Terus larang sumbangan syarikat minuman keras, judi jejak sekolah

Terus larang sumbangan syarikat minuman keras, judi jejak sekolah

MASYARAKAT India sejak tahun 30-an sudah menentang dasar penjajah kolonial British yang memperkenalkan minuman todi (minuman keras) kepada pekerja-pekerja ladang getah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUMBANGAN kewangan daripada sebuah syarikat minuman keras kepada sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lebih-lebih lagi kenyataan pemimpin DAP untuk membawa perkara ini kepada pertimbangan jemaah menteri turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Melayu dan India.

Secara umumnya Kementerian Pendidikan telahpun membuat keputusan supaya sekolah-sekolah tidak menerima sumbangan daripada mana-mana syarikat yang berkaitan dengan minuman keras, judi dan lain lain kegiatan yang dianggap haram kepada penganut Islam malah bertentangan dengan budaya masyarakat India.

Pihak pengurusan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan SJKC sebenarnya menaati dan mematuhi arahan Kementerian Pendidikan dalam perkara ini. Malah SJKT tidak gagal dari patuh arahan ini dengan tidak menerima sebarang sumbangan kewangan daripada mana-mana syarikat minuman keras atau judi dan sebagainya sejak dahulu lagi.

Sekiranya mengimbas kembali sejarah Tanah Melayu, kita akan melihat peristiwa yang mana masyarakat India yang di tempatkan di ladang-ladang getah bangkit menentang dasar penjajah kolonial British yang memperkenalkan minuman todi (minuman keras) kepada pekerja-pekerja ladang getah pada tahun 30-an.

Kebanyakan persatuan-persatuan yang mewakili masyarakat India turut menentang dasar penjajah berhubung minuman todi dalam kalangan pekerja-pekerja ladang. Pihak British yang tertekan dengan penentangan hebat masyarakat India terhadap dasar penjualan todi telah menangkap dan menghantar balik ke India.

A.M.Samy merupakan seorang pemimpin pergerakan anti todi yang bekerja di ladang Harvard. Peristiwa ini jelas menunjukkan masyarakat India tidak menggalakkan minuman keras dalam kalangan pekerja ladang apatah lagi anak-anak muda di sekolah rendah.

Sumbangan kewangan syarikat pengeluaran minuman keras kepada sekolah dan menggunakan sumbangan ini dalam iklan-iklan untuk kepentingan syarikat berkenaan akan menimbulkan tanggapan yang salah malah akan mempengaruhi kanak-kanak sekolah terhadap tabiat minuman keras di peringkat awal.

Inilah asas-asas yang bermain difikiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek apabila menolak secara tegas penyumbangan syarikat pengeluaran minuman keras kepada sekolah-sekolah di negara ini tidak kiralah sama ada sekolah kebangsaan, Cina atau Tamil.

SOKONGAN PADU
Pendirian Menteri Pendidikan itu dalam perkara ini bukan sahaja disokong penuh oleh Pemuda UMNO bahkan kepimpinan MIC juga menyebelahi usaha murni beliau dalam hal ini.

Pihak kepimpinan MIC amat berdukacita melihat syarikat-syarikat minuman keras menggunakan kaedah sumbangan kewangan kepada sekolah-sekolah untuk mencapai kepentingan perniagaan.

Sehubungan ini, Ketua Biro Pendidikan MIC, Senator Datuk Dr. Nelson dengan jelas menyatakan sokongan terhadap pendirian Menteri Pendidikan dalam perkara ini untuk melarang penerimaan sumbangan atau dana daripada mana-mana syarikat penjualan minuman keras dan judi bagi pembangunan mahupun aktiviti sekolah.

Meskipun MIC tidak menyertai Kabinet Kerajaan Madani tetapi Presiden parti, Tan Sri SA Vigneswaran amat menyokong pendirian dan kenyataan Menteri Pendidikan yang mewakili kerajaan kerana ia jelas bertentangan dengan nilai-nilai hidup kaum India dalam konteks budaya dan agama.

Dan juga tindakan ini sebenarnya mengguris perasaan kaum India yang melalui pengalaman pahit berkaitan minuman keras di ladang-ladang yang menghalang kemajuan masyarakat ini sehingga ke hari ini.

MIC dan kaum India tanpa mengira perbezaan fahaman ideologi parti melarang sama sekali membawa sebarang unsur amalan minuman keras menjejak sekolah Tamil.

Justeru, kami berpendapat, pemimpin DAP yang juga merupakan salah seorang menteri dalam kerajaan harus mematuhi pekeliling pendidikan. Ini adalah harapan dan suara masyarakat India.

Kepimpinan MIC berharap Kementerian Pendidikan terus berpendirian tegas dalam melaksanakan peraturan yang ditetapkan melalui pekeliling berkaitan sumbangan daripada pihak luar terutamanya daripada syarikat minuman keras.-UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah Penganalisis sosial politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×