SEJAK menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan pelbagai isu melibatkan sempadan Malaysia-Thailand di bahagian utara Semenanjung Malaysia yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Komitmen ini ditunjukkan melalui pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di Bangunan CIQ Sadao pada 27 November 2023 diikuti dengan pertemuan di Phuket pada 27 Disember 2023 dan seterusnya yang terbaru di Sungai Golok dan Rantau Panjang pada 3 Ogos lalu.
Melalui semua siri pertemuan ini, beberapa langkah strategik telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan memajukan wilayah bersempadan ini yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
Selain itu, kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-7 pada 19 September ini yang bertujuan untuk menyelesaikan apa-apa masalah berbangkit yang masih ada antara kedua-dua negara.
Antara perkara utama yang telah diselesaikan ialah pembinaan jajaran jalan raya yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao.
Pelaksanaan projek ini akan memastikan tahap kesalinghubungan dapat ditingkatkan, mempercepatkan proses keluar masuk di sempadan, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan, sekali gus memudahkan pergerakan antara kedua-dua negara.
Kesesakan teruk yang sering berlaku di sempadan mutakhir ini akan diselesaikan melalui jaringan jalan penghubung yang terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.
Satu lagi inisiatif utama yang telah dipercepatkan melalui pertemuan kedua-dua Perdana Menteri ini ialah projek jambatan (land-bridge) dikenali sebagai Jambatan Kembar yang menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dengan Sungai Golok di Thailand.
Jambatan kedua yang akan mempunyai enam lorong bagi memudahkan pergerakan keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand ini sangat penting dalam memperbaiki aliran trafik serta meningkatkan perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Dengan adanya Jambatan Kembar ini, kemudahan untuk pergerakan barangan dan orang ramai dari kedua-dua buah negara pastinya akan menjadi bertambah baik, sekaligus akan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi lebih rancak di kawasan sempadan.
Turut dipersetujui ialah usul supaya pembangunan di kawasan bersempadan di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand dijadikan sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi baharu yang bertujuan untuk merangsang aktiviti ekonomi di kawasan-kawasan ini.
Dengan adanya pembangunan infrastruktur dan kemudahan yang lebih baik, kawasan ini akan menjadi lebih menarik bagi pelabur asing dan pelabur domestik untuk membuat pelaburan mereka, termasuk dalam sektor-sektor utama seperti perindustrian dan pelancongan.
Dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Thailand ini, penubuhan Zon Ekonomi Khas (ZEK) Malaysia-Thailand juga telah dicadangkan di mana zon ini akan merangkumi penglibatan sektor swasta dan syarikat pemula (start-up).
Pembukaan ZEK Malaysia-Thailand ini dijangka akan meningkatkan integrasi ekonomi antara kedua-dua negara serta dijangka membuka banyak peluang perniagaan dan pekerjaan baharu kepada penduduk sekaligus akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Serentak dengan itu, Perdana Menteri juga telah mengemukakan cadangan agar negeri Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang Sungai Golok yang bertujuan untuk memanfaatkan lokasi strategik sungai tersebut sebagai pusat aktiviti komersial.
Selain daripada pembangunan ekonomi, Perdana Menteri juga memberi perhatian kepada isu-isu alam sekitar, termasuk masalah banjir yang sentiasa dihadapi oleh penduduk kedua-dua negara di kawasan tersebut dan sering menjejaskan kehidupan mereka hampir setiap tahun.
Untuk itu, telah dipersetujui juga bahawa proses pedalaman muara Sungai Golok akan dibuat dalam kadar segera bagi membantu mengurangkan risiko banjir yang mana turut akan meningkatkan kesejahteraan penduduk kedua-dua negara yang tinggal di sepanjang sempadan tersebut.
Dalam aspek keselamatan dan kestabilan serantau, Malaysia juga menunjukkan komitmen yang teguh dalam Proses Dialog Damai Selatan Thailand melalui peranannya sebagai fasilitator dalam usaha ini yang diketuai oleh Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Pada 23 hingga 25 Jun lalu, satu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama ke-11 (JWG-PDP) mengenai Selatan Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan kandungan hala tuju proses perdamaian antara Panel Dialog Keamanan Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).
Tugas-tugas penting ini berterusan selepas Zulkifli digantikan oleh bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir, sebagai Fasilitator kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.
Mesyuarat ini telah menyemak dan menetapkan rangka kerja baharu Pelan Komprehensif Bersama Menuju Keamanan (JCPP) yang telah menggabungkan input daripada PEDP/RTG dan BRN. Dalam mesyuarat ini juga, satu persetujuan telah dicapai ke atas jadual tentatif yang dirangka untuk memuktamadkan JCPP.
Rangka kerja ini merangkumi tiga isu penting, iaitu Penghentian Permusuhan (COH)/Pengurangan Keganasan (ROV), Perundingan Awam (PC) dan perbincangan ke arah merealisasikan Penyelesaian Politik yang akan disahkan oleh kedua-dua pihak nantinya.
Kesemua langkah ini adalah usaha berterusan Perdana Menteri untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand serta memajukan kawasan sempadan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, Malaysia dan Thailand dijangka dapat menikmati kemakmuran bersama dalam jangka masa panjang selaras dengan polisi ASEAN ‘prosper thy neighbour’ iaitu jika kita membantu jiran kita untuk maju, kita juga akan maju bersama. – UTUSAN
DR. Nor Azura A. Rahman adalah Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD).










