2. Insentif ini bersamaan dengan kadar satu kenaikan gaji tahunan (KGT) gred jawatan semasa pegawai.

Petunjuk Prestasi Kritikal
Selaras dengan beberapa insentif yang telah dikemukakan oleh kerajaan kepada penjawat awam, ekspektasi rakyat terhadap mutu penyampaian perkhidmatan juga sudah tentunya meningkat. Perdana Menteri memohon agar setiap jabatan dan agensi kerajaan meningkatkan petunjuk prestasi masing-masing agar terkeluar daripada takuk lama yang membebankan rakyat. Perkhidmatan kaunter dan proses-proses permohonan seperti lesen atau permit hendaklah ditambahbaik serta dipermudahkan melalui penggunaan teknologi yang terjamin keselamatannya.
Selain itu, jabatan dan agensi kerajaan juga diminta untuk menyemak semula peraturan dan pekeliling yang telah lapuk yang menyekat penambahbaikan yang ingin dilaksanakan oleh penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang cepat, cekap dan berkualiti kepada rakyat. Secara kesimpulan, dua aspek yang perlu dititikberatkan untuk meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan adalah daripada aspek adaptasi teknologi dan juga semakan semula pekeliling dan peraturan yang berkuatkuasa.

Mengoptimumkan Sumber dan Dana Kerajaan
Agensi dan jabatan kerajaan juga dinasihatkan agar mengoptimumkan sumber dan dana kerajaan agar dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Salah satu contoh yang diberi oleh Perdana Menteri semasa ucapan beliau adalah penggabungan pejabat-pejabat kerajaan di luar negara di bawah satu bumbung yang boleh mengurangkan kos operasi dan memudahkan rakyat di luar negara mendapatkan perkhidmatan. Selain itu, penggabungan beberapa agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang bergabung tanpa implikasi kewangan ternyata lebih memudahkan operasi serta melancarkan urusan pentadbiran.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia juga melibatkan penggabungan beberapa skim perjawatan tanpa pertambahan jawatan di bawah satu bumbung yang melancarkan operasi kawalan sempadan negara.
Seiring dengan peredaran zaman, penambahbaikan perlu sentiasa dilaksanakan demi menepati kehendak rakyat yang semakin kompleks walaupun berdepan dengan situasi dana yang terhad. Dengan semangat kebersamaan dan keserakanan antara penjawat awam dan rakyat yang saling melengkapi untuk memberikan khidmat bakti kepada negara, usaha ini diharap mampu meningkatkan pertumbuhan negara secara holistik serta merealisasikan dasar Malaysia Madani, menjadikan Malaysia antara negara yang boleh dicontohi di persada antarabangsa. – UTUSAN

AHMAD Zafwan Sulaiman ialah Ketua Unit Latihan Pasca Perkhidmatan (INTAN Putrajaya) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN