Tadbir urus kolaboratif dalam cabaran geopolitik, ekonomi

Tadbir urus kolaboratif dalam cabaran geopolitik, ekonomi

PENUBUHAN Penyelidikan Masa depan (FUTURE) pada 5 Ogos lalu boleh menyokong pembentukan dasar yang berlandaskan bukti dan berwawasan jauh ke hadapan. – FaceBook AHMAD SAMSURI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENUBUHAN Penyelidikan Masa Depan (FUTURE) pada 5 Ogos lalu di Putrajaya merupakan satu langkah strategik yang signifikan dalam evolusi pemikiran dasar awam di Malaysia dan luar negara.

Sebagai seorang penganalisis politik yang sudah lama mengkaji perkembangan strategi negara, penubuhan FUTURE bukan sekadar penambahan kuantitatif dalam landskap badan pemikir tempatan, tetapi merupakan satu anjakan paradigma dalam pendekatan Malaysia terhadap cabaran geopolitik dan ekonomi kontemporari.

Dalam era globalisasi yang semakin kompleks, keperluan untuk analisis yang mendalam dan berwawasan jauh menjadi semakin kritikal bagi negara-negara membangun untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan.

Ucapan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semasa pelancaran itu, menyerlahkan beberapa aspek kritikal yang wajar dianalisis dengan lebih mendalam.

Pertama, pengiktirafan terhadap sifat pelbagai dimensi ketidakpastian geopolitik dan ekonomi yang merangkumi bukan sahaja konflik antara negara, tetapi juga isu seperti keselamatan alam sekitar, pengurusan risiko dan pandemik. Ia mencerminkan pemahaman yang sofistikated terhadap landskap keselamatan kontemporari.

Pendekatan holistik ini membuka ruang untuk FUTURE mengembangkan kerangka analisis yang melampaui paradigma keselamatan tradisional, sejajar dengan konsep keselamatan manusia yang semakin mendapat perhatian dalam wacana akademik antarabangsa.

Konsep keselamatan manusia, yang merangkumi aspek-aspek seperti keselamatan ekonomi, makanan, kesihatan, alam sekitar, peribadi, komuniti dan politik, menawarkan perspektif yang lebih komprehensif dalam memahami cabaran kontemporari.

FUTURE mempunyai peluang unik untuk mengintegrasikan konsep ini ke dalam analisis dasar Malaysia, sekali gus menyumbang pembentukan dasar yang lebih holistik dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

Kedua, penekanan Ahmad Samsuri terhadap keperluan memahami keunikan konteks setiap negara dalam menangani cabaran global menunjukkan kesedaran terhadap limitasi pendekatan ‘one-size-fits-all’ (menyeluruh) yang sering diguna pakai oleh institusi antarabangsa.
Pendekatan ini memberi FUTURE peluang untuk menghasilkan analisis yang lebih nuansa dan kontekstual, yang berpotensi memberi nilai tambah yang signifikan kepada proses pembentukan dasar negara.

Dalam konteks ini, badan ini boleh memainkan peranan penting dalam mengadaptasi amalan terbaik global kepada realiti tempatan, mengambil kira faktor-faktor unik Malaysia seperti kepelbagaian etnik, struktur ekonomi dan dinamik politik.

Cadangan Ahmad Samsuri untuk menubuhkan inisiatif tidak berpolitik yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan merupakan satu konsep yang progresif dan sejajar dengan teori tadbir urus kolaboratif dalam sains politik kontemporari. Pendekatan ini berpotensi untuk mengatasi polarisasi politik yang sering menghambat proses pembentukan dasar yang efektif.

Dalam konteks ini, FUTURE boleh memainkan peranan sebagai fasilitator neutral dalam dialog antara pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti wacana awam dan proses pembentukan dasar yang lebih inklusif.

Konsep tadbir urusan kolaboratif ini menjadi semakin relevan dalam era moden di mana masalah-masalah kompleks atau wicked problems memerlukan penglibatan pelbagai pihak untuk penyelesaian yang efektif.

FUTURE boleh menjadi platform untuk mengumpulkan kepakaran dari pelbagai sektor antaranya kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil untuk menangani isu-isu kompleks seperti perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi, dan transformasi digital.

Pengalaman Terengganu dalam usaha diversifikasi ekonomi, seperti yang dibentangkan oleh Ahmad Samsuri menyediakan satu kajian kes yang berharga untuk dianalisis oleh FUTURE. Pengurangan kebergantungan kepada royalti petroleum sebanyak 4 peratus dalam tempoh 2018 hingga 2021 berbanding 2014 hingga 2017 menunjukkan potensi strategi diversifikasi ekonomi yang berjaya.

FUTURE boleh menggunakan pengalaman ini sebagai titik permulaan untuk analisis komparatif yang lebih mendalam, mengkaji bagaimana strategi serupa boleh disesuaikan dan dilaksanakan di peringkat nasional.

Analisis ini boleh merangkumi kajian terperinci tentang faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan Terengganu, cabaran yang dihadapi dan bagaimana pengalaman ini boleh diaplikasikan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

Cadangan-cadangan inovatif yang dikemukakan Ahmad Samsuri seperti rangkaian rantaian bekalan halal berasaskan blockchain dan dana pelaburan wakaf mampan mencerminkan pemikiran yang progresif dan berwawasan.

FUTURE mempunyai peluang untuk memainkan peranan penting dalam mengkaji kebolehlaksanaan dan implikasi dasar cadangan-cadangan ini. Analisis mendalam terhadap potensi dan cabaran pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini boleh menyumbang kepada pembentukan dasar yang lebih efektif dan inovatif.

CABARAN KRITIKAL
Walau bagaimanapun, untuk mencapai potensi sepenuhnya, FUTURE perlu menangani beberapa cabaran kritikal.

Pertama, pengekalan kebebasan intelektual adalah penting untuk memastikan kredibiliti dan integriti analisisnya. Ini memerlukan struktur tadbir urus yang kukuh dan telus, serta mekanisme untuk memastikan kajian dan penemuan FUTURE bertepatan dengan situasi sebenar yang berlaku pada ketika ini.

Kedua, FUTURE perlu mengembangkan keupayaan untuk kekal relevan dalam landskap politik Malaysia yang dinamik, sambil mengekalkan fokus jangka panjang yang diperlukan untuk penyelidikan dasar yang berkualiti. Ini memerlukan keseimbangan yang cermat antara responsif terhadap isu-isu semasa dan mengekalkan perspektif strategik jangka panjang.

Ketiga, mencari keseimbangan antara penyelidikan fundamental dan keperluan dasar semasa akan menjadi cabaran berterusan yang perlu ditangani dengan bijak.

FUTURE mempunyai peluang untuk menjadi contoh cemerlang tentang bagaimana sebuah badan pemikir boleh menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan dan inklusif, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam arena global.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosioekonomi politik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×